Date:

'Imam salah wajib ditegur' - Tun Mahathir

Oleh Azamin Amin
Harakahdaily


Menegur pemimpin adalah salah satu pendekatan yang diajarkan oleh agama Islam dan jika tidak dilakukan sedemikian maka pemimpin tersebut akan kekal dengan kesalahannya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammed sambil memberi contoh seorang khalifah Islam sewaktu dilantik selepas wafatnya Rasullullah s.a.w meminta serta menasihati orang ramai menegur beliau sekiranya melakukan sebarang kesalahan.

"Khalifah yang besar ini pun percaya yang dia mungkin salah," katanya sewaktu berucap di majlis Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara dekat Tropicana Resort dekat sini pagi tadi.

Turut serta dalam majlis tersebut ialah Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara Senator Dato' Ikhwan Salim Sujak dan Ketua Pemudanya Mohamad Azli Saad.

"Seperti dalam sembahyang,Imam membaca salah, maka menjadi tanggungjawab kita menegur dan jika tidak dia, akan kekal dengan kesalahannya," kata Mahathir yang kemudian disambut oleh tepukan gemuruh dan sorakan orang ramai.

Beliau mengungkap kepada hadirin tentang kesalahan yang ingin ditegurnya dan mengupas kembali kritikan dan beberapa persoalan yang timbul dalam isu jambatan bengkok dan isu permit import (AP) yang perlu dijawab kerajaan.

Dalam isu jambatan bengkok katanya, surat yang didedahkan kepada umum oleh kerajaan mengenai isu tersebut bukanlah surat yang diklasifikasikan sebagai rahsia kerana surat tersebut telah diketahui oleh umum, malah telah didedahkan terlebih dahulu oleh Singapura.

"Yang saya mahu ialah dedahkan surat perjanjian yang mengandungi syarat penjualan pasir dan kebenaran ruang udara untuk pesawat Singapura sebagai syarat membina jambatan bengkok.

"Kononnya itulah punca kerajaan membatalkan projek jambatan tersebut.

"Setahu saya sewaktu nak bina jambatan dulu,Goh Chok Tong (Perdana Menteri Singapura) telah bersetuju tanpa sebarang syarat walaupun kurang senang dengan cadangan kita," katanya sambil menunjukkan surat perjanjian beliau dan Goh Chok Tong.

Selain itu, beliau turut menyatakan tentang prinsip perjuangan Umno yang tidak mengutamakan kepentingan pemimpin parti dan meminta supaya ahli-ahli Umno memahami bahawa Umno akan terus kukuh walaupun pemimpinnya bertukar ganti.

"Jadi pemimpin mesti tahu ke arah mana dan matlamat yang ingin dibawa, seperti Dato' Onn walaupun berjasa, apabila ahli-ahli dan Umno dapati beliau telah gagal membawa hala tuju seperti yang dikehendaki, maka dia terpaksa berundur diri.

"Begitu juga apabila kita dapati Tunku Abdul Rahman tidak berusaha memajukan orang Melayu, dia juga terpaksa pergi," katanya.

Namun katanya, 'pemergian' mereka ini tidak sama sekali menghancurkan parti dan menafikan bahawa setiap krisis yang berlaku akan 'melumpuhkan' Umno, bahkan menguatkan lagi Umno kerana prinsipnya yang perjuangkan bangsa, agama dan negara.

Beliau turut menyatakan bahawa ahli-ahli Umno tidak bodoh sehingga dipaksa mendengar satu hujah dari sebelah pihak sahaja kerana setiap individu bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh.

"Jika tidak ia seumpama berkata - 'mana titah patik junjung'," kata beliau yang merujuk kepada lafaz Laksamana Hang Tuah yang taat setia tidak berbelah bahagi kepada Raja walaupun adakalanya tindakan Raja merugikan rakyat jelata.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada pelbagai tindakan, sekatan dan tekanan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menghalangnya daripada berucap kepada ahli-ahli Umno dan orang ramai tentang kritikan pedasnya terhadap kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya puji Pemuda Umno bahagian Utara kerana keberanian mereka menjemput saya walaupun ada pelbagai tekanan," katanya sebelum menamatkan ucapan.

Terdahulu, Ketua Pemuda Mohamad Azli Saad turut menyatakan kekecewaannya terhadap pelbagai sekatan yang dihadapinya.

"Saya jemput bekas Perdana Menteri bukan bekas Timbalan Perdana Menteri, jadi janganlah kecoh-kecoh," katanya.

Majlis tersebut berlangsung sebelum Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara itu diberi nama "jasamu dikenang" dihadiri oleh hampir 1000 orang ramai yang ingin mendengar pendedahan dan penjelasan Tun Mahathir.

Sebelum Tun Mahathir berucap, sebagai tanda terima kasih Pemuda Umno di atas penghargaan jasa beliau selama ini, majlis tersebut mengundang adik Dania berusia 14 tahun untuk mempersembahkan isekan biola yang membawa lagu "dimanakan kucari ganti" nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kepada beliau.

Selepas majlis tersebut, satu sidang media diadakan yang dihadiri oleh berpuluh wartawan dalam dan luar negara antaranya daripada Al Jazeera dan RTM.

No comments: