Oleh Mohd. Sayuti Omar
Sehingga rencana ini ditulis, Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi belum membatalkan niatnya untuk turut bertanding sebagai perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung parti itu pada November hadapan.
Walaupun ada suara-suara yang meminta beliau menarik diri dari bertanding kononnya bagi mengelakkan perpecahan di dalam Umno, namun Mahathir tetap dengan keputusan awalnya, mahu bertanding!
Pencalonan yang kurang menggalakkan untuk Mahathir, nampaknya tidak menggugat bekas PM itu untuk melangkah masuk ke dalam Dewan Merdeka, PWTC. Khabarnya Mahathir kini mendapat pencalonan kedua terakhir, di bawah anaknya Mukhriz yang memperolehi pencalonan agak memuaskan.
Apakah, Cawangan-cawangan Umno di Kubang Pasu sudah berpolitik, memberi isyarat kepada Mahathir dengan situasi itu? Biarlah Mukhriz menang perwakilan tetapi bukan bapanya?
Pun begitu, Mahathir adalah Mahathir. Beliau tidak mudah untuk surut ke belakang. Lagi pun pencalonan yang diterimanya setakat ini sudah melayakkan untuk beliau turut sama bertanding. Mahathir tidak memerlukan pencalonan 90 peratus untuk melayakkan diri, tetapi cukup setakat dua sahaja. Tidak ada kuota khusus untuk bertanding sebagai perwakilan!
Mahathir tidak takut kepada kalah. Dan kekalahan baginya tidak memberi apa-apa bekas lagi yang boleh menjejaskan kredibilitinya. Beliau adalah bekas Ketua Bahagian dan bekas Presiden Umno. Nampaknya pihak yang cuba menghalang atau lebih tepat takut kepadanya di Kubang Pasu, menjadikan alasan perpecahan jika Mahathir meneruskan hasratnya itu.
Mereka kononya bimbang apabila Mahathir bertanding akan berlaku perpecahan di dalam Umno. Agak aneh juga alasan dan hujah itu. Kenapa Umno harus berpecah dengan pertandingan itu. Bukankah pertandingan dibenarkan di dalam Umno dan ia telah menjadi budaya? Itulah hujah yang digunapakai oleh Mahathir apabila ada pihak cuba menghalangnya.
Alasan perpecahan tidak boleh diterima. Sepatutnya mereka di Kubang Pasu, perlu mengakui secara jujur bahawa mereka takut kepada kemaraan semula (come back) Mahathir ke dalam Umno. Itu sebenarnya. Perpecahan itu hanya rekaan dan satu dakyah untuk menyekat bekas Perdana Menteri itu.
Persoalannya kenapa ada orang takut dengan pengembalian semula Mahathir ke dalam Umno? Pertanyaan ini yang penting dihuraikan. Sama ada beliau akan berjaya atau tidak, itu tidak timbul. Umno tidak sepatutnya takut kepada Mahathir kembali semula di dalam Umno. Kalau Umno di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi ini sudah benar-benar kuat dan berpadu, mengapa harus takut?
Seorang individu tidak boleh menumbangkan sekumpulan manusia yang ramai, kuat dan berkuasa?
Mahathir hanya seorang insan dan bekas PM dan bekas Presiden Umno. Beliau tidak ada apa-apa team atau kumpulan. Sepatutnya keadaan itu boleh dihadapi oleh Umno dengan rapuh sahaja. Mahathir juga setakat ini tidak membentuk apa-apa kumpulan baik secara zahir atau tidak untuk cuba menguasai Umno semula walaupun bayangan itu ada!
Beliau hanya disokong oleh beberapa kerat mereka yang buruk kepala di dalam Umno dan juga mereka yang telah disingkir dan tidak laku digadai di dalam Umno. Sepatutnya Umno tidak perlu merasa gentar bilamana Mahathir di kelilingi oleh orang-orang seperti ini. Lainlah kalau Mahathir dilingkungi oleh mereka yang bermoral, jaguh rakyat ataupun yang dikenali sebagai sosok yang hebat, berjasa, ulama dan mereka yang mulia.
Jadi, walaupun apa motif dan tujuannya, Umno tidak perlu menyekat Mahathir sebaliknya harus memberi jalan kepada Mahathir. Umno hendaklah membentang jalan seluas-luasnya untuk Mahathir mara. Hendaknya jangan ada sesiapa yang menganggu atau menyekat akan niat Mahathir untuk bertanding menjadi perwakilan. Malahan Umno bahagian Kubang Pasu, seharusnya menerima dengan tenang dan terbuka.
Berikan keadilan kepada beliau. Buktikan bahawa di dalam Umno masih ada demokrasi walaupun Mahathir sendiri tahu akan nilai dan tahap mutu demokrasi di dalam Umno. Beliau memimpin parti itu selama 22 tahun. Mahathir tidak menyembunyikan kebenaran di dalam Umno!
Apabila Umno menyekat atau menghalang (sehingga Mahathir gagal bertanding) beliau terus akan menyalak nanti mengatakan di dalam Umno tidak ada demokrasi. Kegagalan itu akan digunakan sebagai bukti bahawa demokrasi di dalam Umno sudah berbau (busuk) setelah ianya sudah lama mati. Itulah sebenarnya yang dinanti-nantikan Mahathir untuk menyebarkan kebusukan Umno.
Sebenarnya memberi laluan kepada Mahathir bertanding menjadi perwakilan, kemudian lantik pula beliau menjadi jurubicara Umno Kedah pada perhimpunan agung Umno, adalah cara paling baik bagi menyejukkan suhu badan Mahathir yang panas ketika ini. Cara itu paling harmonis. Umno harus medengar apa-apa juga yang hendak diperkatakan oleh Mahathir.
Mahathir ketika ini seperti budak yang sedang merengek inginkan sesuatu. Kalau ditahan dan dipujuk merengeknya menjadi-jadi. Penyelesaian paling baik ialah dengan membiarkan beliau merengek dan memenuhi apa yang dikehendakinya walaupun cara itu dikira tidak sesuai dan menyusahkan.
Lagipun, kalau Mahathir dibenarkan bercakap pada perhimpunan Umno akan datang, rasanya tidak ada apa yang baru yang akan didedahkan. Beliau akan mengulangi apa yang diucapkan sebelum ini. Cuma apa yang beliau mahu ialah mengkritik Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin di hadapan para perwakilan secara rasmi.
Apa Umno perlu takut dengan segala pendedahan itu. Biarkan semua perwakilan mendengarnya dengan penuh terbuka. Biar perwakilan menilai sendiri setiap apa yang didedahkan. Perwakilan Umno rasanya tidak bodoh, tidak bahlul dan tidak pekak untuk mendengar sendiri dengan mata kepala mereka. Kritikan dan pendedahan Mahathir di dalam Dewan Merdeka kelak hanya akan menjadi dodoian yang akan melenakan tidur saja.
Sekiranya apa yang diperkatakan itu benar, mereka akan menerima sebagai benar. Mereka akan bertindak di atas kebenaraan itu. Dan proses ini tidak dapat siapa menyekatnya. Kebenaran seperti air yang laju turun dari gunung menuju lembah. Betapa kita menyekatnya ia akan 'tembur' (landa) juga, dan jika dipertahankan akhir ia boleh memecahkan 'tandak' (benteng) itu.
Sebaliknya, kalau apa yang Mahathir luahkan itu tidak lebih daripada perasaan kecewanya selaku permian bola sepak yang sudah tua yang kini berada di bangku stadium menyesalkan masa lampaunya sambil mengkritik dan memburukkan permainan yang sedang berlangsung di atas padang, perwakilan boleh menilainya apakah tindakan Mahathir itu waras atau sebaliknya.
Menyekat keinginan Mahathir yang dihalalkan menerusi demokrasi Umno (yang ditafsirkan itu) bukan keputusan bijaksana. Ia boleh merobekkan lagi suasana. Jadi jalan terbaik ialah Umno bahagian Kubang Pasu perlu memberi laluan agar beliau bertanding. Dan sekiranya di dalam pertandingan itu Mahathir ditakdirkan kalah, Umno patut menjemput bekas Presiden itu berucap pada perhimpunan atas kapasitinya sebagai orang tua Umno.
Abdullah harus 'gentleman' di dalam hal ini dan berpolitiklah secara jujur dan terbuka. Sesungguhnya rakyat (ahli Umno) tidak mahu kepada apa juga pemanipulasian demi 'survival' mana-mana tokoh kerana cara itu adalah munafik.
Perwakilan dan ahli Umno juga dipercayai dapat menilai mana intan dan mana kaca. Dan sekiranya semua perwakilan Umno seperti kata Mahathir semuanya sebagai 'patik' yang menjunjung titah perintah tuanku, Abdullah tidak perlu bimbang kerana hari ini beliau adalah raja yang memerintah, sementara Mahathir adalah raja yang sudah pencen!
--
Date:
Kenapa Umno Perlu takut kepada Mahathir?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment