Date:

Bila harta rakyat dirampok…..!

KAMAL AMIR MENULIS
http://malaysia-today.net/blog2006/guests.php?itemid=6941

BERTANDANG seketika ke pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menjadikan hati dijengah sedih, sayu, resah bercampur gelisah. Tidak terkecuali tergamit kemarahan mendadak bila menyedari persoalan birokrasi masih menghimpit rakyat pembayar cukai oleh kalangan penguasa yang "bobrok" berdolak-dalik.

Sedih melihat pembaziran waktu yang terpaksa dialami oleh pencarum kesan kurang efisien sistem melayan pelangan. Meskipun deretan meja panjang tersedia tetapi kerusi kakitangan yang seharusnya mesra melayan pelanggan terbiar kosong dan sepi sementara orang ramai yang berurusan resah menanti hingga lewat dua jam lamanya.

Sayu memikirkan jerihnya pencarum untuk mengeluarkan wang milik mereka, bukan menagih simpati mahu meminjam tetapi berhasrat mengeluarkan wang sendiri yang terkumpul puluhan tahun hasil titik peluh membanting tulang.

Gelisah menahan amarah melihat sebegitu ramai pencarum di tabung kumpulan wang simpanan pekerja dilayan bagaikan pengemis. Kalaupun mesin nombor giliran disediakan namun masih ada orang tertentu dipimpin masuk ke dalam kamar pegawai sementara marhain yang menanti terbiar melihat gelagat pegawai bersikap lebih sudu dari mangkuk!

Resah memikirkan bayaran "parking" di tingkat bawah tentunya meningkat bila sejak diswastakan kadar bayaran meletak kereta tidak lagi RM 1 tetapi RM 1.50 bagi jam pertama dan terus bertambah setiap jam ada kalanya mencecah hingga lima enam ringgit. Ertinya jika urusan yang boleh dilakukan dalam tempoh lima belas minit menjadi dua tiga jam bayangkan berapa kadar meletak kereta harus dibayar oleh pelanggan.

Marah kerana urusan yang dilakukan bukan boleh diselesaikan sekali tetapi paling tidak dua tiga kali terpaksa mengulangi kaunter pertanyaan bertanya apakah urusan pengeluaran terlaksana sempurna. Panggilan melalui telefon pasti menjadikan darah naik mendidih kerana setelah dihubungi lebih dari sepuluh kali baru mendapat jawapan, ada kalanya terus tidak dijawab.

Seorang warga emas yang sempat ditemui menceritakan pengalaman pahitnya apabila dilayan bagaikan pengemis oleh kakitangan KWSP sewaktu mahu mengeluarkan wang simpanannya.

"Encik, pak cik dah berusia 57 tahun berhasrat mahu mengeluarkan wang dari tabung EPF. Mula-mula datang kena isi borang dan menunggu selama tiga jam baru boleh berjumpa dengan pegawai yang menguruskan pengeluaran wang dari tabung pak cik.

"Setelah disemak pada mulanya mereka kata tiada masalah dua minggu boleh dapat. Tunggu punya tunggu sampailah lebih satu bulan, setiap kali saya hubungi melalui telefon tiada jawapan dan engage.

"Bila saya datang selepas satu bulan pegawai memberitahu cap jari saya tidak dapat dibaca "scan" dengan sempurna mengakibatkan permohonan pengeluaran saya tertangguh. Alasan lebih memeranjatkan kerana kad pengenalan Mykad saya tidak sama cap jarinya dan meminta saya menunggu laporan dari Jabatan Pendaftar Negara.

"Untuk tidak mahu melengahkan masa saya pergi menukarkan kad pengenalan Mykad yang baru, kalau mahu tunggu laporan dari Jabatan Pendaftar Negara tentulah lebih dari satu bulan lagi. Soalnya kenapa tiada sesiapa dari EPF yang menghubungi saya sedangkan dalam borang ada tercatat nombor telefon rumah dan telefon bimbit saya. Kenapa harus terbiar selama satu bulan sehingga saya datang baru mahu diberitahu masalah tersebut.

"Dan sekarang sudah satu jam menunggu masih belum dapat berjumpa dengan pegawai kerana nombor giliran belum memanggil saya lagi. Encik tahu, bila saya beritahu pegawai tersebut apa akan jadi kalau saya mati sebelum sempat menikmati hasil simpanan dari titik peluh saya, pegawai EPF bagi tahu saya itu bukan masalah mereka dan katanya waris saya boleh mendapatnya.

"Kerana tidak tahan menahan sabar terpancul perkataan pxxxmak kau! Apakah dia tidak terfikir jawapan tersebut menghiris perasaan saya? Sudahlah datang dari jauh, kena bayar duit parking lima, enam ringgit, masa terbuang dua tiga kali berulang-alik, panggilan telefon tidak berjawab. Dan yang lebih penting saya bukan mahu ambil duit mak bapak dia, yang saya mahu keluarkan adalah duit saya sendiri!" gerutu warga emas tersebut lagi.

Hairan dan cukup menakjubkan, wang yang tersimpan adalah milik rakyat hasil titik peluh membanting tulang sebegitu lama dikumpul sedikit demi sedikit kononnya untuk bekalan hari tua, tetapi apabila mahu dikeluarkan karenah birokrasi mencerut mereka. Apakah ini yang dikatakan "Berkhidmat untuk rakyat"?

Sistem apakah yang digunapakai oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sehinggakan panggilan telefon dari penyimpan tidak berjawab? Kenapa harus diperlakukan sebegitu rupa terhadap warga emas? Mungkinkah wang yang sebegitu banyak terkumpul sudah tersurut kesan dilaburkan ke tempat lain atau digunakan untuk bail out.

Inilah antara contoh birokrasi yang menjadikan rakyat hilang kepercayaan terhadap efisien serta mantapnya perkhidmatan oleh kakitangan kerajaan. Persoalan sebegini tentulah terpikul di bahu Abdullah Ahmad Badawi dan sidang wazirnya.....mungkin menteri "pondan" yang telah dipertanggungjawabkan untuk membetulkannya.

Perlu apa Perdana Menteri bercakap berdegar-degar kononnya ada perubahan dalam sistem pentadbirannya, kononnya ada cahaya baru bagi rakyat hidup bahagia bersama sirna Islam Hadharinya.....pegilah! Cakap tak serupa bikin!

Apabila sistem meletak kereta "parking" diswastakan tanpa penyeliaan dari pihak berwajib beginilah jadinya. Inilah antara contoh bagaimana wang rakyat dirampok oleh kalangan mereka yang berkuasa kerana khabarnya tender menjaga tempat letak kereta diberikan kepada orang tertentu bagi mengisi tembolok mereka.....bangsat lagi membangsatkan!

Seharusnya dengan adanya pengswastaan tempat meletak kereta menjadikan perkhidmatan tersebut lebih baik serta memberi faedah kepada pengguna (tentunya rakyat dan orang ramai), tetapi apa yang dilihat indah khabar dari rupa.

Pihak yang menjaga tempat letak kereta menangguk keuntungan ratusan ribu setiap bulan, tempat meletak kereta tidak terurus, keselamatan kenderaan tidak terjamin, dan kadar yang dikenakan begitu mahal sekali. Masih mampukah Abdullah Ahmad Badawi menafikan persoalan ini?

Bercakap tentang tempat letak kereta ia bukan sahaja tertumpu di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sahaja, malahan ia turut berlaku di beberapa pejabat kerajaan yang lain, lebih mendukacitakan hospital kerajaan juga turut berlakunya penswastaan tempat letak kereta dengan kadar mencekik duit rakyat.

Selain dari kadar yang tinggi, tiada pula diurus dengan sempurna. Ada kalanya terdapat kes-kes cermin kereta dipecahkan atau hilang kerana tiadanya kawalan dan seliaan dari pihak yang membolot kekayaan melalui pengswastaan tersebut. Bayangkanlah, untuk mendapat rawatan perubatan kena bayar tempat letak kereta, mahu berurusan dengan jabatan yang lain pun sama, mungkin nanti oleh kerana kegilaan mencekik wang rakyat kemungkinan nanti tempat letak kereta di masjid dan tanah perkuburan pun akan dikenakan bayaran meletak kereta.....!

Bila pemimpin dan penguasa sibuk menghitung kekayaan, bila sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi leka dengan gelaran menteri tanpa mahu memikirkan untung nasib rakyat beginilah jadinya. Hati rakyat dijeruk, perasaan amarah rakyat semakin mendidih, dan terkadang timbul perasaan betapa tertipunya rakyat oleh janji Abdullah Ahmad Badawi mahu mencari sunnah Nabi sebagai panduan sambil membongkar di mana dia Al Ghazali dan Shafie untuk tidak mengumpul harta berjuta dan hidup berpoya-poya.....Besar punya temberang oleh imam Hadhari.

No comments: