Oleh Helmi Khalid
Harakahdaily
Sekalipun nama Dato' Mukhriz, anak Tun Dr Mahathir tidak tersenarai dalam nama-nama calon yang 'perlu' diundi sebagai perwakilan Kubang Pasu, tetapi kemenangannya bukanlah suatu kejutan, kerana inilah percaturan awal yang diatur, iaitu antara Mukhriz serta Dr Mahathir hanya salah seorang dari mereka yang perlu disingkirkan.
Sumber memberitahu, sememangnya dalam merencanakan percaturan untuk menyingkirkan Mukhriz agak sukar memandangkan pada pemilihan G7 tahun lalu, Mukhriz menang di tempat paling atas.
Tetapi jelas sumber itu, kaedah menggunakan perang saraf kononnya Tun Mahathir sebagai bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri amat tidak layak diletakkan sama taraf dengan perwakilan lain lebih mudah mempengaruhi minda perwakilan.
"Kita sayangkan Tun, tempat Tun bukan sama baris dengan kita, dia ada kerusi khas di perhimpunan Agung nanti," antara perang saraf yang menewaskan pemikiran perwakilan, sambung sumber tersebut.
Sehari sebelum semua perwakilan diasak di Kelab Golf Darulaman, sememangnya sudah ada 'keputusan' antara ayah dan anak itu (Tun Mahathir - Mukhriz) hanya seorang perlu disingkirkan.
Dalam kempen terakhir juga, sumber itu menjelaskan nama Mukhriz langsung tidak disentuh, hanya ayahnya sahaja yang diserang untuk mengelak perwakilan sedar bahawa kempen itu adalah untuk melenyapkan 'penguasaan empayar Mahathir' di Kubang Pasu.
Kelmarin, Tun Mahathir telah mendedahkan bahawa kekalahannya dalam pemilihan G7 di Kubang Pasu berpunca dari kempen pelbagai pihak memburukkannya termasuk menggunakan jentera kerajaan dan suapan wang sebanyak RM200 dalam sampul berwarna coklat.
Sebagai bukti, bekas Perdana Menteri itu menunjukkan senarai yang tertera: Tolong undi calon-calon ini dan dicatatkan nombor 2, 3, 4, 7, 8, 11, 14.
Seperti yang diumumkan oleh wakil Umno Kedah, Dato' Ahmad Bashah Md. Haniffa pada 9 September lalu di Dewan Wawasan, Jitra, semua calon yang memegang nombor-nombor tersebut adalah mereka yang memenangi senarai G7 Kubang Pasu kecuali nombor 14 yang hanya berjaya di tempat ke lapan.
Hanya Mukhriz sebagai calon nombor 10 yang tidak disenaraikan memenangi tempat kelima.
Keputusan pemilihan adalah 4, 3, 7, 2, 10, 8 dan 11.
Nama-nama pemenag pemilihan tersebut adalah seperti berikut:
1. Haji Ahmad Hamid - 317 undi (nombor 4)
2. Haji Shamsudin Ahmad - 311 undi (3)
3. Mohd Fadzli Abdul Halim - 296 undi (7)
4. Haji Shuib Din - 292 undi (2)
5. Dato' Mukhriz Tun Dr.Mahathir - 289 undi (10)
6. Zulfitri Yaacob - 286 undi (8)
7. Abdul Manaff Kechik - 270 undi (11)
8. Haji Mohamad Abdul Rahim - 239 undi (14)


No comments:
Post a Comment