Date:

Mahathir ingin jadi perwakilan Umno

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhasrat menjadi perwakilan Umno dan akan berucap pada perhimpunan agung parti itu November ini.

Dr Mahathir berkata beliau tidak akan menarik diri setelah mendapat pencalonan untuk menjadi perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu pada persidangan Umno bahagian itu 3 Sept ini.

Bercakap kepada para pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Cabaran Pembangunan Ummah' anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah (DPMK) di sebuah hotel di sini hari ini, beliau berharap akan turut diberi peluang berucap jika dipilih sebagai perwakilan.

Ditanya sama ada beliau akan mengulangi kritikannya terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau berkata: "Saya tak boleh bagi tahu apa yang nak diucap. Tunggulah".

Dr Mahathir berkata bahawa beliau diberitahu bahawa ada pihak tertentu yang akan memujuknya supaya menarik diri daripada bertanding sebagai perwakilan Umno bahagian itu.

"Saya tidak akan tarik (diri). Buat apa nak tarik (diri)," katanya.

Bekas presiden Umno itu berkata, beliau amat sayangkan Umno dan semasa disingkirkan daripada parti itu (semasa pentadbiran Tunku Abdul Rahman pada 1969), jiwanya penuh dengan perjuangan parti itu.

Katanya beliau sedih kerana dianggap sebagai pemecah-belah parti Umno kerana menurutnya beliau adalah anggota Umno yang pertama mendaftar apabila parti Umno diwujudkan semula selepas diharamkan.

Beliau hairan mengapa beliau dihalang untuk bertemu dan berucap sedangkan beliau begitu setia dan sayangkan Umno.

Dr Mahathir juga berkata bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz sepatutnya disingkirkan daripada jawatannya atau tidak disambung perkhidmatannya kerana dikaitkan dengan agihan permit import (AP).

Menurutnya, beliau tidak menyedari Rafidah ada melakukan kesalahan semasa pentadbirannya tetapi selepas meletakkan jawatan, beliau mula menyedari berlaku masalah itu.

Beliau mendakwa menteri itu telah memberikan banyak AP kepada dua individu menyebabkan individu-individu itu menjadi kaya-raya.

Dr Mahathir berkata semasa pentadbirannya, beliau juga ada mendengar kes sebuah kereta yang diimport dari Korea diisytiharkan dengan harga RM11,000.

"Ini menimbulkan persoalan kerana harga itu diisytiharkan pada harga yang rendah," katanya.

Mengimbas mengapa beliau meletakkan jawatan yang disandangnya selama 22 tahun pada 2002, Dr Mahathir berkata beliau mengambil keputusan itu setelah mengambil kira empat faktor.

Empat faktor itu ialah kestabilan negara, parti Umno yang kian kukuh, kedudukan ekonomi bertambah baik dan kedudukan kewangan negara yang memuaskan.

"Lepas tu saya buat pengumuman untuk letak jawatan pada 2002. Saya kata kepada Umno secara terbuka untuk letak jawatan," katanya.

Menurutnya, selepas dua minggu meletak jawatan, beliau mula mendengar sesuatu yang kurang menyenangkan mengenai pentadbiran Abdullah.

Katanya, beliau terpaksa membuat teguran tertentu termasuk mengenai pembatalan pembinaan jambatan bengkok tetapi menurutnya teguran itu dianggap sebagai pencetus masalah.

Sementara itu, Presiden Dewan Perhimpunan Melayu Kedah Tan Sri Khalid Abdullah berkata, majlis itu dianjurkan bagi membolehkan anggota-anggota dewan itu mendengar penjelasan isu semasa oleh negarawan dari Kedah itu.

"Selepas ni kita mungkin jemput Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) ke sini untuk berucap," katanya. BERNAMA


No comments: