Date:

[harakahdaily] Media perdana tidak bebas: Zaman Mahathir, Abdullah sama sahaja



Media perdana tidak bebas: Zaman Mahathir, Abdullah sama sahaja PDF Cetak
Tue | Apr 25, 06 | 06:13:39 PM
Oleh Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR, 25 April (Hrkh) - Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar menempelak bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad atas pandangannya  mengenai media arus perdana yang tidak bebas.
 
Menurut Mahfuz, ketidakbebasan media pada hari ini adalah sama seperti semasa pemerintahan beliau (Tun Mahathir) terutamanya kenyataan-kenyataan yang mengkritik kerajaan.
"Saya bukan hendak 'memulangkan paku buah keras' kepada Tun tetapi itulah hakikatnya yang berlaku terhadap media negara ini yang dipengaruhi kerajaan memerintah," katanya semasa dihubungi.
 
Katanya, tindakan Mahathir membuat surat terbuka berhubung kritikannya mengenai keengganan kerajaan meneruskan pembinaan jambatan bengkok menunjukkan kekesalan Mahathir terhadap media arus perdana.
"Ini satu jentikan buat Mahathir bahawa media negara ini melaporkan padangan arus perdana sahaja, apa yang berlaku kepada Tun hari ini, itulah yang sedang dihadapi oleh kami, " katanya.
 
Baru-baru ini, Tun Mahathir melahirkan tidak puas hatinya apabila kenyataan beliau berhubung tindakan kerajaan membatalkan pembinaan jambatan bengkok tidak disiarkan di media.
 
Ekoran daripada itu, Mahathir mengambil langkah membuat surat terbuka untuk menyatakan padangannya.
"Fakta-fakta yang terkandung dalam surat ini perlu saya hebahkan dengan cara ini kerana pada akhir-akhir ini tidak banyak lagi kenyataan saya yang disiarkan, sama ada oleh media massa elektronik atau cetak, walaupun mereka menghantar wakil untuk menghadiri sidang akhbar saya," kata Tun Mahathir.
 
 

No comments: