Ahmad Tajdid
Harakahdaily
PAS Kedah bersedia memberi laluan kepada Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato Seri Anwar Ibrahim bertanding di mana-mana kawasan Parlimen di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.
Keputusan Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS negeri itu diisytiharkan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Azizan Abdul Razak di hadapan puluhan ribu hadirin yang membanjiri perkarangan Kompleks PAS Kedah, Batu 9, dekat sini dalam satu majlis ceramah umum sebentar tadi.
Ustaz Azizan yang juga Pengerusi Lajnah tersebut memberitahu, keputusan itu dibuat bagi menyemarakkan lagi semangat ahli dan penyokong BA di Kedah untuk menggembleng tenaga menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan bila-bila masa sahaja.
Pengumuman Azizan itu menerima sokongan hangat para hadirin yang dianggarkan berjumlah 30 ribu orang. Sehingga jam 10.30 malam, orang ramai masih berpusu-pusu masuk ke perkarangan kompleks walaupun rintik-rintik hujan mula turun.
"Lajnah Politik dah setuju, tuan-tuan dah setuju, kita akan cari kawasan yang beliau boleh menang (mudah)," katanya.
Azizan seterusnya menyeru ahli-ahli PAS Kedah supaya bekerja lebih kuat untuk memastikan kejayaan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.
"Saya ingin maklumkan kepada tuan-tuan semua, sehingga kini (mengikut kajian) kita boleh menang lebih daripada apa yang dicapai pada (pilihan raya umum 1999).
"Dengan penyertaan Dato Seri Anwar, kita yakin akan dapat melonjakkan lagi angka kemenangan itu," jelasnya penuh yakin.
Pada pilihan raya umum 1999, PAS negeri berjaya memenangi 12 kerusi Dun dan 8 kerusi Parlimen.
Selain Azizan, turut berceramah ialah Pengerusi Perhubungan KeADILan Kedah, Johari Abdul dan Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.
Bagaimanapun ceramah umum yang dipengerusikan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Haji Mahfuz Omar terpaksa ditangguhkan semasa Haji Mohamad Sabu berucap kerana hujan lebat turun.
Para hadirin kemudiaannya berpusu-pusu masuk ke Dewan Fadzil Mohd Noor yang mampu memuatkan sehingga 8000 orang untuk mengikuti ceramah Anwar.
No comments:
Post a Comment