| KUALA LUMPUR, 12 Jan (Hrkh) - Sidang Khas Parlimen mengenai Gaza tidak seharusnya menjadi pentas retorik sahaja sebaliknya mestilah memutuskan pelan bertindak yang berkesan terhadap Israel dan penaungnya Amerika Syarikat, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar. Iklan | | | | | | | "Kita berharap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan mengemukakan ucapan dan usul hari ini akan mengemukakan dasar luar yang yang lebih realistik dan praktikal dalam membantu wilayah Palestin yang ditakluki. "Rakyat berharap Parlimen tidak menjadi medan 'lip service' atau kata-kata manis serta retorik kosong sahaja," katanya. Ahli Parlimen Pokok Sena itu berharap Perdana Menteri membuktikan keikhlasan tanpa sebarang rasa takut kepada gertakkan kuasa-kuasa besar seperti Amerika. "Kerajaan mesti mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas terhadap Duta Amerika di negara ini. "Lebih dari itu, Parlimen juga hendaklah memutuskan tindakan ekonomi yang lebih tegas terhadap Amerika terutamanya," kata beliau. Mahfuz berharap keputusan rakyat untuk memulaukan barangan Amerika dapat diangkat menjadi pendirian rasmi negara seperti kempen "Buy British Last" (barangan British pilihan terakhir) yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mula menjadi Perdana Menteri dahulu. "Pada masa ini, kita masih melihat jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan membeli minyak dari syarikat-syarikat Amerika seperti Caltex. Kerajaan hendaklah mengarahkan jabatan-jabatan dan agensi-agensinya memulaukan apa sahaja barangan dan perkhidmatan Amerika selagi ada pilihan lain. "Kempen memulaukan barangan Amerika juga hendaklah diangkat oleh Parlimen menjadi kempen negara," katanya. Parlimen juga, katanya, hendaklah memutuskan supaya negara melaksanakan cadangan Dr Mahathir supaya memulaukan Dolar Amerika dalam sebarang urusan di peringkat antarabangsa. "Paling penting, Parlimen juga hendaklah memutuskan supaya Malaysia tidak memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika yang dianggap oleh banyak pihak sebagai laluan yang lebih mudah penjajahan ekonomi negara kuasa angkuh itu," tegas beliau. Beliau juga berharap semua Parlimen juga akan menubuhkan pasukan pelobi di peringkat antarabangsa yang dianggotai oleh semua anggota kerajaan dan pembangkang yang berpengaruh untuk melobi negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (OIC) mengadakan sidang khas Parlimen masing-masing untuk menyokong pejuang rakyat Palestin bagi memutuskan tindakan yang tegas terhadap Israel dan Amerika. - mks._ |
No comments:
Post a Comment