Oleh Harakahdaily
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak berasa aib dan terhina ketika tewas dalam pengundian pemilihan perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu 9 September lepas, namun mengakui berasa malu apabila orang asing bertanyakan hal tersebut sewaktu di luar negara.
"Apabila keputusan pengundian itu dibuat, maka ramai daripada orang asing bertanya-tanya apa sudah berlaku di Malaysia ini. Dan saya merasa malu untuk menerangkan. Saya malu bagi pihak negara saya bukan bagi diri saya. Saya, kalau hendak rejam dalam tong tahi pun tidak mengapa asalkan negara saya ini selamat," katanya.
Mahathir juga memperli Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan mengatakan menantu PM, Khairy Jamaludin dan kroni niaganya Patrick Lim sekarang ini memerintah kerajaan Terengganu, kerana mereka didakwa 'menyapu' kebanyakan projek di negeri tersebut.
Antara perkara yang disentuh dalam wawancaranya, termasuk isu Umno, Melayu, Islam Hadhari AP, MV Agusta dan lain-lain.
Ikuti penjelasan Mahathir ketika menjawab pertanyaan hadirin dalam sesi soal jawab selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Bangunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Kemaman dan Kempen Hari Pahlawan Peringkat Daerah di Awana Kijal Golf Beach & SPA Resort, Kijal, Terengganu pada 22 September 2006.
S: Royalti minyak, adakah dia milik Terengganu?
Memanglah, kita bersetuju bahawa negeri yang berdekatan mempunyai hak kepada minyak yang dikeluarkan dekat dengan negeri itu. Dan di masa yang sama kita juga mengambil kira tentang hak negeri-negeri lain yang mungkin tidak begitu bernasib baik.
Kita telah bersetuju apabila kita menubuhkan Persekutuan kita iaitu Persekutuan Tanah Melayu. Iaitu kekayaan yang diperolehi oleh negara harus dibelanjakan manfaat untuk seluruh negara.
Sebenarnya, kutipan cukai yang terbanyak sekali adalah di Negeri Selangor. Ini kerana Negeri Selangor ini mempunyai perniagaan perusahaan yang besar-besar dan perolehan mereka, pendapatan mereka begitu tinggi.
Apabila kita bersetuju mengadakan Persekutuan, maka kita telah bersetuju kutipan cukai di mana-mana negeri hendaklah diagih secara saksama kepada negeri-negeri yang lain.
Sudah tentulah sebahagian yang besar akan digunakan di negeri di mana kutipan cukai itu dibuat. Demikian juga dengan minyak ini telah dipersetujui bahawa perolehan ini dibelanja di negeri berkenaan.
Oleh kerana masalah-masalah politik sebenarnya kerana takut wang ini disalahgunakan, maka pihak kerajaan telah mengubah sedikit cara mentadbirkan wang ini. Walau pun dia menjadi milik negara keseluruhannya tetapi bahagian yang terbesar hendaklah diagihkan kepada negeri berkenaan. Dan inilah yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Saya percaya.
Apakah Umno masih relevan untuk Melayu?
Ya, saya akui tidak ada pertubuhan lain yang begitu berjaya mentadbirkan negara kita ini dan sudah tentulah mana-mana pertubuhan akan melalui masa gelap dan masa cerah. Walau pun di masa cerah kita mendapat cahaya daripadanya.
Janganlah kita gugurkan di masa yang gelap kerana suatu hari kita akan memerlukannya juga. Sebab itu, saya masih anggap Umno ini masih relevan kalau pun ada kalanya yang dianya ternampak tidak nampak berjasa, berbakti kepada kita.
Tetapi mungkin, jika kita sabar dia sekali lagi akan dapat berbakti kepada kita. Terpulanglah kepada kita untuk menentukan gelap atau pun cerah. Apabila kita menentukan kepimpinan negara kita yang mampu mencerahkan negara kita ini, maka akan cerahlah negara kita. Janganlah kita salahkan Umno.
Umno tidak bersalah, orang Melayu tidak bersalah.
Sebaliknya kita masih dapat menggunakan Umno ini dengan cara yang baik yang akan menguntungkan kita seperti jugalah dengan jambatan. Janganlah setelah kita menyeberang sungai maka kita bakarkan jambatan itu.
Ini adalah tidak baik kerana kita pun perlu untuk kembali ke seberang sana gunakan jambatan itu sekali lagi.
Sebab itulah, kita masih anggap Umno ini sebagai jambatan dan kalau pun pecah robek sedikit, kita masih mampu membetulkannya. Tetapi bijak-bijaklah cara kita menggunakan badan yang begitu berjasa kepada kita ini.
Apakah pandangan Tun berkenaan Islam Hadhari?
Saya ada pendapat yang berbeza sedikit. Saya telah teliti agama Islam, agama kita ini walaupun saya tidak faham bahasa Arab.
Sebab itu, saya baca Quran dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, begitu juga dengan hadis Bukhari. Saya dapati dalam jangka masa 1,400 tahun terdapat begitu ramai ulama-ulama yang membuat tafsiran berkenaan dengan agama kita.
Dan ada juga antara mereka yang membuat tafsiran dan memberi nama kepada tafsiran mereka ini.
Oleh kerana tafsiran mereka tidak selalunya sama dan ada kalanya tafsiran mereka itu begitu berlainan sehingga pengikut-pengikut mereka bertentangan antara satu sama lain.
Sehingga mereka sanggup berperang sesama orang lain yang mendakwa mereka juga orang Islam. Maka kita dapati tafsiran-tafsiran ini tidak mungkin semuanya betul dan tentunya ada yang salah.
Jika tidak salah, kenapakah umat Islam yang diseru supaya bersatu padu ini tidak dapat bersatu padu kerana fahaman mereka berkenaan dengan agama mereka berlainan. Saya baru sahaja balik daripada Iran.
Orang Iran ini adalah pengikut-pengikut Syiah dan ada kelainan dalam amalan-amalan dan kepercayaan mereka.
Kelainan yang ketara sekali ialah mereka berpendapat Saidina Ali yang paling layak menggantikan khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Fahaman ini bertentangan dengan fahaman kumpulan yang lain.
Maka terjadilah pemisahan antara orang ahli sunah wal-jamaah (Sunni) dengan puak Syiah ini. Dan kelainan ini menyebabkan mereka bermusuh sehingga sanggup berperang. Hari ini, orang Sunni dan Syiah di Iraq bunuh-membunuh sehingga semasa sembahyang pun mereka tidak hormati.
Orang Sunni membunuh orang Syiah. Orang Syiah membunuh orang Sunni sedangkan mereka sama-sama mengaku mereka orang Islam. Orang Islam bersaudara tetapi kenapa mereka bermusuh-musuhan.
Sebabnya kerana tafsiran dan bukan kerana agama Islam. Agama Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w hanya satu sahaja. Tetapi kerana tafsiran yang berbeza antara Sunni dengan Syiah ini, maka berlaku permusuhan antara Sunni dengan Syiah. Tetapi bukan sahaja antara Sunni dengan Syiah, ada pula puak Wahabi, Alawwi dan macam-macam lagi puak di dalam 1.3 bilion umat Islam di dunia hari ini.
Di negara kita ini pun tidak kurang. Ada Asaari dan ada juga Ayah Pin. Semua orang ini membawa tafsiran yang berbeza-beza sehingga kita sanggup berperang sesama kita sedangkan kita tahu agama kita menyuruh kita supaya bersatu padu dan menganggap orang Islam lain bersaudara kita.
Sebab itu, saya tidak boleh walaupun saya cuba hendak bersetuju. Saya tidak boleh menerima apa juga jenis tafsiran baru yang dibuat terhadap agama Islam. Agama Islam hanyalah satu sahaja dan kita dapati al-Quran yang memberi panduan kepada kita berkenaan dengan agama yang satu ini.
Dan kalau kita bergantung kepada hadis-hadis, ada hadis-hadis yang sahih dan ada hadis yang lemah. Dan peganglah kepada hadis yang sahih yang benar-benar mengikut sunah Nabi s.a.w.
Kalau kita berpegang kepada al-Quran yang satu, tafsiran yang satu, kita tidak akan berpecah-belah. Kita akan jadi umat Islam yang bersaudara. Itulah sebabnya, yang saya lebih berpegang kepada tafsiran dan ajaran yang ikut al-Quran dan hadis yang satu.
Saya fikir tidak payahlah kita buat tafsiran yang baru dan memberi kepada Islam dengan nama-nama yang baru.
Ada satu nama Islam cukuplah. Saya fikirlah, sebab itu jika tanya berkenaan Islam Hadhari, saya mengakulah saya tidak pandai dalam Islam Hadhari itu.
Tetapi mungkin ada orang yang pandai yang boleh tunjuk kata inilah Islam yang sebenar dan ahli sunah wal jamaah ini tidak kena, Syiah tidak kena, Alawwi tidak kena, Wahabi tidak kena, Ayah Pin tidak kena. Jadi kalau kita ikut satu, jadi mungkin yang lain semua jadi tidak kena dan tidak jadi Islam. Kalau kita pegang kepada Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad hanya satu sahaja dan tidak ada yang lain.
Apakah pandangan Tun berkenaan kurang sopannya ahli-ahli Parlimen sekarang ini?
Ahli Parlimen kurang sopan. Ini bukan budaya kita. Kita orang Melayu, kita orang Islam dan kita tidak-tidak sopan. Kita selalu beradap. Manusia yang beradap dan itulah orang Melayu. Kalau tidak sopan tidak jadi Melayu lagilah walau pun Melayu ditafsirkan dalam perlembagaan ialah seorang yang bertutur kata dalam bahasa Melayu yang beradap Melayu dan yang beragama Islam.
Tetapi bila ianya tidak sopan, dia telah melanggar syarat yang kedua iaitu beradat istiadat Melayu. Jadi kurang sopan itu bukan sebahagian budaya orang Melayu dan mungkin ditentukan dalam perlembagaan kita bahawa orang-orang yang tidak sopan mungkin dia separuh Melayu sahaja.
Apakah pandangan Tun berkenaan pentadbiran negara kita sekarang?
Banyak orang tahu saya banyak membuat teguran-teguran dan kerana membuat teguran-teguran ini saya sekarang ini hadapi masalah sedikit.
Tapi masalah bagi saya tidak penting dan yang penting masalah bagi negara. Kalau hendak tegur pun tidak boleh, tentulah kita buat perkara yang silap.
Walaupun kita pandai, kita bijak dan walaupun kita mempunyai otak geliga tetapi kita sebagai manusia biasa tentu ada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh kita.
Sebab itulah dalam masyarakat kita, kita perlu kepada teguran. Apabila ada teguran yang salah itu dapat dibetulkan tetapi apabila ditutup mulut, sesiapa yang menegur kemungkinan kita buat yang salah itu menjadi begitu besar.
Sebab itu, kita khuatir dengan tidak dibenarnya apa-apa teguran. Mungkin apa yang dilakukan itu adalah bertentangan dengan keperluan, dengan dasar bagi negara kita.
Apa gunanya kita mempunyai wakil-wakil rakyat kalau hanya dibenar untuk berkata: Kami bersetuju, kami menyokong.
Kalau kita pilih wakil rakyat untuk berkata demikian sahaja tidak perlulah kita pilih orang yang berkalibar. Kita pilih orang yang tahu bercakap dua patah pun cukuplah. Dia boleh kata: Saya sokong, saya bertuju. Sudah cukup jadi wakil rakyat. Jadi kita rasa kecewalah sedikit tetapi tidak ada orang yang hendak dengar kekecewaan kita ini.
Tun telah memperjuangkan beberapa isu dan pihak kerajaan mengatakan mereka telah memberi jawapan secara telus tetapi Tun kata masih tidak berikan jawapan kepada isu yang ditimbulkan. Mengapa ini berlaku?
Ya, saya tanya soalan yang mudah. Kalau jual Agusta yang dibeli dengan harga RM500 juta dan dijual dengan harga RM400 juta, itu menguntungkan atau merugikan.
Bolehkah kita beli satu barang dengan harga yang mahal dan dijual dengan harga yang murah. Tetapi kita kata tidak rugi. Tidak tahulah Pak Pandir mana yang buat perniagaan macam itu.
Tetap rugi dan kita rugi banyak. Kita tanya pula bagaimana menetapkan harga RM4 ini. Apakah kita ada tawar menawar. Tidak dijawab.
Kita tanya apakah ini perkara ini diumumkan kepada orang ramai supaya orang ramai dapat membeli syarikat ini.
Saya pun ada RM4. Saya pun teringin juga hendak beli walaupun tidak tahu hendak buat apa. Kalau dia beli dengan harga RM4, satu Euro. Harga satu Euro bersamaan RM4.70 dan kalau dia juga dengan harga dua Euro pun dia sudah untung 100 peratus.
Jadi kita hairan tetapi tidak ada jawapan. Kononnya, kami sudah jawab itu, kami sudah jawab ini. Tetapi soal yang saya tanya ini tidak jawab. Soal AP kenapa beri kepada dua orang sahaja.
Ramai lagi orang lain minta tetapi tidak dapat. Bagi pula dengan percuma kepada dua orang itu daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa. Orang itu dapat percuma dan dijual dengan harga RM40 ribu dan saya kenal dengan orang yang terpaksa beli AP ini dengan harga RM40 ribu.
Ini bermakna, dia dapat percuma dan dia jual dengan harga RM40 ribu dan tentulah dia untung RM40 ribu juga dan kalau dia dapat AP dia berniaga sendiri relalah kita terima. Tetapi tidak juga cuma jual AP sahaja. Jadi ada syarikat AP sekarang ini dan masih berjalan. Ini pun tidak dijawab dan menteri berkenaan kata tidak perlu jawab.
Wah! Bukan main sombongnya sekarang. Kenalah jawab, kita dipilih oleh rakyat, saya pun rakyat juga dan kalau saya tanya, jawablah sikit-sikit tetapi tidak jawab. ?Kami sudah jawab, kami tidak perlu jawab?. Memang benar, tidak dijawab.
Apakah Tun sedar kepimpinan BN sekarang lebih mementing anak menantu dalam urusan negara?
Yalah, katanya, ini tidak mengapa, dia menantu saya. Saya pun ada juga menantu dulu dan sekarang pun ada juga tetapi tidak dapat apa pun.
Bagaimana perasaan Tun apabila pentadbiran kerajaan Negeri Terengganu diperintah oleh Khairy bersama Patrick Lim?
Ini ada perlembagaan baru yang ditukar tanpa diketahui oleh Parlimen. Jadi kalau kita semak perlembagaan baru dan disebut dalam perlembagaan itu bahawa menantu dan Patrick ada hak memerintah Negeri Terengganu.
Jadi apakah kerajaan Negeri Terengganu sudah semak perlembagaan dia.
Apakah kekalahan Tun di Kubang Pasu menandakan karier Tun akan berakhir dan mengaibkan Tun?
Saya tidak merasa aib dan terhina kerana yang saya utamakan ialah apakah negara kita aib dan terhina. Apabila keputusan pengundian itu dibuat, maka ramai daripada orang asing bertanya-tanya apa sudah berlaku di Malaysia ini. Dan saya merasa malu untuk menerangkan. Saya malu bagi pihak negara saya bukan bagi diri saya.
Saya, kalau hendak rejam dalam tong tahi pun tidak mengapa asalkan negara saya ini selamat.


No comments:
Post a Comment