Date:

Isu Halal Lawan Haram

Isu Halal Lawan Haram
Rakyat Lawan Abdullah?
Oleh Ruhanie Ahmad - Blog Kuda Kepang- Laman M@RHAEN

Gelombang kuning yang melanda Kuala Lumpur pada 10 November 2007, kini terus dijebak masalah statusnya yang "halal" atau "haram" di sisi undang-undang. Sindrom pasca peristiwa ini sengaja dicanangkan secara bertubi-tubi ke seluruh negara untuk menyekat, melemah dan mematikan gelora penentangan yang sedang marak membara di kalangan segolongan rakyat jelata terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad, selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO.

Sindrom ini juga terus dikipas dan dibesar-besarkan oleh perkasas propaganda pemerintah kerana gelombang kuning kini mula mencetuskan fenomena gelombang rakyat - satu kebangkitan tanpa mengira kaum dan fahaman politik - yang berani menyatakan tentangan terbuka terhadap Abdullah.

Ini bermakna, gelombang kuning kini memang sudah bertukar jadi gelombang rakyat. Ia sudah berubah corak dan matlamatnya. Hanya pihak-pihak yang gemar didodoikan dengan "denial syndrome" sahaja yang enggan mengakui hakikat dan realiti ini. Dan, hanya kalangan yang berpandangan singkat dalam perjuangan sahaja yang akan lemah semangat, angkat bendera putih, dan dengan hati yang longlai, terus menyerah kalah secara betina.

Jangan Hilang Punca

Oleh itu, janganlah sindrom "halal" dan "haram" ini menyebabkan perjuangan gelombang rakyat termati langkah dan kehilangan punca. Kuatkanlah semangat dan jitukanlah tekad juang masing-masing. Fahamilah bahawa kalau gelombang kuning hanya menuntut kewujudan satu sistem pilihan raya bersih, telus, adil dan saksama, gelombang rakyat adalah perjuangan menuntut satu proses koreksi yang komprehensif dan total terhadap seluruh bentuk kepincangan yang wujud di bawah kepimpinan Abdullah.

Insafilah. Kalau gelombang kuning distruktur dan dipimpin secara rasmi, gelombang rakyat meletus secara spontan dan tanpa struktur organisasi dan kepimpinan yang rasmi dan nyata. Kalau gelombang kuning hanya kelihatan di sekitar Kuala Lumpur, gelombang rakyat pastikan menggelora di serata negara. Kalau gelombang kuning kelihatan dengan kehadiran fizikal rakyat jelata secara besar-besaran di perkarangan Istana Negara, gelombang rakyat pula hanya memerlukan penyatuan dan penggemblengan roh dan jiwa warganegara yang dahagakan pembelaan tulen dan sejati, benar dan ikhlas, adil dan saksama dalam semua aspek kehidupan.

Oleh itu, sementara rakyat menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini dan merafak sembah kasih kerana pihak Istana Negara berkenan menerima memorandum pada 10 Noveber 2007, rakyat juga menggantungkan harapan semoga perjuangan gelombang rakyat untuk mengkoreksikan kepimpinan Abdullah secara komprehensif dan total ini turut berada dalam pengetahuan Baginda. Harapan ini bukan berbentuk politik. Harapan ini dilahirkan kerana perjuangan ini adalah nasional ciri-cirinya.

Dalam konteks ini, pastinya rakyat jelata akan menjunjung titah Baginda untuk sentiasa "mematuhi undang-undang negara dan tidak melibatkan diri dalam apa-apa juga kegiatan atau tindakan yang menyalahi atau bertentangan dengan undang-undang negara; akan terus memelihara ketenteraman awam demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara; dan mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan demi membina negara yang lebih makmur, bersatu padu dan dihormati."

Tuntutan Pembaharuan

Tetapi, dalam konteks ini juga pastinya rakyat jelata mengharapkan satu kepastian yang terjamin terhadap penghujung kepada perjuangan mereka. Apa yang mereka harap-harapkan adalah perubahan dan pembaharuan dalam kepimpinan negara. Apa yang mereka aspirasikan adalah seluruh naluri dan sendi yang lemah dan longgar dalam Perlembagaan Negara diperkukuh dan diperjelaskan tanpa menjejaskan status quo yang ada mutakhir ini. Apa yang mereka cita-citakan adalah seluruh tunjang dan paksi kenegaraan dan kewarganegaraan Malaysia mesti dimartabat, didaulat dan dimuliakan berasaskan sejarah warisan silam yang diserasikan pula dengan realiti semasa.

Intisari kepada semua tuntutan di atas adalah: kemuliaan agama, kesejahteraan rakyat jelata, kemerdekaan dan kedaulatan negara, integriti dan maruah bangsa serta pertahanan, keamanan dan keselamatan tanahair ini jangan sekali-kali digolok-gadaikan kepada sesiapa dan jangan sekali-kali dikompromikan dengan kepentingan mana-mana pihak, baik rakan, taulan dan jiran tetangga, sama ada regional atau pun global.

Begitulah besar, komprehensif dan totalnya matlamat dan cita-cita gelombang rakyat yang sedang menggelora. Dalam keadaan begini, tidak perlulah diizinkan diri masing-masing diracuni kesan sindrom "halal" atau "haram" gelombang kuning. Dalam keadaan begini, lebih wajar jika diperkukuhkan lagi azam dan iltizam mengkoreksikan seluruh kelemahan dan segala kepincangan Abdullah selaku insan yang menerima mandat untuk memimpin kita semua. Dan usaha koreksi total ini mestilah dilaksanakan secara aman, bijaksana, bersopan dan bersusila.

Akhir sekali, gelombang rakyat perlu mengambil inisiatif mengenalpasti kumpulan insan berjiwa murni yang difikirkan layak dijadikan jemaah pemimpin gagasan perjuangan besar, total dan kompehensif ini. Renungkanlah dan fikir-fikirkanlah dengan hasrat mulia terhadap agama, bangsa dan negara!!   

- Ruhanie Ahmad

Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net .

No comments: