Oleh Bashir Ishak
Harakahdaily
Pembatalan program ceramah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Beseri pada 26 Ogos ini jelas membuktikan tiadanya demokrasi di dalam Umno.
Program anjuran Umno Bahagian Padang Besar itu terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat permit dari pihak berkuasa dan ketiadaan tempat.
Pembatalan ini jelas menunjukkan adanya campurtangan pihak tertentu yang tidak mahu melihat Mahathir turun bertemu ahli Umno di peringkat bawahan, sekaligus mendedahkan pelbagai isu dan kelemahan pentadbiran negara masa ini.
Ketua Penerangan PAS kawasan Padang Besar, Wan Kharizal Wan Khazim melihat bahawa Mahathir tidak sepatutnya dihalang daripada turun bertemu ahli Umno.
Baginya, sebagai bekas Perdana Menteri dan bekas pemimpin tertinggi Umno, Mahathir sepatutnya diberikan peluang untuk bertemu dengan ahli Umno di semua peringkat.
"Abdullah sendiri pernah berkata bahawa Mahathir bebas untuk bertemu dengan orang Umno. Jadi bila Presiden Umno kata boleh, sepatutnya tiadanya sebarang sekatan," jelasnya.
Menurut Wan Kharizal lagi, Umno di peringkat pusat sendiri sepatutnya menjemput Mahathir untuk berucap bagi menjelaskan pelbagai isu yang timbul.
"Sekiranya Abdullah jujur, bukan bahagian Umno yang panggil Mahathir tetapi Umno pusat yang kena buat program penerangan," katanya.
Katanya lagi, apa yang dibuat oleh Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Dato' Zahidi Zainul Abidin itu tidak bercanggah dengan semangat Presiden parti mereka.
"Umno tidak patut membiarkan ruang demokrasi tersekat di dalam parti mereka. Kalau mereka sebagai parti memerintah tidak boleh amalkan demokrasi dalam parti sendiri bagaimana mereka mahu telus dalam memberikan ruang demokrasi untuk rakyat?" soalnya.
.
__,_._,___


No comments:
Post a Comment