(Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menerima kekalahannya dalam pertandingan untuk menjadi anggota perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung parti November ini, tetapi mendakwa ia disebabkan rasuah dalam kalangan perwakilan pada persidangan Umno Bahagian itu.
"Tentunya saya harus menerimanya, jika saya katakan tidak, adakah bermakna ia akan diisytiharkan tidak sah dan batal?
"Semua orang telah diminta menerima keputusan itu. Tetapi saya percaya kekalahan saya disebabkan rasuah dalam kalangan perwakilan," katanya kepada pemberita hari Isnin selepas berucap kepada para penyokongnya di pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.
Untuk menyokong dakwaannya mengenai sogokan itu, Dr Mahathir berkata sampul surat berwarna coklat yang mengandungi nombor mereka yang sepatutnya dipilih, diberikan kepada sejumlah perwakilan dan mereka yang menang adalah mereka yang tersenarai.
Pada pemilihan Sabtu lepas, bekas Perdana Menteri mendapat tempat kesembilan daripada senarai 15 calon yang bertanding, bagaimanapun anaknya Datuk Mukhriz terpilih dalam senarai tujuh orang yang akan ke perhimpunan agung di Kuala Lumpur.
Dr Mahathir berkata perwakilan diberikan sampul surat coklat mengandungi senarai wakil yang patut dipilih bersama "sejumlah wang".
"Senarai itu saya percaya dimasukkan ke dalam sampul surat itu bersama RM200. Jadi harga maruah perwakilan ini ialah RM200 dan untuk RM200 itu mereka agak bersedia untuk tidak memilih saya tetapi memilih orang lain.
"Inilah jenis pemilihan yang kita lihat dan ia akan menjadi berleluasa dan mereka ini akan menggunakan walau apa jua cara untuk memenangi pemilihan ini. Saya menerima kekalahan saya tetapi saya juga mahu menyatakan bahawa saya kalah kerana orang mengamalkan rasuah untuk menang pemilihan," katanya.


No comments:
Post a Comment