Oleh Harakahdaily
(Hrkh) - "Sayalah antara mangsa yang paling tidak dapat melupakan perbuatan Dr Mahathir ketika beliau berkuasa. Surat penahanan saya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kejam dan barbaric ditandatangani oleh Dr Mahathir sendiri dan saya masih menyimpan surat itu".
Begitu jawapan spontan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar apabila dipertikaikan adakah beliau telah melupakan segala perbuatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berkuasa dahulu.
"Tidak mungkin saya dapat dan mahu melupakan penganiayaan yang dilakukan oleh Dr Mahathir ketika beliau berkuasa, sama ada kepada saya apa lagi kepada rakyat terutama yang memperjuangkan Islam.
"Saya dipisahkan dari anak isteri saya dan dipenjarakan tanpa dibuktikan apakah kesalahan saya. Tindakan itu kejam, tidak berperikemanusiaan, barbaric dan bohonglah kalau saya mendakwa saya telah melupakan semua itu sedangkan Dr Mahathir tidak pernah pun kelihatan menyesali perbuatan-perbuatannya itu dan tidak juga kelihatan mahu meminta maaf dari rakyat.
"Malah, saya juga tidak lupa sama sekali perbuatan bekas pemimpin Umno yang lain ketika mereka berkuasa. Saya tidak pernah lupa kesombongan dan keangkuhan mereka ketika itu dan mereka juga tidak pernah pun kelihatan menyesali perbuatan-perbuatan mereka itu dan tidak juga kelihatan mahu meminta maaf dari rakyat," tegas beliau.
Mengulas rasa tidak puas hati pelbagai pihak di dalam pembangkang yang mendakwa beliau adalah penyokong Dr Mahathir, Mahfuz mengulangi bahawa beliau hanya menyokong tindakan Dr Mahathir yang mahu menyelamatkan negara ini dari kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menantunya Khairy Jamaluddin dan konco-konco mereka.
"Kalau ada mana-mana pihak di dalam pembangkang yang merasakan kepimpinan Abdullah dan tindak-tanduk Khairy adalah baik untuk negara ini dan tidak akan menjerumuskan negara yang kita cintai ini ke jurang kehancuran dan mala-petaka, saya tidak boleh buat apa-apa untuk mengubah pandangan mereka.
"Bagi saya, saya tetap dengan keyakinan bahawa negara ini akhirnya akan hancur binasa, tidak bermaruah, tergadai kedaulatannya dan kita semua akan terhina jika kepimpinan Abdullah dan tindak-tanduk keluarganya terutama Khairy serta konco-konco mereka tidak ditentang.
"Dan, oleh kerana Dr Mahathirlah yang kelihatan paling lantang dalam soal yang amat penting kepada masa hadapan negara itu, saya menyokong penentangan dan kelantangannya itu.
"Tidak pernah pula ada mana-mana ulama, sama ada yang berpolitik atau tidak berpolitik, yang memberi amaran bahawa saya melakukan kesalahan di sisi Syariat Islam kerana menyokong penentangan dan kelantangan bekas Perdana Menteri," kata beliau.
Mengulas kecaman terhadapnya yang kelihatan begitu ketara menyokong ucapan Dr Mahathir, Mahfuz berkata: "Dia berucap mengecam Abdullah dan pengikut-pengikutnya yang bersikap 'mana titah patik junjung,' adakah salah saya menyokong? Adakah saya perlu memarahi Dr Mahathir atau menangis berdukacita bila mendengar kritikan beliau itu?"
Mahfuz seterusnya berkata, kalau ada mana-mana pemimpin lain yang lebih lantang dan berkesan dari Dr Mahathir dalam menentang kepimpinan Perdana Menteri dan tindak-tanduk keluarganya terutama Khairy, beliau sanggup menjadi "pembantu paling rajin" kepada mereka.
"Saya pernah menerajui gerakan rakyat yang kita namakan Gerak ketika (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dizalimi oleh Dr Mahathir selepas 2 September 1998 dahulu.
"Soal pecat itu hak Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri. Yang kita tentang ialah tindakan-tindakan kejam di luar batasan selepas Anwar dipecat dan kita mesti menyokong Anwar ketika itu," katanya.
Bagaimanapun, Mahfuz menjelaskan, sokongannya terhadap Anwar ketika itu dan juga usaha-usaha terpujinya ketika ini tidak bermakna beliau melupakan apa yang telah dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu ketika beliau berkuasa dahulu.
"Inilah perbezaan kita dengan orang-orang yang berkepentingan di dalam Umno. Mereka dahulu menyokong Dr Mahathir ketika beliau berkuasa dan melakukan pelbagai perbuatan yang hanya layak ditentang dan dikecam.
"Hari ini, ramai di antara mereka yang tiba-tiba mencerca apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir ketika beliau berkuasa dahulu malah ada menteri yang menyifatkan Dr Mahathir sekarang ditimpa hukum karma, dahulu dia menganiayai orang tetapi hari ini dia sendiri yang dianiaya.
"Soalnya mengapa mereka yang beria-ia menyokong Dr Mahathir ketika beliau melakukan perbuatan-perbuatan yang kini mereka sendiri mengecamnya? Mengapa tidak lawan pada waktu itu dan mengapa mereka memusuhi kita yang menentang perbuatan Dr Mahathir ketika itu?" soal beliau.
Mahfuz percaya, jika Allah menetapkan waktunya sudah sampai apabila tiba masanya nanti dan perjuangan memaksa Abdullah berundur mencapai kemenangan, orang-orang itulah yang awal-awal lagi akan tampil mengecam Abdullah.
"Mereka akan menyembelih Abdullah habis-habisan ketika itu dan lebih keras dari apa yang kita lakukan sekarang. Tetapi hari ini, oleh kerana kepentingan diri, merekalah yang paling setia menyokong dan sanggup menjatuhkan maruah diri sendiri menjadi penjilat setia Perdana Menteri seperti mereka menjadi penjilat setia Dr Mahathir dahulu.
"Orang-orang inilah yang kini menjadi pemimpin negara di pelbagai peringkat dan rakyat mesti digerakkan untuk mengalahkan pakar-pakar jilat ini," tegas Mahfuz.


No comments:
Post a Comment