Date:

Jangan tutup pintu ‘Ijtihad’ IT negara!

 
Keputusan yang diambil oleh Majlis Tertinggi Umno (MT) untuk menyerang balas laman-laman berita maya dan blog persendirian nampaknya sudah dilaksanakan.

MT Umno dalam mesyuarat bulanannya bulan lalu telah melantik Menteri Belia dan Sukan, Azalina Othman Said sebagai komander pengendalian menubuhkan laman-laman berita maya atau blog persendirian bagi menghadapi dan menangkis apa yang dikatakan fitnah terhadap Umno yang dibuat menerusi laman berita maya dan blog-blog persendirian.

Terima kasih kerana Umno telah menerima dan mengikhtiraf bahawa laman berita maya dan blog sudah menjadi ancaman kepada mereka. Sekali lagi pendapat dan pandangan pemimpin Umno dalam hal ini tidak sekata, kerana ada menteri (bodoh sombong) yang menyifatkan blog dan laman berita maya bebas sebagai tidak berkualiti dan tidak diyakini oleh orang ramai. Sehubungan itu dicadangkan agar blog didaftarkan.

Sejauh mana Azalina telah melaksanakan arahan MT Umno itu, masih belum dapat dilihatkan lagi. Tetapi satu mesyuarat khasnya berhubung perkara itu telah diadakan baru-baru ini di Ibu Pejabat Umno, PWTC. Beberapa blogger yang dikenalpasti mirip atau menyokong ideologi Umno telah dipanggil. Tidak ada pula maklumat, berapa ramaikah blogger yang dikerah untuk pertemuan itu.

Adalah dipercayai seorang pengendali laman berita maya persendirian yang mendapat sokongan moral dan habuan kewangan daripada dua pemuka Umno dilantik sebagai penasihat ataupun pengarah kepada gerakan berkenaan.

Dalam hal ini tentu arahan-arahan dan persiapan telah dibuat serapinya. Kalau menurut perancangan awal Azalina (Jenaral Perang Siber Umno – saya mengistilahkan) akan turun ke negeri-negeri untuk menubuhkan gerakan blog berkenaan. Dalam rangka itu beliau akan meminta Pengerusi Perhubungan Umno Negeri-negeri supaya mengenalpasti seberapa banyak penulis masing-masing untuk mengendali atau mewujudkan blog pro Umno.

Tidaklah dapat dipastikan pula apakah Ketua Penerangan Umno, Muhammad Muhd Taib adalah termasuk dalam jawatankuasa yang diketuai Azalina berkenaan. Boleh jadi ya, sebab kedudukan beliau selaku Ketua Penerangan Umno yang tentunya bergerak seiring dan selorong bersama Azalina dan jentera penerangannya boleh digunakan.

Kalau begitu laporan polis yang dibuat Muhammad Muhd Taib ke atas pemilik laman berita maya Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, Isnin lalu sehingga membawakan kepada Raja Petra dipanggil untuk disoalsiasat di Balai Polis IPD Dang Wangi, Jalan Stadium selama lapan jam bolehlah dikira tugas sulong Jawatankuasa Perang Siber Umno yang diketuai Azalina itu.

Apakah dengan apa yang berlaku ke atas Raja Petra itu menandakan bermulanya serangan atau penangkisan ke atas laman berita maya dan blog persendirian yang dianggap mengacau dan mengganggu Umno itu? Kalau benar begitu nampaknya, Umno memulakan kerjanya dalam keadaan yang tepat sekali.

Ada beberapa 'teori' untuk mengatakan tindakan itu sebagai permulaan yang tepat. Bahawa untuk membuat laporan polis terhadap Raja Petra itu bukan keputusan budak-budak. Ia adalah keputusan yang difikir impak dan akibatnya dari kalangan pemikir Umno yang bekerja rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada hemat saya tentulah pihak Jawatankuasa Perang Siber Umno berfikir dan berbincang panjang sebelum berbuat tindakan itu. Tentu sekali Azalina (Jeneral Perang Siber Umno), Muhammad Taib, Setiausaha Agung Umno bekerjasama dalam hal ini. Mereka duduk lama dan berbincang panjang memikirkan kesan-kesan sebelum tindakan itu diambil.

Mungkin tindakan ke atas Raja Petra itu sebagai percubaan. Pertama, mereka segaja memilih Raja Petra sebagai bahan testimoni kerana kedudukan dan juga status Raja Petra itu sendiri. Hubungan Raja Petra dengan kerabat Di Raja Selangor juga diambilkira. Jawatankuasa itu mungkin berfikir dengan mengambil tindakan ke atas Raja Petra ia boleh menyebabkan blogger dan pemilik laman berita maya lain akan lemah dan kecut perut.

Apa yang jawatankuasa itu mengharapkan, kalau Raja Pera yang berkedudukan, berani serta sanggup berlawan mulut dengan sesiapa pun boleh dikenakan tindakan, apalah penulis blog cacing dan laman berita maya berstatus kambing dan biri-biri. Mereka lagi senak perut dan sakit kepala.

Kedua tindakan itu adalah sebagai cubaan terhadap sejauh mana undang-undang negara ini boleh dikenakan kepada rakyat negara ini yang melakukan kesalahan di luar negeri.
Seperti mana didakwa Raja Petra, server Malaysia-today tidak beroperasi di dalam negara ini, ia beroperasi di luar negeri.

Apabila servernya berada di luar negera apa-apa kritikan, teguran ataupun kecaman yang boleh disifatkan bertentangan dengan undang-undang negara ini dilakukan di luar negara. Ini bermakna ia tidak melakukan apa-apa juga kesalahan di dalam negera ini.

Apakah dengan pentafsiran itu, undang-undang negara ini boleh menjangkau kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana individu di luar negara? Apa yang dimaksud itu boleh diumpamakan seorang wargnegara ini membuat kecaman terhadap Malaysia di sebuah negara luar. Kecaman itu dsiarkan oleh media antarabangsa sehingga rakyat negara ini boleh membaca dan mengetahuinya.

Apakah rakyat berkenaan boleh dikenakan apa-apa tindakan? Inilah perkara yang sedang diujikaji dan tindakan ke atas Raja Petra itu sebagai cubaan terhadap kekebalan undang-undang negara ini dan sejauh mana universal bidang kuasanya.

Adalah dipercayai undang-undang yang diujikaji ke atas fenomena ini ialah seperti Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan juga Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sama-sama kita tunggu apakah Raja Petra akan disabitkan dengan mana-mana akta berkenaan.

Dua perkara itulah yang dikira menjadi motif tindakan ke atas 'Raja Web Malaysia' itu. Sekiranya kedua motif itu terlaksana maka Umno akan berjaya melumpuhkan – bukan menangkis laman berita maya dan laman blog. Kerana sudah tentu apabila Raja Petra disabitkan maka akan kecutlah perut para pemilik berita maya dan blog.

Pernah berlaku sebelum ini (era reformasi 1998) apabila Raja Petra ditahan di bawah ISA kerana menjalankan Kempen Membebaskan Anwar (FAC), puluhan laman berita maya persendirian tutup kerana pemilik ataupun tuan web lari menyembunyikan diri sampai ke luar negera.

Sebaliknya kalau undang-undang negara ini tidak ada kekebalan dan tidak ada 'locus standi' menyebabkan Raja Petra tidak dikenakan apa-apa dakwaan, ia memberi ruang baru kepada penulis blog dan pemilik laman berita maya. Mereka akan tidak ragu-ragu dan cemas dengan segala macam ugutan dan ini menjadikan fenomena ini lebih menyemarak lagi.

Tegasnya di sini sudah ada tanda-tanda Umno menerusi Jawatankuasa Perang Sibernya itu bermain kasar dalam hal ini. Tindakan sebegitu tidak ubah seperti mahu menutup serapatnya pintu kebebasan bersuara di negara ini. Tindakan itu boleh diibaratkan Umno menerusi Kerajaan dimilikinya cuba menutup pintu 'Ithijad' IT di negara yang sudah menjadi satu fenomena akhir-akhir ini.

Bagaimanapun sebagai seorang penulis dan rakan blogger, saya mengatakan kalaulah itu motif dan tujuannya, usaha Umno itu tidak akan berjaya. Penulis tidak akan mudah cair dan takut dengan gertakan dan serangan sedemikian. Ancaman-ancaman sebegitu bahkan disambut oleh penulis dengan senyum dan tawa serta menganggapnya sebagai main 'hula hoop' sahaja.

Seharusnya diingat, sifat dan sikap penulis bagaikan api yang sedang marak membakar rumput-rumput, daun kering dan ranting-ranting. Ianya jangan dipukul dan dibedal nanti bara dan bunga apinya merecik ke atas dan jatuh ke kawasan sekitar. Tindakan seperti itu tidak akan meyelesaikan masalah sebaliknya akan meluaskan lagi kawasan kebakaran itu.

Sebaiknya dalam soal ini, pihak Umno teristimewanya Azalina hendaklah bermain secara rasional dan profesional. Lawan dan hadaplah laman-laman berita maya dan blog-blog persendirian secara terbuka dan berhadapan dengan penuh fatonah serta akal budi mengikut kemampuan masing-masing seperti bertaekwando dalam gelanggang.

Bukankah Umno sudah mempunyai segala kemudahan IT dan machinery yang tidak dimiliki oleh mana-mana pihak hatta pembangkang di negara ini? Nah gunakan ia sepenuhnya. Hebahkan laman-lawan web dan blog pro Umno di dalam tv ataupun media arus perdana.

Biarlah rakyat dan pelayar laman maya negara ini menghakimi siapa yang benar dan siapa yang salah dan penabur fitnah. Rakyat negara ini jangan di'pandir'kan. Jangan menganggap rakyat negara ini semuanya berketurunan Mat Jenin, Pak Pandir, dan Pak Kadok. Ingatlah warganegara ini tidak kekal dengan kebodohan dan kebebalannya.

Gunakan akal dan kecerdikan untuk bergaduh jangan guna atau menumpang apa-apa akta yang bersifat menekan dan menzalimi hak asasi manusia.

No comments: