Date:

Lee Kuan Yew sama seperti Mahathir

Oleh Mohd. Sayuti Omar

Apakah kita perlu merasa tersinggung dan sakit hati di atas dakwaan menteri mentor Singapura Lee Kuen Yew apabila beliau dilaporkan sebagai berkata masyarakat Cina di negara ini dan Indonesia dipinggirkan secara sistemetik? Tentu sekali sebagai warganegara yang penuh bersemangat patriotik kita merasa tersinggung dan sakit hati.

Sebagai pemimpin negara berjiran dan pernah menjadi sebahagian persekutuan Malaysia, kita rasa sangat tidak patut Lee Kuan Yew berkata demikian. Bicara Lee Kuan Yew itu suatu provokasi dan berbau perkauman yang sangat dihindarkan oleh masyarakat majuk negara ini.

Sebenarnya dakwaan demikian bukan suatu perkara baru dan mengejutkan bila ia dihumbankan oleh bekas PM Singapura itu. Sebelum ini pun Lee Kuan Yew pernah mengatakan masyarakat Cina di Malaysia dilayan sebagai warganegara kelas dua. Beliau juga pernah berkempen agar Cina di negara ini menentang konsep negara Islam yang hendak dibangunkan PAS. Beliau menghasut kalau pembangkang menang menyebabkan orang Cina terancam.

Justeru demikian sejarah dan rupa diri Lee Kuan Yew, kita tidak perlu memikirkan kata-katanya itu dan tidak juga perlu melayaninya sehingga beliau merasakan dirinya masih penting di rantau ini. Tidak guna kita menghabiskan masa hanya untuk melayan seorang manusia tua seperti Kuan Yew.

Kita tidak perlu peduli dengan kata-kata itu kerana kita sendiri sedar apa yang berlaku di dalam negara kita ini, (begitu juga Indonesia); mengenai kemewahan dan juga kehidupan kaum Cina di negara ini. Masyarakat Cina di negara ini bukan saja mewah jika dibandingkan dengan kehidupan orang Melayu di Singapura, tetapi mereka juga mempunyai beberapa taraf kehidupan yang sama dengan orang Melayu dan kaum Bumiputera lain. Sementara di dalam bidang tertentu kaum Cina lebih menonjol dan berjaya daripada kaum-kaum lain termasuk Melayu sendiri.

Ambil saja contoh dalam bidang pendidikan dan ekonomi. Bandingkan berapa banyak kolej swasta yang diuruskan oleh kaum Cina berbanding orang Melayu dan India di negara ini. Cuba kita hitung berapa banyak kolej milik kaum Cina dengan milik Melayu, India ataupun kaum lain.

Begitu juga gedung-gedung perniagaan mencakar langit di Kuala Lumpur. Siapa yang punya itu semua? Bangsa dan kaum apakah yang memonopoli hartanah di bandaraya Kuala Lumpur? Bekas PM Mahathir pernah mengatakan, kalau cabut Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak ada apa yang menjadi milik orang Melayu, semuanya milik Cina.

Jadi berdasarkan kepada kedudukan dan realiti itu, bagaimana Lee Kuan Yew boleh mengatakan masyarakat Cina dipinggirkan di negara ini. Konotasi dipinggirkan bahawa kaum Cina tidak diberikan hak dan didiskriminasikan. Malahan setengah peluang atau hak yang diberikan oleh kerajaan yang ditulangi Melayu (Umno) kepada kaum Cina sudah melampau sehingga menimbulkan kecemburuan orang Melayu. Ada pihak mengatakan orang Cina tidak sepatutnya mendapat hak yang luas memandangkan bumi ini ketuanannya, Melayu.

Bagaimanapun atas semangat perpaduan dan demi mengekalkan kuasa melalui perkongsian kuasa menerusi BN, orang Melayu terpaksa juga menelannya secara diam-diam dan melindungi daripada mana-mana pihak bagi menutup maruahnya. Orang Melayu sebenarnya malu berhadapan dengan kenyataan ini.

Untuk mengatakan menteri mentor itu buta, tidak. Beliau boleh bilang dan hitung sendiri bagaimana kedudukan dan keistimewaan kaum Cina di negara ini. Lagi pun beliau sendiri pernah berada di dalam Persekutuan negara ini. Dan kerana sikap orang Melayu dan rakyat negara ini yang terlalu bertoleranlah menyebabkan Kuan Yew mendapat sebuah negara bernama Singapura untuk orang Cina hingga ke hari ini.

Orang Cina bukan saja berjaya dalam bidang memerlukan ketrampilan dan skil bangsa itu. Namun, di dalam politik juga mereka berjaya. Mungkin Kuan Yew kenal dengan nama-nama seperti Lim Keng Yaik, Ong Ka Ting dan lain-lain. Mereka ini adalah bukan Melayu atau Bumiputera tetapi orang Cina yang pada masa ini mendapat tempat dan berkedudukan baik di dalam 'hegemony' pemerintah negara ini. Mereka adalah di antara menteri bukan Melayu.

Mungkin Kuan Yew sendiri sedar perlaksanaan perkongsian kuasa Umno dengan kaum Cina begitu adil sekali. Malah dalam kes-kes dan keadaan tertentu Umno terpaksa memejam mata melupai rakan sebangsanya sendiri demi menjaga dan mahu mengambil hati masyarakat Cina.

Contohnya, Umno merasa geli-geleman untuk bersama PAS dan dalam keadaan tertentu sanggup menghentam PAS secara terbuka. Adakalanya hentaman Umno itu turut sama ditumpang semangkuk oleh masyarakat (parti) Cina dan juga MIC. Sikap terlalu toleran ditunjukkan Umno itu tidak pernah berlaku di mana-mana negara di dunia ini.

Jadi sajalah kalau Kuan Yew menuduh demikian. Ianya tidak perlu dilayan, sebaliknya kita perlu menganggapnya perbuatan Kuan Yew itu sebagai kerja utama orang yang tidak ada kerja sepertinya. Beliau sengaja mencari isu-isu lapok yang boleh membangkitkan semangat orang lain dan dalam masa sama orang akan mengenangnya. Kuan Yew teramat takut orang menganggapnya sudah mati!

Apa yang dilakukan Kuan Yew itu samalah apa yang berlaku ke atas bekas PM Malaysia, Mahathir Mohamad. Apabila dihimpit kesepian dan kesunyian serta dibiar dan tidak dipedulikan, beliau perlu menjadi kreatif mencari idea bagaimana untuk orang mengingatinya. Bagi Mahathir, satu-satu cara untuk menjadikan orang mengingatinya ialah dengan cara mengkritik orang paling berkuasa ketika ini.

Ternyata daya kreativiti Mahathir dan bekas rakan sejawat dari Singapura itu berjaya menarik perhatian umum. Hari ini seluruh pemimpin Umno dan BN memberi reaksi kepada Lee Kuan Yew itu. Walaupun berbagai tuduhan buruk dilemparkan, namun Kuan Yew tetap gembria, kerana beliau masih diingati, kerana rancangannya berjaya.

Nah begitu jugalah dengan Mahathir. Walaupun orang mencemuhnya, rakyat membelasahnya dengan kata-kaa, beliau tetap juga mengkritik Abdullah. Kerana dengan cara itu menjadikan orang akan mengingatinya. Nescaya kalau beliau tidak menyentuh dan mengusik Abdullah, beliau sudah lama lapok dan tersudut di mana-mana relong dengan kedukalaraanya.

Kononnya, tindakan itu untuk kebaikan negara dan parti dan sebagainya, itu hanya alasan saja. Alasan itu juga sengaja digunakan kerana orang Melayu akan mudah terhimbau kalau dikaitkan dengan negara dan juga pertubuhan yang didokongnya. Kalau beliau benar-benar ingin menjaga keselamatan negara dan Umno, beliau tidak melakukan kerja-kerja comot dan meninggalkan legasi buruk kepada Umno apabila beliau menguasai parti itu sejak 22 tahun lampau.

No comments: