Oleh Aniz Nazri
Harakahdaily
Belanjawan 2007 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jumaat ini diharap dapat membantu menjana ekonomi rakyat dan negara.
Kerajaan juga digesa untuk mengotakan beberapa perkara yang dijanjikan kepada rakyat dalam belanjawan 2006 lalu, seperti pembayaran kepada kontraktor-kontraktor.
Pakar ekonomi, Dr Rosli Yaakop, berkata kerajaan gagal membayar kepada kontraktor yang telah menyiapkan kerja-kerja, menyebabkan mereka kehabisan modal.
Beliau menambah, bayaran kepada kontraktor ini telah tertunggak melebihi setahun dan seharusnya kerajaan segera menyelesaikannya.
Dr Rosli turut meminta kerajaan agar mengembalikan subsidi minyak dengan keuntungan besar yang diperoleh Petronas.
"Keuntungan Petronas besar, kita yakin kerajaan mampu untuk memulihkan subsidi. Apabila subsidi diberikan, harga petrol akan turun, di mana beban kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang ditanggung rakyat akan berkurangan," jelas beliau ketika menyatakan harapannya terhadap belanjawan 2007 yang akan dibentangkan 1 September ini.
Dalam pada itu, beliau turut mendesak kerajaan supaya melaksanakan tender terbuka dalam pengagihan kontrak-kontrak dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan belanjawan negara.
"Selama ini kerajaan tak ikut peraturan berhubung pemberian kontrak. Sepatutnya, kerajaan perlu agihkan secara terbuka bagi menjamin kecekapan. Pengalaman lalu, apabila tender terbuka tidak dilakukan, kontraktor yang dipilih mengalami masalah ang menyebabkan projek-projek terbengkalai," tegas beliau.
Dr Rosli turut meminta kerajaan agar mengotakan janji dengan membangunkna sektor pertanian secara bersunguh-sunguh kerana ia merupakan satu sektor terpenting negara.
Dalam perkembangan sama, Dr Rosli turut merangka belanjawan altenatif bersama rakan-akan pembangkang lain seperti KeADILan.
"Kami (BA) sedang merangka belanjawan, dengan kajian yang dijalankan Lajnah Ekonomi PAS Pusat. Dalam sedikit masa kita juga akan membentangkan belanjawan kita," kata beliau.
--
Date:
Belanjawan: Kerajaan diminta kota janji, kembalikan subsidi minyak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment