| KUALA PILAH, 30 Dis (Hrkh) -- Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, 60, hari ini dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Iklan | |  | | | | | Istiadat pemasyhuran itu dilakukan oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada petang semalam sebelum upacara pemakaman Almarhum. Pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dilakukan berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.Pelantikan Yang Dipertuan Besar itu dilakukan mengikut Adat Perpatih Negeri Sembilan. Tuanku Muhriz dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar daripada antara Putera Yang Empat menurut perlembagaan negeri dalam satu majlis ringkas di sini. Tiga putera lagi, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nazaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar turut hadir. Menurut agensi berita semalam, empat Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau bersama-sama Tunku Besar Tampin mengadakan persidangan tertutup bagi memilih Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru. Dilahirkan pada 14 Jan 1948, Tuanku Muhriz menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah King George V, Seremban dan meneruskan pengajiannya di Aldenhem School, United Kingdom. Tuanku Muhriz memperoleh Sarjana Muda Undang-undang dari University College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom. Tuanku Muhriz merupakan putera tunggal daripada enam putera serta puteri Almarhum Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Ampuan Durah Binti Tuanku Besar Burhanuddin. Tuanku Muhriz mendirikan rumahtangga dengan Tengku Datuk Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dari Terengganu dan mempunyai tiga putera iaitu Tunku Ali Redhauddin Muhriz, 31, Tunku Zain Al-'Abidin Muhriz, 26, dan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin, 23. Pada 1967, Tuanku Ja'afar yang juga ayahanda saudara tiri Tuanku Muhriz, dilantik oleh Undang sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, memandangkan usia Tuanku Muhriz yang masih muda pada ketika itu, selepas kemangkatan ayahanda baginda, Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman. Tuanku Muhriz adalah seorang ahli perniagaan dan pengarah Bangkok Bank. Jenazah Almarhum selamat disemadikan Sementara itu jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, 86, selamat disemadikan di Makam Diraja Seri Menanti dekat sini, petang semalam. Jenazah Almarhum dibawa dari Istana Besar Seri Menanti dengan menaiki Maharaja Diraja (kenderaan khas untuk membawa jenazah) selepas solat Asar, ke Makam Diraja dengan penuh kebesaran dan adat istiadat Raja-Raja Melayu sebelum disemadikan. Pergerakan kenderaan yang membawa jenazah Almarhum ke Makam Diraja itu diiringi 86 das tembakan meriam. Almarhum yang ditabalkan menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10 dan memerintah selama 41 tahun, selamat disemadikan pukul 5.30 petang. Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Murtadza Ahmad membacakan talkin dan tahlil. Turut berangkat ke istiadat pemakaman itu ialah Tuanku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin. Antara tetamu kehormat yang hadir memberikan penghormatan terakhir termasuk Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Rakyat jelata turut memenuhi perkarangan Makam Diraja untuk memberikan penghormatan terakhir. (dipetik daripada agensi berita) - azm _ |
No comments:
Post a Comment