Date:

Fwd: Kerajaan gagal atasi krisis gula

---------- Forwarded message ----------
From: Raja Petra Kamarudin <adilnet@streamyx.com>
Date: Sat, 12 Aug 2006 18:08:02 -0700 (PDT)
Subject: [Malaysia Today] [Berita & Komentar] Kerajaan gagal atasi krisis gula
To: malaysia_today@yahoogroups.com

Malaysia Today

Krisis kekurangan gula masih berlarutan walaupun pihak kerajaan telah
memberi pelbagai janji bagi menyelesaikan masalah ini yang telah
berlaku sejak beberapa bulan yang lalu.

Dalam tinjauan ke beberapa lokasi khususnya dalam negeri Johor,
didapati bahawa kawasan Batu Pahat dan Kluang adalah di antara daerah
dalam negeri Johor yang sangat terkesan dengan masalah kekurangan
gula.

Di Kluang, bekalan gula pasir tidak dijumpai di mana-mana pasaraya.
Peniaga-peniaga makanan pula merungut kerana kekurangan bekalan gula
telah menyebabkan perniagaan mereka terjejas teruk.

Krisis kekurangan gula sebelum ini pernah berlaku beberapa bulan yang
lalu. Pelbagai janji telah dibuat bagi meyakinkan rakyat bahawa isu
ini akan dapat diatasi.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau masalah
kekurangan bekalan gula di seluruh negara. (Utusan Malaysia, 6 Jun
2006)

Jawatankuasa khas ini berfungsi untuk menyiasat aktiviti penyeludupan
dan kes menyorok bekalan gula oleh pemborong dan peniaga. Hukumannya,
peniaga dan pemborong yang didapati menyorok bekalan gula, boleh
didenda maksimum sebanyak RM25,000 termasuk dihukum penjara mengikut
Akta Kawalan Bekalan 1991. Talian bebas tol kementerian 1-800-886-800
telah diwujudkan untuk menerima sebarang bentuk maklumat untuk
menyelesaikan kes ini.

Yang menariknya, KPDNHEP dengan penuh yakin bahawa masalah kekurangan
gula akan dapat diatasi dalam masa satu atau dua hari lagi.

Sistem pengangkutan juga pernah dijadikan sebab masalah bekalan gula
berlarutan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(KPDN), Datuk Mohd. Shafie Apdal menyatakan bahawa kekurangan gula
disebabkan sistem penghantaran yang tidak cekap oleh Keretapi Tanah
Melayu Berhad (KTMB). (Utusan Malaysia, 6 Julai 2006)

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pula
mencadangkan kenaikan harga gula sebanyak 30 sen daripada harga
asalnya RM1.40 sebagai langkah yang dilihat dapat mengatasi masalah
ini.

Cadangan untuk menaikkan harga gula bagaimanapun telah ditolak oleh
kerajaan dengan alasan ia akan memberi kesan kepada peningkatan kos
hidup rakyat.

Selepas itu, KPDNHEP memperkenalkan sistem pembekalan gula oleh
pemborong mengikut zon bagi mengatasi masalah bekalan bahan itu yang
tidak seimbang di seluruh negara (Utusan Malaysia, 12 Julai 2006) dan
perkara yang sama diulangi oleh Datuk Mohd. Shafie Apdal pada 17 Julai
2006.

Kini, KPDNHEP terpaksa mengakui bahawa masih belum dapat mengatasi
masalah kekurangan gula di negara ini walaupun pelbagai mekanisme
digunakan.

Cuma kali ini bukannya masalah pengangkutan yang menjadi alasan tetapi
disebabkan oleh sikap pengilang yang lebih cenderung mengeluarkan gula
halus berbanding gula kasar kerana harganya tidak dikawal. Gula halus
dikatakan boleh dijual sehingga lebih RM2 sekilogram sedangkan gula
kasar RM1.45 sekilogram.

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil menggesa
krisis kekurangan gula diatasi dengan segera, bukannya dengan
memberikan pelbagai alasan untuk menutup kelemahan kerajaan. Paling
terkesan sudah tentunya pengguna. Harga barangan keperluan yang
menggunakan gula sudah pasti akan meningkat. Peniaga akan mengambil
kesempatan dengan menaikkan harga gula.

Dengan perkembangan ini, bermakna kerajaan GAGAL untuk menyelesaikan
masalah kekurangan gula. Apa yang dibimbangi, kerajaan akan mengambil
keputusan untuk menaikkan harga gula seperti mana yang pernah
dilakukan terhadap krisis kekurangan minyak diesel satu masa dahulu.
Dalam apa jua keadaan, kerajaan mesti bertegas dengan keputusan untuk
tidaks menaikkan harga gula. Jangan jadikan rakyat/pengguna sebagai
mangsa.

--

No comments: