Oleh Harakahdaily
Para penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merasa agak tersekat dan terjejas perancangan mereka apabila bekas Presiden Umno itu dikatakan enggan mengeluarkan wang untuk membantu ahli-ahli Umno Kubang Pasu yang mahu membuat pengakuan bahawa mereka diberikan wang sogokan supaya tidak mengundinya sebagai perwakilan ke perhimpunan agung parti itu November ini.
Sumber dari Umno Kubang Pasu mendakwa, keengganan bekas Perdana Menteri berbuat demikian menyukarkan proses untuk mengemukakan saksi yang mahu membuat pengakuan bahawa mereka menerima wang sogokan supaya tidak mengundi beliau.
"Masalahnya, Dr Mahathir tidak mahu terlibat mungkin kerana beliau takut dituduh menggunakan politik wang juga. Kami juga tidak mahu politik wang tetapi kita memerlukan wang perbelanjaan untuk membawa saksi-saksi itu ke Kuala Lumpur berjumpa dengan Jawatankuasa Disiplin (Umno)."
"Ini bukan politik wang kerana tidak ada upah yang akan diberikan tetapi sekadar membantu perbelanjaan dari segi tambang-menambang, bayaran sewa hotel, makan minum dan lain-lain kerana agak ramai yang mahu membuat pengakuan."
"Mereka juga mungkin akan dipanggil berkali-kali oleh Jawatankuasa Disiplin. Masalahnya, Tun tidak mahu mengeluarkan perbelanjaan dan beliau juga tidak mahu mereka yang rapat dengannya mengeluarkan perbelanjaan," dakwa sumber yang terus enggan mengakui dirinya sebagai penyokong Dr Mahathir.
Dalam pertemuan dengan Harakah di sini, sumber itu yakin akan dapat mengemukakan beberapa saksi yang sanggup membuat pengakuan bahawa mereka menerima wang supaya tidak mengundi Dr Mahathir.
"Tetapi tidak ada perkara yang dapat diuruskan dengan percuma. Masalahnya kami tidak mempunyai sumber yang mencukupi bukan kerana tidak ada pihak yang mampu membiayainya tetapi diberitahu bahawa tidak ada yang mahu berbuat demikian kerana tidak mahu bermasalah dengan Tun," dakwa beliau yang sebelum itu beberapa kali menolak untuk menemui wakil Harakah.
Bagaimanapun, katanya lagi, keikhlasan ahli-ahli yang terlibat untuk membuat pengakuan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja dan tidak diberikan sebarang perhatian.
"Dari keputusan yang diperolehi, kami percaya bukan semua yang dituduh menerima wang tidak mengundi Tun. Pada saya, mereka adalah orang-orang yang berani dan tidak tunduk kepada tekanan. Mungkin kerana mereka tidak banyak kepentingan untuk dipertahankan."
Ketika ditanya apakah langkah selanjutnya yang akan diambil, sumber itu sekadar menyatakan, "Tak payah tunggu kebenaran Tun lagi. Tak jadi kerja."
Apabila diminta menjelaskan apakah yang beliau maksudkan apabila memberitahu pihaknya tidak mahu menunggu kebenaran Dr Mahathir, sumber itu enggan mengulas.
Beliau sebaliknya hanya menyatakan kekesalan dengan tindakan para pemimpin Umno yang bersungguh-sungguh melakukan apa sahaja untuk memastikan Dr Mahathir tidak terpilih.
"Tindakan menyekat seorang ahli Umno untuk bersuara di dalam perhimpunan agung lebih-lebih lagi seorang bekas Presiden yang pernah memimpin Umno selama 22 tahun tidak membuktikan ketelusan yang Perdana Menteri hendak perjuangkan.
"Para pemimpin Umno sepatutnya mengambil peluang ini untuk membuktikan Presiden Umno hari ini bear-benar mahukan ketelusan," kata beliau yang kelihatan amat tidak selesa bertemu dengan wakil Harakah.
Setelah diminta berkali-kali untuk menggambarkan bagaimana pihaknya mahu memastikan rancangan mereka akan berjaya, beliau hanya berkata, "Bukan semua orang mengharapkan balasan. Duit memang kuat, memang kuat. Tetapi, rasa tak puas hati kadang-kadang lebih kuat dari duit."


No comments:
Post a Comment