Date:
Sampai bila "sindrom tak tahu" PM akan berakhir?

Oleh Penarik Beca
Harakahdaily


Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja terkenal dengan sikap suka membisu ketika pelbagai persoalan dibangkitkan mengenai gelagat kepemimpinannya dan kerajaan, malah beliau juga terkenal sebagai seorang Perdana Menteri yang suka menampilkan diri dalam keadaan serba tidak tahu.

Pengakuan bahawa tidak tahu beliau yang paling terkenal ialah mengenai penggabungan ECM Libra dengan Capital Avenue dahulu di mana menantunya Khairy Jamaluddin menguasai kira RM9.2 juta saham dalam ECM Libra pada masa itu.

Malah, penggabungan itu berlaku sebaik sahaja Khairy mempunyai saham dalam ECM Libra.

Ular lidi telan naga

ECM Libra disifatkan menelan Capital Avenue dan penggabungan itu dikritik oleh banyak pihak termasuk mereka yang menyifatkannya sebagai ular lidi (ECM Libra) menelan naga (Capital Avenue).

Ketika Abdullah ditanya mengenai penggabungan itu, akhbar menyiarkan pengakuan paling popularnya, "Saya tidak terlibat dalam apa jua cara pun, saya tidak tahu."

Terbaru, Abdullah juga dilaporkan mengaku beliau tidak tahu apabila ditanya mengenai kenyataan Khairy yang mencetuskan kemarahan kaum Cina dan dikritik lantang dalam perhimpunan agung Pemuda MCA ke-43 Sabtu lalu.

Khairy semasa merasmikan persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Jerlun, Kedah baru-baru ini mendakwa kaum Cina akan mengambil kesempatan daripada kelemahan Umno.

Abdullah berkata, beliau tidak tahu apa sebenarnya yang dikatakan oleh Khairy.

Mohon maaf

Ketika ditanya adakah Khairy perlu memohon maaf kepada kaum Cina, Abdullah memilih untuk membisu juga dengan menyatakan beliau belum dapat menyatakan perkara itu.

Ketua Pemuda MCA, Dato' Liow Tiong Lai menyifatkan kenyataan Khairy yang tidak diketahui apa sebenarnya oleh Perdana Menteri itu sebagai berbahaya.

"Ada orang mendakwa yang saham syarikat tidak boleh jual kepada bukan bumiputera ... ada juga yang mendakwa jika Umno lemah, kaum Cina akan mengambil kesempatan untuk membuat pelbagai tuntutan.

"Saya mahu mengingatkan mereka bahawa tindakan mereka itu adalah sentimen perkauman yang merbahaya. Jangan cuba menjadi jaguh dengan memainkan isu sensitif," katanya walaupun tanpa menyebut nama Khairy.

"Orang-orang ini hanya mementingkan keuntungan politik sahaja," Malaysiakini memetik ucapan beliau dalam bahasa Mandarin itu.

Kerugian besar

Wakil Negeri Sembilan, Lee Liu Hoay pula secara sinis melahirkan simpatinya pada kerugian besar yang ditanggung Khairy kerana terpaksa menjual saham ECM-Libra.

"Padan muka anda, anda memang patut rugi," katanya.

Lee juga membidas Naib Ketua Pemuda MCA, Ling Hee Leong kerana "berbaik-baik" dengan Khairy bagi menutup segera kontroversi yang dicetuskan oleh menantu Perdana Menteri itu.

"Dia (Ling) bertemu dengan Khairy baru-baru ini, saya harap Ling tidak menawarkan pinjaman wang kepada Khairy. Jika dia buat begitu, dia tidak akan menang apa-apa jawatan dalam MCA selepas ini," tambahnya.

Tidak diketahui mengapakah Pemuda MCA yang membahaskan kenyatan Khairy dengan begitu berapi-api lebih tahu dan mempunyai maklumat yang lebih baik mengenai kenyatan itu berbanding Perdana Menteri yang menagku tidak tahu.

Amat menghairankan kerana beliau sepatutnya mempunyai maklumat yang kemaskini mengenai perkembangan penting di dalam negara lebih-lebih lagi dalam parti pimpinannya.

Simpati atas kelesuan

Keadaan serba tidak tahu Abdullah itu kadang-kadang menimbulkan simpati pembangkang apabila melihat keadaan beliau yang amat mendukacitakan ketika menjawab soalan sehingga apabila ditemubual dalam rancangan yang disiarkan kepada rakyat, Abdullah kelihatan begitu lesu dalam jawapannya malah ada kalanya pihak yang menemubual kelihatan terpaksa membetulkan Abdullah.

"Ada dua kemungkinan sahaja. Abdullah memang sungguh-sungguh tidak tahu atau beliau tidak tahu teknik tertentu untuk memberikan jawapan yang perlu digunakan oleh ahli politik yang banyak membuat silap," kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

"Kalau kita tidak buat silap, kita tidak memerlukan teknik sedemikian untuk menjawab soalan. Mungkin Perdana Menteri memerlukan teknik itu".

Perdana Menteri juga kelihatan tidak tahu anaknya, Kamaluddin, mempunyai begitu banyak perniagaan di Malaysia apabila menyatakan, ''hampir 80 peratus kontrak Kamaluddin diperoleh di luar negara. Selebihnya, sedikit kontrak Petronas yang diperolehnya melalui tender terbuka.''

Umpama Megawati

Paling akhir, Abdullah sekali lagi mengambil sikap membisu seperti bekas presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri mengenai isu yang ditanyakan lagi oleh wartawan Agendadaily bahawa beliau adalah pihak yang menerima faedah (beneficiary) dalam skandal yang berlaku ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaksanakan program yang bertujuan membantu rakyat Iraq di zaman Saddam Hussein, iaitu program penukaran minyak untuk makanan (Oil for Food).

Abdulah terus berdiam diri apabila Dr Mahathir secara terus-terang menyarankan supaya sebuah badan bebas ditubuhkan untuk menyiasat adakah Abdullah terlibat dengan skandal itu.

Saranan Dr Mahathir itu ditengelamkan dengan berita demi berita mengenai hasrat beliau untuk menjadi perwakilan dalam perhimpunan agung Umno.

Penglibatan orang yang bernama "Abdullah Badawi" dari Malaysia mula dibangkitkan dalam laporan Charles Duelfer yang mengetuai U.S. Iraq Survey Group.

Laporan itu menyatakan Saddam mengeluarkan baucer rahsia untuk pembelian minyak yang boleh dijual semula bagi mendapatkan keuntungan besar.

Antara pihak yang disenaraikan sebagai penerima baucer itu ialah "Abdullah Badawi" dari Malaysia, tetapi tidak menyatakan adakah beliau juga adalah Perdana Menteri Malaysia dan tidak juga memberikan apa-apa maklumat lanjut mengenai identiti nama yang disebutkan itu.

Jual dua juta tong

Ia juga menyatakan "Abdullah Badawi" telah menerima baucer untuk menjual dua juta tong minyak Iraq melalui syarikat bernama Tradeyear.

Bagaimanapun, Perdana Menteri telahpun dilepaskan dari tuduhan itu.

Namun, apa yang menghairankan ialah mengapa Abdullah berdiam diri terhadap saranan Dr Mahathir itu? Walaupun beliau dilepaskan dari tuduhan itu, sikap berdiam dirinya boleh menyebabkan dirinya kelihatan tidak bersih.

Walaupun Dr Mahathir mengakui beliau tidak sedar bahawa "Abdullah Badawi" dari Malaysia menerima faedah dari skandal minyak untuk makanan itu, tetapi beliau tetap merasakan perlu dilakukan penyiasatan oleh sebuah badan bebas.

"Masa saya PM saya tidak sedar, cuma selepas saya letak jawatan laporan dibuat. Yang penting bukan (sama ada) dia beneficiary atau tidak tetapi sebagai Timbalan Perdana Menteri atau menteri atau sesiapa yang pegang jawatan (dalam kerajaan) tidak harus terlibat dalam apa-apa transaksi komersial.

"Nampaknya dia terlibat. Sejauh mana dia terlibat saya tidak tahu. Tetapi saya fikir perlu ada siasatan oleh sebuah badan bebas, bukan oleh mereka yang dibawah arahannya.

"Menteri Hal Ehwal India (Natwar Singh) namanya ada dalam senarai itu, dia letak jawatan," kata Dr Mahathir.

Surat sokongan

Mengulas pengakuan Abdullah bahawa ada ahli perniagaan yang menemuinya meminta surat sokongan dan beliau pula memberikan surat sokongan, bekas Perdana Menteri berkata:

"Orang itu adalah kakak iparnya. Itu yang saya dapat tahu.

"Sekurang-kurangnya saya patut tahu atau mendapatkan kebenaran saya. Tetapi ini tidak, tidak ada kebenaran diminta dan saya tidak tahu apa-apa mengenainya sehingga saya letak jawatan".

Beliau seterusnya berkata jika perkara itu "berlaku di zaman saya (sebagai) Perdana Menteri, saya pasti akan menolaknya dan mengambil apa-apa tindakan yang sewajarnya".

Persoalannya, adakah sekali lagi Abdullah akan menjawab "Saya tidak terlibat dalam apa jua cara pun, saya tidak tahu" atau adakah beliau akan terus membisu?

Sehingga bila Perdana Menteri terus bisu dan tidak tahu?

No comments: