Date:

Biarkan PAS menang di Kelantan demi kebaikan Malaysia

 
Penembak Badak
Tiada yang lebih kontroversi dan boleh disalahtafsirkan di dalam ucapan Tun Dr Mahathir Mohamed di Kota Bharu selain dari kerelaannya dengan berat hati melihat PAS sekali lagi menumbangkan Umno di Kelantan di dalam pilihan raya umum ke-12 akan datang.

Saya tidak pasti bagaimana media arus perdana akan melaporkan pernyataan Tun yang dibuat sewaktu menjawab soalan daripada salah seorang daripada hampir 500 orang yang hadir mendengar ucapannya di majlis Syarahan Perdana Majlis Tindakan Rakyat Kelantan.

Tetapi kenyataannya ialah sebaik sahaja Tun membuat pernyataan tersebut, hadirin yang hadir, termasuklah Tengku Razaleigh Hamzah menyambutnya dengan tepukan gemuruh.

Menurut Tun, sebagai ahli Umno dan bekas pemimpin tertinggi Umno, beliau tidak rela melihat Umno tumbang di tangan PAS atau mana-mana parti pembangkang. Tetapi, sekiranya ketewasan Umno adalah satu-satunya cara bagi menyedarkan kepimpinan Umno sekarang tentang kelemahan pucuk pimpinan parti, maka rakyat Kelantan seharusnya memberi undi mereka kepada PAS demi kebaikan negara Malaysia tercinta.

Di dalam menjawab satu lagi soalan daripada hadirin yang hadir, Mahathir berkata, tiada apa yang mampu dilakukan oleh Kerajaan Kelantan sekarang di dalam menghadapi globalisasi kerana masalah menghadapi globalisasi adalah satu cabaran yang hanya mampu ditangani oleh Kerajaan Pusat. Namun begitu Kerajaan Kelantan seperti mana Kerajaan Negeri-Negeri lain seharusnya terus memberi tekanan kepada Kerajaan Pusat supaya menangani cabaran globalisasi dengan lebih bijak.

Secara berseloroh, dalam ucapannya Mahathir berkata, jika Kerajaan Kelantan menerajui negeri ini seperti Proton pada hari ini, ranaplah Kota Bharu. Proton di bawah teraju Tengku Mahaleel, seorang anak Kelantan berjaya membuat keuntungan demi keuntungan sehingga memperolehi wang simpanan tunai berjumlah RM4 billion. Malangnya, Proton di bawah teraju yang dilantik oleh Perdana Menteri sekarang hanya mampu membuat kerugian berjumlah setengah billion ringgit setiap tahun.

Dr Mahathir juga menyeru rakyat Kelantan supaya tidak terpedaya dengan janji yang ditabur oleh Kerajaan Pusat yang berjumlah RM3 billion untuk pembangunan lebuhraya dan empangan di Kelantan. Sebaliknya Mahathir meminta rakyat Kelantan untuk bertanya, mana duitnya? Tunjukkan dahulu duit tersebut!

Ramai pemerhati politik menyangka ucapan terbaharu Mahathir sebagai lanjutan kepada serangan-serangan kritikalnya terhadap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan anak menantunya, sebaliknya satu perubahan ketara dilihat daripada ucapan Mahathir kali ini.

Peri pentingnya majlis pada 6 Mei 2007 ini ialah, buat pertama kalinya setelah sekalian lama, Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah berkongsi pentas dan duduk sebelah menyebelah semenjak Tun memulakan serangan demi serangan terhadap kelemahan kepimpinan UMNO dan negara Malaysia sekarang. Bukan itu sahaja, Mahathir kali ini memberi ucapan di atas platform yang dinaungi oleh Tengku Razaleigh sendiri.

Satu lagi perbezaan ketara di dalam siri ucapan Mahathir yang bermula semenjak Jun 2006 ini, ialah ucapannya kali ini lebih bercorak amanat dan nasihat kepada rakyat Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia amnya di dalam menghadapi pilihan raya umum ke-12.

Tanpa berselindung, Mahathir memerli keputusan pengundi di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Ijok yang sanggup menggadai maruah mereka untuk wang berjumlah RM200 dan mesin-mesin jahit. Mahathir menasihatkan hadirin yang hadir supaya mempertahankan maruah negara di dalam pilihan raya dengan menolak sebarang tawaran membeli undi mereka.

Membeli undi adalah rasuah, pemberi dan penerima sama-sama melakukan kesalahan. Mahathir juga mahu para pengundi tidak membuat pilihan secara membabi buta kerana ia hanya akan memberi mandat kepada pemerintah untuk melakukan apa sahaja secara membabi buta.

Dalam ucapannya kali ini Mahathir tidak lagi menumpu perhatian kepada mengulangi kritikan-kritikannya terhadap kelemahan Perdana Menteri sekarang, sebaliknya lebih kepada menyedarkan hadirin yang hadir tentang peri pentingnya mereka menghargai hak mereka sebagai pengundi.

Dalam kata lain, sekiranya ahli-ahli Umno, para pengundi dan rakyat Malaysia bersetuju bahawa kepimpinan Kerajaan Malaysia sekarang adalah lemah dan tidak berwibawa, mereka seharusnya bersedia mendesak perubahan tersebut menerusi proses demokratik dan memangkah undi secara bijaksana.

Mahathir mengungkap kembali insiden sewaktu beliau tewas ketika bertanding di dalam pilihan raya umum Kota Setar pada tahun 1969 dahulu. Pengundi Cina di situ lebih rela mengundi parti PAS daripada mengundi beliau (UMNO) walaupun PAS membawa isu membina Kerajaan Islam.

Pengundi Cina waktu itu lebih rela menerima Kerajaan Islam daripada mengundi seorang yang di cap Ultra-Malay. Adalah tidak salah bagi ahli Umno sendiri mengundi ahli dari parti lain, jika mereka tiada pilihan lain di dalam menyuara ketidakpuasan mereka terhadap pimpinan Umno sekarang. Demi cinta mereka terhadap Umno dan negara, mereka perlu bersedia berkorban.

Jelaslah bahawa pilihan raya akan datang adalah satu-satunya peluang bagi rakyat Malaysia amnya dan peyokong Umno khasnya menyuarakan protes mereka terhadap kebobrokan kepimpinan Abdullah sekeluarga. Hari ini, rakyat Kelantan telah menyaksikan kembalinya terjalin secara rasmi ikatan siratul rahim dua negarawan Malaysia, Mahathir dan Tengku Razaleigh.

Membenarkan Mahathir menggunakan platform naungannya untuk menasihatkan rakyat Kelantan mempertahankan maruah Malaysia sebenarnya membuktikan Tengku Razaleigh sendiri merelakan kesinambungan pemerintah Kerajaan Negeri Kelantan sekarang.

Dengan mempertahankan pemerintahan Kerajaan PAS di Kelantan di dalam pilihan raya umum ke-12, dan mengurangkan majoriti Barisan Nasional di peringkat Parlimen dan peringkat Dewan-Dewan Undangan Negeri, adalah satu-satunya cara untuk menggegarkan Abdullah dan keluarganya. Inilah satu-satunya proses demokratik yang tinggal untuk ahli-ahli Umno mengusulkan perubahan kepada parti mereka.

Secara tidak langsung juga, Tun Dr. Mahathir menyedari, kesilapan kepimpinannya sewaktu menjadi Presiden Umno dengan menyukarkan jawatan pucuk pimpinan parti ditandingi. Hari ini, adalah lebih mudah membawa perubahan di dalam Umno menerusi pilihan raya umum berbanding dengan menerusi pemilihan pucuk pimpinan parti. Adalah hampir mustahil mengalahkan Abdullah menerusi sistem demokratik di dalam Umno. Tetapi tidak mustahil untuk menumpaskan Abdullah sekeluarga menerusi pilihanraya umum ke-12.

Adakah dengan mengungkap kembali ketewasannya di dalam pilihan raya umum 1969 di Kota Setar, Tun cuba memberi jawapan kepada kita semua? Masyarakat Cina tidak seharusnya takut mengundi parti yang memperjuangkan Negara Islam, masyarakat Melayu pula tidak harus takut untuk tidak mengundi parti yang ditubuhkan untuk membela Agama, Bangsa dan Negara. Justeru, kita semua harus berani berkorban demi Agama, Bangsa dan Negara!

No comments: