Date:

Bantahan Marhaen Adalah Caranya, Bukannya Berdemo

Bantahan Marhaen Adalah Caranya, Bukannya Berdemo
Oleh: Raja
Petra Kamarudin

Penakut Pakai Logik Berbeza, Raja Petra
Oleh Penarik Beca


http://www.marhaen.kelatedaily.net/
http://www.malaysia-today.net/
http://www.malaysiakini.com/
..................................................................


Bantahan Marhaen Adalah Caranya, Bukannya Berdemo
Oleh: Raja Petra Kamarudin - Lam

Saya tidak menyertai tunjuk perasaan di KLCC pada Jumaat lepas. Malahan saya tidak turut serta dalam demonstrasi di hadapan Wisma Denmark. Mereka menunjuk perasaan membantah penyiaran kartun yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. Secara ikhlas, saya tidak fikir bukan sahaja demonstrasi itu satu pembaziran masa malahan menganggapnya sudah terlalu lambat untuk berbuat begitu.

Apakah gunanya berdemo? Untuk menyerlahkan kemarahan? Pergilahhh! Kalau betul-betul marah tentu anda mampu berbuat lebih hebat daripada itu; bukannya berlegar di tepi jalan selama satu jam dan menjerit dan membuat bising. Tentu ada sesuatu yang lebih bermakna untuk menunjukkan yang anda betul-betul prihatin dan amat marah.

Pertama sekali bagaimana anda boleh pergi berdemo? Adakah anda memandu kereta Proton buatan Malaysia yang begitu mahal harganya dan kurang berkualiti? Ataupun apakah anda memandu kereta bukan jenis Proton yang begitu mahal harganya kerana cukai yang begitu tinggi untuk menumpulkan saingannya terhadap Proton? Saya yakin semasa dalam perjalanan ke tempat berdemo itu anda mengisi minyak yang begitu mahal dan kerana itulah anda berdemo?

Walaupun anda tidak suka dengan Proton, anda masih membelinya. Mungkin juga anda sanggup membeli Proton kerana anda menganggap harganya murah berbanding kereta lain (itu tidak benar kerana kereta lain sudah dikenakan cukai yang tinggi untuk memberikan gambaran bahawa Proton adalah lebih murah). Seandainya anda tidak benar-benar suka, tentu anda tidak membeli Proton, tidak kiralah ia murah ataupun tidak. Tentu anda membeli jenama lain walaupun ia lebih mahal. Anda berbuat demikian kerana prinsip hidup. Anda tidak akan menjerit mengatakan meminum arak itu haram dan tunjukkan kemarahan anda dengan memegang botol arak itu di tangan.

Apa perlunya membeli kereta lain sedangkan anda boleh menyimpan untuk membeli kereta Proton? Inikah yang disebut satu pengorbanan. Anda berkorban hanya kerana berasaskan prinsip. Anda membeli kereta berjenama lain dengan harga yang lebih mahal kerana anda tidak menyokong apa yang sepatutnya. Inilah yang dikatakan korban anda, dan Islam berkata anda tidak boleh berjuang tanpa berkorban. Anda tidak boleh berjuang tanpa berkorban. Nabi Mohammad ada berkata apabila anda bersedekah, lakukan dengan harta yang paling berharga, hanya secara itu barulah sedekah itu benar-benar satu pengorbanan. Apabila anda berjuang, korbankanlah sesuatu yang paling anda sayangi, walaupun nyawa sendiri. Mengorbankan nyawa anda? Aduh, sedangkan anda belum lagi bersedia mengorbankan sedikit wang yang ada.

Islam berkata bahawa 'amar makruf, nahi mungkar' adalah satu kemestian. Anda mesti perjuangkan kebenaran dan tentang kezaliman, salahguna undang-undang dan pencemaran (undang-undang). Memanglah semua orang mahu kebebasan menyuarakan kebenaran dan menentang salahguna undang-undang. Akan tetapi mereka melakukannya di sebalik keselamatan komputer sendiri dan menggunakan nama samaran yang sukar dikesan. Mungkin juga anda lakukan ini kerana takutkan tindak-balas dan penahanan. Saya tidak membantah perkara itu dan tidak sukar memahaminya. Jika demikian janganlah menjerit dan melalak bahawa anda menegakkan kesucian Islam serta mempertahankannya. Anda tidak berbuat demikian sebenarnya kerana anda seorang yang pengecut. Anda tidak sedia berkorban untuk Islam. Anda ketepikan hak bersuara kerana Islam. Islam mensyariatkan anda mengorbankan nyawa untuk mempertahankan kebenaran. Usah bercakap mengenai hidup anda, kalau anda tidak bersedia menanggung risiko kebebasan, pekerjaan, gaji pendapatan, ataupun keselesaan yang membuatkan anda semakin berkhayal kini. Ini bukan contohnya seorang wira Islam. Seperti yang disebut oleh Islam inilah tanda-tanda umat Islam yang lemah.

Eloklah kita bincangkan kisah demonstrasi di hadapan Wisma Denmark dan yang satu lagi selepas itu di pejabat New Straits Times di Jalan Riong. Kenapa berdemonstrasi? Adakah anda marah kerana pelbagai akhbar telah menghina Nabi Mohammad? Betulkah ada pengaiban itu? Saya tidak nampak penghinaannya. Apakah anda mahu melihat penghinaan terhadap Nabi junjungan kita yang sebenarnya? Yang menghina Nabi Mohammad adalah sikap tidak mematuhi ajarannya dan berkata apa yang telah diharamkan itu boleh pula dibenarkan di zaman moden ini. Itulah yang menghina Nabi kita. Itulah yang membuatkan Nabi Mohammad (saw) ketinggalan zaman. Seolah-olah apa yang diajarnya ketika itu hanya boleh dipakai masa itu dan bukan sekarang lagi. Inilah yang menunjukkan seolah-olah Nabi tidak berpandangan jauh. Itu juga yang boleh dikatakan menghina Nabi.

Berapa ramaikah mereka yang pernah berdemonstrasi terhadap kartun Nabi pernah terbang mengerjakan haji di Mekah ataupun mengerjakan Umrah dengan MAS? Apakah MAS tidak menyediakan minuman arak dalam pesawatnya? Apakah paramugari dan paramugara yang beragama Islam tidak menyentuh minuman itu? Bukankah minuman arak dikatakan haram oleh Nabi? Bukankah penerbangan MAS satu sistem penerbangan yang dimiliki oleh kerajaan yang mendakwa sebuah negara Islam? Bagaimanakah penunjuk perasaan itu tidak naik marah apabila naik terbang satu syarikat penerbangan yang menjual arak? Kenapa mereka tidak berdemo di depan bangunan Tabung Haji?

Jemaah Haji harus memboikot MAS. Jemaah haji harus mendesak agar dibenarkan terbang ke Mekah untuk fardu haji dan umrah dengan pesawat penerbangan yang tidak menyediakan minuman arak, seperti Syarikat Penerbangan Saudi ataupun syarikat penerbangan lain yang tidak menyediakan arak dari Kuala Lumpur ke Jeddah. (Catatan penterjemah: Royal Air Brunei, Iran Air dan Pakistan Airways, ataupun Bangladesh Airlines – Biman Airlines). Saya tahu apa yang anda katakan, kalau anda tidak terbang dengan MAS anda tidak akan dibenarkan memasuki Arab Saudi. Jika demikian boikot sahaja Tabung Haji. Jangan kerjakan Haji ataupun umrah selagi MAS tidak hentikan penjualan minuman keras ataupun tidak dibenarkan pergi ke Mekah dengan pesawat udara yang bebas daripada menyediakan minuman arak. Korbankan kerja Haji anda kerana prinsip. Jangan kerjakan haji sehinggalah pesawat terbang negara Islam ini menghentikan kerja-kerja mengaibkan Nabi dan mematuhi ajaran Nabi. Itu adalah lebih penting daripada kartun yang bodoh.

Kerajaan sudah mengambil-alih semua urusan masjid. Kerajaan sudah menguasai semua masjid dan semua khutbah adalah disediakan oleh jabatan agama. Tidak ada masjid yang boleh membaca khutbah bikinan sendiri. Jika engkar bermakna imam dan keseluruhan Jawatankuasa masjid akan dipecat dan digantikan dengan lantikan jabatan agama yang kebanyakannya adalah penyokong UMNO.

Khutbah yang disediakan oleh jabatan agama menganjurkan agar kita tidak menentang kerajaan. Kononnya, in adalah satu perbuatan yang tidak Islamik. Kita mesti sujud kepada kerajaan, kerana inilah cara Islam. Kononnya inilah yang diajarkan oleh Nabi Mohammad dan disyariatkan oleh Islam.

Taik kucing! Nabi Mohammad telah menentang kerajaan. Begitu juga nabi-nabi lain seperti Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa, kecuali Adam, mungkin. Ramai antara Nabi yang menanggung kesengsaraan tindak-balas kerana mereka menentang kerajaan. Jabatan agama sebenarnya menyebarkan propaganda kerajaan. Mereka berbohong dan menyesatkan umat Islam. Kenapakah umat Islam di Malaysia tidak naik marah? Kenapa umat Islam tidak menunjuk perasaan? Kenapakah dibiarkan perkara ini berterusan? Bukankah ini satu penghinaan terhadap Islam? Bukankah ini menghina Nabi Mohammad s.a.w.?

Boikot masjid-masjid. Boikot solat jemaah. Biarkan masjid sunyi sepi sehingga perkara ini diperbetulkan. Bersolat di rumah ataupun di pejabat selain pergi ke masjid pada hari Jumaat. Jangan bersekongkol dengan jabatan agama yang melanggar undang-undang Islam serta masjid yang urusannya bercanggahan dengan ajaran Islam. Apa yang mereka lakukan adalah satu penghinaan yang lebih besar kepada Nabi Mohammad berbanding kartun yang bodoh itu.

Satu ketika dahulu saya pernah menyaksikan satu peristiwa di Terengganu bila jumaah bangkit dan keluar masjid untuk bersolat di rumah kerana imam telah membaca khutbah yang jelas merupakan propaganda kerajaan. Dalam satu peristiwa, segelintir jumaah telah bangkit dan bersolat empat rakaat kerana tidak mahu bersama jemaah lain yang mendengar khutbah propaganda kerajaan. Inilah yang saya katakan pembantahan. Salah seorang kawan lama saya (rakan sedarjah Anwar Ibrahim) telah bangkit (ketika khatib membaca khutbah) dan suruh khatib itu duduk. Imam itu tergamam dan terus duduk. Kawan saya merasa bersalah juga kerana imam itu telah jatuh sakit dan mati kemudiannya. Dia merasa bersalah kerana memikirkan kejutan pada imam itu menyebabkan dia diserang sakit jantung.

Jumaat lalu, ribuan manusia telah berdemo untuk membantah kenaikan harga minyak. Apa gunanya membantah? Apakah kerana ia menjejaskan saku anda? Apabila ia mengena batang hidung sendiri baru mahu membantah. Tetapi kalau ia mengena negara, anda tidak ambil peduli.

Itulah yang ditonjolkan oleh MalaysiaKini minggu lalu: "Mana perginya wang Petronas berjumlah RM500 billion?"

Sejak Petronas ditubuhkan 31 tahun dahulu, syarikat minyak itu telah mengaut keuntungan dan menyumbang sehingga RM500 billion kepada kerajaan. Apa jadi dengan wang itu?

Inilah yang disoal oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

"Apakah rakyat sudah menikmati sebahagian keuntungan bernilai RM500 billion itu ataupun hanya segelintir sahaja pemimpin tinggi yang mengamalkan kronisme, korupsi dan segala kemudahan yang menikmatinya sahaja," tanya Lim yang merupakan seorang lulusan perakaunan.

Lim Guan Eng menyebutnya sebanyak RM500 billion, Prof Jomo menyebutnya RM800 billion. Cuba kita cari angka yang sebenarnya.

Setiap tahun Terengganu menerima royalti sebanyak RM800 juta. Ini merupakan 5% faedah minyak dan gas yang digali di negeri itu. Sumbangan Terengganu ialah separuh kepada perolehan Malaysia dari hasil gas dan minyak. Separuh lagi datang daripada Sarawak dan Sabah. Ini bererti bahawa RM800 juta itu hanyalah merupakan 2.5% pendapatan negara daripada gas dan minyak. Ini bererti kalau 100% ia adalah bersamaan RM32 billion setahun. Kalau kita beri diskaun sebanyak 20% bagi turun naik dalam harga pengeluaran jumlahnya masih lagi RM800 billion, seperti yang disebut oleh Prof Jomo. Angka RM 560 billion adalah angka sepanjang cengkaman kuasa Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Malahan angka itu adalah hampir RM700 billion, tetapi kita telah ambil kira 20% diskaun dan angka itu menepati yang disebut oleh Lim Guan Eng (kecuali ia adalah untuk 21 tahun dan bukannya 31 tahun).

Baiklah, jangan risaukan sangat apakah ia RM500 billion ataupun RM800 billion. Ketika Dr. Mahathir berundur daripada jawatannya, selepas 22 tahun menjadi Perdana Menteri, simpanan Petronas adalah sama dengan waktu dia mulakan tugas sebagai Perdana Menteri. Kalau kita ambil kira bahawa wang boleh berlipat ganda walaupun tidak dilaburkan dan dibiarkan tidur dan beranak sahaja dalam bank selama 22 tahu, bererti simpanan Petronas. sudah menurun. Mana perginya RM500 billion ataupun RM800 billion itu, tidak kiralah apa angka sebenarnya? Oleh kerana akaun Petronas tidak boleh diketahui oleh umum, malahan tidak juga pada anggota Parlimen, bererti hanya Perdana Menteri yang tahu-menahu akan angka itu sebenarnya.

Lupakan dahulu kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen (seliter). Ini kacang sahaja. Hanya berjumlah RM4.4 billon setahun. Kita seharusnya lebih prihatin apa yang jadi dengan RM32 billion setiap tahun. Sepanjang lima tahun dalam RMK-9, kenaikan 30 sen itu hanya berjumlah RM22 billion. Akan tetapi hasil pendapatan Petronas selama lima tahun nanti berjumlah RM160 billion. Bukankah itu yang harus menjadi tumpuan kita? Bukankah kita patut bedemonstrasi mengenai hal ini dan bukannya mengenai kenaikan harga 30 sen? Kita tidak seharusnya naik marah dengan apa yang kita perlu bayar lebih. Kita seharusnya lebih marah mengenai apa yang mereka buat dengan semua duit itu.

Kita menyibuk dan melalut hanya kerana 30 sen. Tetapi kita lalai dan tidak peduli dengan ratusan billion WANG KITA yang disalahgunakan oleh kerajaan. Kita tidak peduli dengan wang simpanan negara. Kita hanya pedulikan apa yang keluar daripada saku kita. Penamak! Dan kita memang tamak.

Saya tidak akan berdemo hanya kerana 30 sen. Tetapi saya akan berdemo kerana RM800 billion yang telah dicurahkan ke dalam longkang. Saya tidak akan berdemo kerana kartun yang bodoh. Tetapi saya akan sanggup berdemo kerana Nabi telah diaibkan dan kerana ajarannya telah dipesongkan. Saya tidak akan menyokong tindakan jabatan Islam yang menyerbu disko dan pub di Kuala Lumpur. Tetapi saya akan menyokong kalau ia menyerbu pejabat MAS dan mendakwa mereka kerana kegiatan yang tidak Islamik untuk membuktikan bahawa jabatan itu memang benar-benar prihatin terhadap umat Islam yang minum arak.

Saya akan terus bersolat di rumah dan tidak menyertai solat Jumaat di masjid yang dikuasai oleh kerajaan dan khutbahnya yang disediakan oleh jabatan agama untuk menyebarkan propaganda dan pembohongan kerajaan. Tetapi saya akan pergi ke masjid yang bebas dan mendakwahkan kebenaran (contohnya Masjid al-Mujahidin di Damansara Utama – penterjemah). Saya tidak akan mengerjakan Haji kalau dipaksa oleh undang-undang menaiki pesawat yang mengaut keuntungan melalui aktiviti yang tidak Islamik. Tetapi saya akan pergi kalau dibenarkan kebebasan memilih pesawat pilihan sendiri.

Inilah cara saya membuat bantahan. Saya membantah isu yang lebih besar, bukan terhadap kartun dan 30 sen. Inilah yang dikatakan bantahan marhaen ataupun bantahan sivil. Inilah yang menjahanamkan dinasti kerajaan British di India. Ini juga yang akan menjatuhkan kerajaan Thai sekarang ini. Inilah sebabnya kita tidak dapat jatuhkan kerajaan Barisan Nasional - kerana kita tidak amalkan bantahan marhaen. Kita hanya menjerit dan melalak di tepi jalan, selepas itu kita pulang dan meneruskan hidup kita mengikut cara lama. Pergilahhhhhh! Bagi saya in adalah satu perbuatan yang membuang masa sahaja.

Kalau anda menentang minuman keras, janganlah minum dan sokong sebarang pertubuhan yang mempromosikan minuman itu. Kalau anda tentang Proton, jangan beli Proton dan belilah jenama lain. Kalau anda membantah kenaikan harga minyak, janganlah beli minyak. Kalau anda membantah pengaiban ke atas Nabi, ikutilah ajarannya dengan betul dan taat. Kalau anda menentang kerajaan, amalkan bantahan marhaen. Apa pun yang anda lakukan, jangan melalak dan menjerit di jalanan dan selepas itu buat diam sahaja.

Seandainya anda tidak bersedia melakukan semua itu dan belum sedia berkorban kerana takutkan risiko tindakbalas, merana kesannya, ataupun kehilangan pekerjaan dan keselesaan, eloklah tutup mulut juga dan lakukan yang paling selamat untuk tidak berbuat apa-apa.

Perjuangan membawa risiko dan perlu pengorbanan. Kalau takut risiko dan tidak sanggup berkorban, jangan bicara mengenai perjuangan .

- Raja Petra Kamarudin

Terjemahan MT-SPAR - 07.03.2006

--------------------------------- - - ----------------------------------

an

Penakut Pakai Logik Berbeza, Raja Petra
Oleh Penarik Beca

Saya tak boleh berlakon macam orang pandai dan menyatakan Raja Petra (ketika berjumpa dengan dia lama dulu, dalam dua atau tiga kali, dengan tak malunya saya panggil dia Pak Engku semata-mata kerana nak menghormatinya) sebenarnya mahu mendorong semua orang memberi perhatian kepada perkara yang lebih besar dan real apabila dia memperlecehkan orang-orang yang berdemonstrasi menentang penyiaran kartun yang menghina dan mempersendakan Nabi Muhammad s.' a.w. serta kenaikan harga minyak.

Hodoh sangat kalau saya berlagak pandai dan menyatakan dengan tidak berlapik itulah sebenarnya maksud Pak Engku. Saya juga tak berani nak kata Pak Engku sengaja memilih cara yang mengejutkan itu untuk menghentikan apa yang mungkin dilihatnya sebagai menyalak pada bukit yang salah.

Apa pun niat Pak Engku, sergahannya itu mengingatkan saya kepada pertengkaran cara kawan-kawan dengan seorang pegawai tinggi Kementerian Luar Iran ketika saya mengekor-ekor kawan ke negara itu 1990 lalu.

Pegawai itu, kalau tak silap namanya Syed Mohammadi, menyatakan rasa tidak setujunya terhadap orang yang menunjuk perasaan membantah Salman Rushdie, si syaitan yang menulis The Satanic Verses .

Teringat pula, ketika dia sudahpun menulis Satanic Verses, syaitan itu jugalah yang dipuji oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ' a profound writer' - pujian yang menyebabkan saya tidak memaafkan Anwar yang tidak pernah minta maaf dan sejak dari dulu lagi memohon Allah s.w.t. agar menjauhkan negara ini dari berpemimpinkan Anwar yang tidak pernah saya percayai sejak kira-kira Mac 1982 (saya tak mampu maafkan Anwar sebab kesalahan dia bukan kesalahan kecil - bukan setakat curi selipar di masjid atau rabut cendoi yang baru saya nak minum).

Pegawai Iran itu mengkritik orang-orang yang menunjuk perasaan sambil menyatakan "lebih baik kita lakukan sesuatu yang lebih bermakna seperti menulis buku menentang Satanic Verses , mendedahkan kebatilan buku itu". Walaupun terpaksa tergagau-gagau bercakap bahasa Inggeris yang saya tak reti, saya bangkit membantah pandangan Syed Mohammadi.

Saya terpaksa cakap Orang Putih, tetapi yang sebenarnya saya nak cakap begini: "Hang boleh la, hang tau tulis buku. Aku, yang tak tau tulis buku ni? Apa hang nak aku buat? Apa aku boleh buat kalau tak tunjuk perasaan? Takkan aku nak duduk diam-diam di rumah tengok wrestling ketika orang menghina Nabi aku!?"

Memanglah. Syed Mohammadi mengaji sampai peringkat Sarjana. Di England pulak tu. Dia pandai jawab. Tetapi saya, jangankan universiti, tingkatan enam pun setakat tengok-tengok dari luar memang la selalu, masuk tak pernah dan tak layak.

Begitu juga dengan Pak Engku. Dia berani dan memang terbukti dia berani. Dia pernah dipasung ISA. Ketika dibuli polis dalam tahanan, black belt yang dimilikinya meyakinkan dirinya untuk bergasak kalau mereka terlebih gatal membulinya. Dia juga mahu berlawan isu yang lebih besar dan benar-benar mencabar. Memang dia boleh dan sudah terbukti dia boleh.

Tetapi adakah orang penakut seperti saya dan tidak cukup cerdik untuk mengenal pasti isu-isu yang besar dan mencabar tidak diizinkan membuang masa oleh Islam - melalak di tepi-tepi jalan mengecam kartun-kartun terkutuk dan penjahat-penjahat terkutuk yang menyiarkannya?

Adakah kerana saya penakut nak lawan isu yang lebih besar, jatuh ke tahap "piigirah"lah saya ini kerana melawan isu yang "tak ada apa-apalah!"?

Adakah kerana saya tak berani bersuara menentang taghut besar lalu jatuh ke tahap "piigirah "lah saya ini kerana memekik-mekik marah kepada taghut kecil di Bangsar yang memberhalakan otak mereka dan taghut yang nun jauh di Denmark?

Adakah kerana kita mesti meletakkan priority melawan taghut-taghut besar maka taghut-taghut kecil dibiarkan saja mendebik mata dan jiwa kita dengan segala kejahatan?

Adakah kerana saya tak berani melawan isu yang besar-besar, saya hanya layak duduk di rumah minta isteri tolong cabut uban atau main kejar-kejar atas tangga dengan anak-anak dan mak mertua saya yang memang dah tak ada kerja apa melainkan pergi ambil duit pencen?

Apa salahnya saya melalak menayang-nayangkan perasaan tertekan saya ketika Islam memberitahu saya kalau kamu tidak larat berlawan dengan tangan, lawanlah dengan lidah kamu?

Takkan saya nak membenci di dalam hati sahaja ketika saya tidak pula bisu untuk meraung-raungkan jiwa terseksa saya?

Takkanlah kerana kadang-kadang saya yang kutu ini merasa juga naik kapal terbang MAS (walaupun jarang-jarang) dan hanya mampu beli Proton murahan (setelah lama terkulat-kulat tengok orang pakai kereta dan memujuk sebak di hati apabila anak-anak saya nak pergi sekolah pun susah), maka gugur kelayakan saya untuk melahirkan rasa marah bila pecacai-pecacai Khairy Jamaluddin di NST dengan megah dan berlagaknya bertegas mengatakan kartun kecintaan mereka tidak mempersendakan Nabi dan "tak ada apa-apalah!"

Ketika Allah dah bagi tau saya bahawa hamba-hamba-Nya tidak ditaklifkan oleh-Nya melainkan apa yang dia mampu buat, terperosok di tahap " piigirah"kah saya ini bila saya menyalak mengecam PM yang naikkan harga minyak tiga kupang untuk jimat RM4.4 billion ketika Dr Mahathir kata paling busuk RM1 billion dapat diselamatkan kalau dasar AP diperbetulkan?

Takkanlah kerana saya terlepas pandang ada isu yang lebih besar untuk dilawan, sampai RM800 billion jumlahnya, maka saya kena gam mulut saya dan gari hati saya yang meronta-ronta dalam segala kemarahan bila NST kurang ajar dan tiba-tiba Jabatan Perdana Menteri dengan penuh penakut mengumumkan harga minyak di tengah malam buta laksana kaki ciluk yang takut disuluh polis?

Adilkah kita memulaukan solat berjemaah dan solat Jumaat yang diinstuisikan oleh Allah sebagai sendi perhubungan dan perpaduan ummah?

Ketika Makkah dan Madinah dijajah oleh pecacai Amerika Syarikat, khadimul-Haramain yang bacul dan jahat itu, adakah Imam Khomeini suruh pulau ibadah haji? Bukankah dia buat kerja yang tidak membolehkan orang mengata-ngata tak tentu fasal kat dia demi mengembalikan ruh ibadah haji? - Menganjur serta membiayai seminar-seminar haji di seluruh dunia di samping mengadakan demonstrasi baraah min al-musyrikin di Makkah walaupun orang tuduh jemaah haji Iran suka buat kacau dan kecoh?

Daripada memulaukan solat berjemaah dan solat Jumaat, mengapa tidak buat seminar solat Jumaat dan solat berjemaah untuk menyedarkan orang tentang taghut-taghut yang mengotori masjid dan teks khutbah di negara kita serta mengembalikan ruh solat Jumaat dan solat berjemaah?

Ketika orang berlawan dengan isu yang besar dan real, apa salahnya diberi peluang kepada saya yang penakut menjerit-jerit mencerca isu yang kecil seperti isu pink form yang berguguran dengan lebat seperti hujan musim tengkujuh dalam pemilihan Umno 1983 ketika Anwar gian sangat nak jadi Timbalan Presiden?

Apa salahnya saya mempersoalkan bagaimana balaci-balaci Anwar seperti Nasaruddin Jalil tiba-tiba jadi kaya raya sedangkan saya yang selalu berkeliaran di pejabat ABIM atas Restoran Amjal di Jalan Pantai Baru tahu benar orang-orang itu, masa tu, nak minum teh secawan pun terpaksa 'berijtihad' dekat 80 kali.

Apa salahnya saya mempersoalkan bagaimana pak-pak lebai dan ahli-ahli tasawwuf yang tidak ada latar belakang yang relevan (seperti seorang mat serban yang teriak sakan sampai air mata meleleh ke pusat dalam 'syura' si luncai ketika Anwar nak masuk Umno tahun 1983 dahulu) dapat projek besar ketika Anwar berkuasa.

Apa salahnya saya mempersoalkan bagaimana beberapa kawan saya tiba-tiba jadi jutawan pakai kereta besar, motorsikal besar sedangkan ketika sama-sama berusrah dengan saya dalam ABIM dahulu mereka hanya larat pakai motor kapcai sahaja?

Apa salahnya saya mengecam dan menyedarkan orang tentang kesombongan pak yet-pak yet Anwar seperti Ezzam dan Azmin ketika berlagak di dalam pusat kuasa dulu, sama seperti bagak dan berlagaknya bos mereka, supaya orang-orang seperti itu disekat oleh rakyat dari berkuasa lagi?

Apa salahnya saya mengkritik muka-muka jakun yang rakyat meluat kerana dilihat berlagak dan sombong dalam kerajaan Terengganu 1999-2004 dahulu supaya muka yang sama tidak dikutip dan dicalon lagi selepas ini?

Apa salahnya saya mengkritik Exco dan ADUN di Kelantan yang membodek-bodek Tok Guru dan memuji-muji hidup sederhananya ketika mereka sendiri bagaikan tidur atas duit ketika ramai orang Kelantan hidup susah?

Ketika saya pun benci sangat-sangat Dr Mahathir yang terbukti sungguh kejahatannya apabila orang tidak baik seperti Anwar pun dijulang sebagai hero kerana sanggup menjerit dan menjerkah melawannya, adakah saya hanya boleh melatu Dr Mahathir dan buat-buat tak nampak kepada isu yang kecil-kecil?

Ketika saya amat membenci Dolah (malaslah aku nak panggil Pak Lah atau Abdullah) yang siang hari cakap fasal Islam dan sebelah malamnya dikatakan penuh taat menadah telinga kepada karut-marut Sisters in Islam yang setiap hari saya mohon Allah melaknat mereka, adakah saya hanya boleh bantai Dolah sahaja dan kata "biaq pi lah" kepada isu yang kecil-kecil?

Ketika saya menganggap Dolah adalah PM yang paling lemah dalam sejarah (tapi ingat, dia kuat sangat dan tak pernah lemah dengan pembangkang sebab dia boleh guna polis dan kuasa dia ), lebih lemah dari Allahyarham Tun Hussein Onn, dan ketika tangan saya gatal nak menulis, lidah saya pula gatal nak berkeriau memprotes sang lembik itu, adakah saya tak layak kerana saya tidak bercakap tentang isu yang lebih besar?

Adakah saya ini jenis-jenis samdol yang "piigirah!" kerana saya bodo (bodo pada saya lebih mewakili maksudnya dari bodoh), penakut dan tidak cukup imaginatif untuk melawan isu-isu yang lebih besar?

Adakah saya yang bodo dan pengecut ini tidak boleh berlatih menunjuk perasaan dan berkeriau di tepi jalan, walaupun dengan isu-isu yang " piigirah!", supaya saya tidak lagi penakut ketika menerkam isu yang lebih besar dan real nanti?

Masa kecil-kecil dahulu saya marah sangat dan bertumbuk bila kawan buat garis atas tanah dan kata "sebelah sini kepala pak aku, sebelah sana kepala pak hang, aku nak pijak kepala pak hang!", adakah sekarang, walaupun saya penakut, saya kena jahit mulut saya dan buat-buat bodo bila orang siarkan kartun yang mempersenda dan menghina Nabi yang saya kasihi?

Adakah kerana saya tak minat nak pergi tunjuk perasaan mengecam penyiaran kartun itu dan membantah harga minyak naik, maka saya nak kena kata "mengarut dan apa faedahnya"? ( Teringat beberapa pemimpin yang ceramah dia tak laku dan budak-budak pun boleh main kejar-kejar depan pentas ceramah dia, punyalah tak dak orang, tiba-tiba kata "ceramah-ceramah ni sebenarnya tak ada gunanya dan tak menambahkan kekuatan parti kita". Tok Guru Nik Aziz, Ustaz Hadi dan Allahyarham Ustaz Fadzil tua atas jalan kerana terlalu banyak pergi sana-sini nak berceramah, sia-sia ka? )

Sebab itulah, ketika saya yang bodo ni meneka-neka dan bersetuju dengan niat Pak Engku yang mungkin hendak membuat kejutan kepada semua orang dengan menulis seperti itu, terutama yang menjadi pemimpin-pemimpin parti (teringat seorang pemimpin yang mempersoalkan apa perlunya demonstrasi kepada sekumpulan pemuda Kedah, tiba-tiba apabila melihat orang ramai dah turun menunjuk perasaan dalam beberapa demonstrasi sebelum itu, si opportunis tu nak jadi hero pula dalam demonstrasi di KLCC), saya kutu kampung yang bodo ini tak larat nak kata "ya, ya, ya' kepada semua pandangan Pak Engku kerana logik saya jauh berbeza dengan logik dia.

Tolonglah maafkan sang kutu buta politik ini, Pak Engku!

- Penarik Beca - 08.03.2006

.x.x.x.x.x.x.x.

No comments: