Oleh Saidatul Amani
Harakahdaily
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kesal dengan sikap
pimpinan kerajaan yang tidak bertanggungjawab mempertahankan kesucian
agama Islam tanpa mengadakan undang-undang murtad ke atas umat Islam.
Menurut beliau, kerajaan BN yang mempromosi Islam Hadhari seolah-olah
takut membuat satu undang-undang yang menghalang orang Islam murtad.
Beliau berkata, PAS telah berperanan besar dengan menghantar
memorandum kepada kerajaan menjelang kemerdekaan supaya menjadikan
agama Islam sebagai agama rasmi negara.
"Malangnya agama Islam ini telah ditafsir oleh Umno dengan fikiran dan
ternyata merosakkan kesucian agama ini," katanya dalam ceramah
memperingati Badar Al-Kubra dan Al-Quds pada hari Sabtu, 7 Oktober di
Dewan Dato' Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar di
sini.
Sebelum itu, beliau turut menghadiri jamuan berbuka puasa di dataran
Markas Tarbiyah. Turut hadir Naib Presiden, Mohamad Sabu; Setiausaha
Agung, Dato' Kamaruddin Jaffar; Bendahari, Dr Hatta Mohd Ramli; Ketua
Pemuda, Salahuddin Ayub; Pengerusi Lajnah Antarabangsa, Dr Syed Azman
Syed Ahmad Nawawi; Ketua Penerangan, Ustaz Ahmad Awang; AJK PAS Pusat,
Ustaz Hassan Syukri dan Subky Latif.
Ustaz Abdul Hadi berkata, hari ini senjata umat Islam telah memakan
diri sendiri sedikit demi sedikit kerana mereka telah diberi
kemewahaan kebendaan.
"Ramai orang yang bodoh telah menjadi murtad sebaliknya golongan bukan
Islam yang mengkaji agama Islam telah memeluk agama suci ini,"
katanya.
Selain itu dalam sesi tazkirah solat tarawih, beliau mengingatkan para
jemaah bahawa puasa merupakan latihan untuk menjadikan seseorang itu
bertakwa.
Katanya, orang yang bertakwa menjadikan al-Quran sebagai petunjuk oleh
itu jika pada bulan Ramadan orang yang berpuasa tidak membaca al-Quran
maknanya puasanya itu tidak bermanfaat.
Beliau berkata dengan sebab takwa manusia boleh meninggalkan perbuatan
riba dan antara tanda-tanda orang bertakwa, mereka berani melaksanakan
undang-undang qisas serta mencegah kemungkaran.
Katanya, jika puasa, tetapi menolak syariat Allah ia bermakna puasa
seseorang itu tidak melahirkan ketakwaan.
Menurut beliau, antara tanda-tanda orang yang bertakwa, mereka sanggup
bekerja kerana Islam, banyak bersabar dalam menghadapi segala
kesusahan dan cabaran serta boleh menguasai fikiran ketika marah.
--
No comments:
Post a Comment