Date:

PAS Kedah anjur ceramah khas 'Peristiwa Tangkapan Mohamad Sabu'

Helmi Khalid
Tue | Dec 11, 07 | 7:29:14 am MYT

KUALA KEDAH, 11 Dis (Hrkh) - Detik-detik cemas, pilu dan ganasnya polis dalam peristiwa penangkapan Naib Presiden, Haji Mohamad Sabu, 9 Disember lalu di Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai akan didedahkan kepada umum.

Melalui ceramah khas 'Peristiwa Tangkapan Mohamad Sabu' yang akan diadakan di Pejabat PAS Kawasan Kuala Kedah di Kubang Rotan, kesemua empat mangsa tahanan yang kebetulan aktivis PAS di Kuala Kedah bakal menceritakan kembali detik tersebut.

Mereka terdiri dari, jurukamera tvPAS.com, Mohd. Fakhri Ahmad, aktivis Bersih, Abdul Razak Sentu, Muhd Subri Mohd. Said dan Mohamad Haji Salleh pimpinan PAS Cawangan di Kampung Sungai Baru dan Kubang Rotan Hilir, dekat sini.

Mereka ditahan polis atas tuduhan mengganggu tugas penjawat awam ketika polis cuba menahan Mohamad Sabu di plaza tol berkenaan.

Menurut Ketua Penerangan PAS Kuala Kedah, Haji Aris Awang, ini adalah peluang masyarakat terutamanya di sekitar Bandaraya Alor Star ini untuk mendengar sendiri kisah yang bakal disampaikan oleh tahanan.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6.30 petang itu, kesemua mereka ditahan dan dibawa menaiki kenderaan polis ke Balai Polis IPD Seberang Perai Selatan, Jawi, di tahan semalaman di lokap balai berkenaan sebelum dihadapkan ke mahkamah keesokan harinya.

Di mahkamah, mereka diarahkan pulang semula ke lokap IPD berkenaan memandangkan pihak mahkamah belum bersedia memulakan sebutan kes bagi tangkapan itu.

Dari lokap balai, mereka yang bergari, sekali lagi dibawa ke mahkamah Majistret Jawi sebelum dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM 2500.00 setiap seorang. Mereka adalah antara yang ditahan bersama Mohamad Sabu.

Butiran ceramah akan dimaklumkan kemudian. - mks.

10 ditahan dalam insiden penangkapan Mohamad Sabu

Mohd Sabri Said
Mon | Dec 10, 07 | 10:11:46 am MYT

NIBUNG TEBAL, 10 Dis (Hrkh) - Selain Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, wartawan tvPAS.com, Mohd Fakhri Ahmad yang berpangkalan di Kedah dan Pengarah Unit Amal Perak, Zamarul Aini Abdul Malik turut ditahan polis bersama lapan lagi aktivis semasa pergelutan di Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan (SPS) semalam.

Kesemua dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPS setelah polis bertindak menyekat perjalanan rombongan pengantin yang diketuai Mohamad.

Mohamad dan rombongannya dalam perjalanan balik dari menghadiri kenduri kahwin di rumah besannya di Tambun, Perak apabila kereta yang dinaikinya dihadang polis di jalan masuk sebuah pasaraya.

Hari Sabtu lalu, Haji Mohamad mengadakan majlis walimatul urus anak perempuannya di kediaman beliau di Guar Petai, Tasek Gelugor.

Ribuan jemputan menghadiri majlis pernikahan anak sulungnya itu.

ImageAntara yang ditahan ialah pemandu Haji Mohamad, Fauzi Saharat, Mohd Saleh dari Kedah, Mohd Lazim Osman (Perak), Abdul Rahim Mohd Arif (Perak), Zainul Azrun Zainal Abidin (Perak), Mohd Subri Mohd Said (Kedah), Abdul Razak Ramli (Kedah) dan Mohd Biyamin Ishak (Perak).

Timbalan Pengarah Unit Amal Pulau Pinang, Norhalim Mohd Zin menjelaskan, ketika beliau tiba di lokasi kejadian, Unit Amal dan aktivis PAS tidak begitu ramai kerana baru mendapat arahan ke tol berkenaan.

Lebih 60 orang anggota polis mengelilingi kenderaan Naza Ria berwarna hitam yang dinaiki Mohamad.

Walaupun perbincangan dilakukan oleh Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang, Mohd Fazhil Kemi; Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man dan Ketua Dewan Image Pemuda PAS Perak, Ustaz Nor Azli Musa untuk mencari jalan penyelesaian, namun pihak polis menunjukan kekerasan apabila bertindak memanggil pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) untuk meneruskan usaha menangkap.

Padahal sudah ada perjanjian semasa polis bertindak menahan rombongan Mohamad Sabu berdekatan rumah besannya agar beliau menghantar semua anggota keluarga ke rumahnya di Guar Petai serta menyerah diri di IPD Kepala Batas.

Setelah berlaku pergelutan, akhir polis bertindak kasar sehingga memecah cermin hadapan sebelah kiri pemandu dan mengarahkan kenderaan itu ke IPD Nibong Tebal di Jawi pada jam 8.45 malam.

Harakahdaily mendapati suasana makin tegang setelah orang ramai berkumpul di hadapan IPD Nibong Tebal untuk mengetahui peristiwa selanjutnya.

Lapan buah trak FRU dengan 200 anggota ditempatkan di ibu pejabat polis tersebut.

Mohamad kemudian dilihat dibawa meninggalkan IPD Nibong Tebal dengan diapit dua anggota polis dengan kereta proton Wira ke Kuala Lumpur. - tajdid

No comments: