Oleh Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah
Ahli Parlimen Gua Musang
Dewan Rakyat Malaysia Pada Hari Rabu, 13.9.2006
Tuan Yang Di Pertua
1. Saya bangun untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan 2007. Saya menaruh harapan belanjawan ini akan dapat memberi kekuatan kepada kerajaan dalam memberi kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat Malaysia.
2. Apatah lagi cabaran yang dihadapi oleh Negara bertambah besar. Kita adalah sebuah Negara kecil. Jumlah wang yang akan kita gunakan bagi tujuan pembangunan dan mengurus sebanyak RM159.4 bilion ringgit iaitu sekitar USD 40 bilion bukanlah angka yang terlalu besar kalau dibandingkan dengan belanjawan beberapa buah syarikat multinasional dunia atau pun rangkaian pasaraya di beberapa buah negara yang maju. Sudah tentu angka ini menjadi semakin kecil di dalam keadaan pergolakan dunia yang semakin tidak menentu.
3. Peperangan di Timur Tengah terus melanjakkan harga minyak dunia yang sekaligus menaikkan kos dalam pelbagai barangan dan perkhidmatan. Manakala isu keganasan antarabangsa turut mendesak pelbagai kos lain seperti yang berkaitan dengan keselamatan, pengangkutan, insurans dan sebagainya boleh menjejaskan urusan perdagangan kita. Kita negara perdagangan yang sangat terdedah kepada keadaan dunia.
4. Tidak nafikan kenaikan harga minyak tidak semestinya buruk buat kita. Selain kita masih lagi sebagai negara pengekspot bersih (net-exporter) minyak yang memberi keuntungan kepada Petronas, kenaikan harga minyak turut membuahkan nikmat kepada penanam kelapa sawit dan getah kit. Kelebihan ini menjadikan kita lebih bernasib baik. Kegelisahan rakyat di sector tertentu ditampung oleh kegembiraan rakyat di sektor yang lain.
5. Ini tidak bermakna kerajaan boleh membiarkan segala-galanya ditentu oleh arus dunia yang kelihatan seperti sentiasa menyelamatkan kita. Saya akui kerajaan telah membuat pelbagai usaha untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Langkah menggalakkan Petronas mencari rezab minyak antarabangsanya harus dipuji. Namun rakyat turut ingin tahu sejauh manakah hasil yang diperolehinya. Beberapa insiden di Sudan meresahkan kita. Isu kita dihalau dari Chad perlukan penjelasan. Sejuah manakah pula pelaburan kita selamat di Myanmar atau Iran sekiranya negara ini menerima tekanan antarabangsa atas faktor-faktor politik?
6. Sebab itu saya percaya keselamatan dan kesejahteraan jangka panjang Malaysia banyak bergantung kepada keupayaan kita bekerjasama dengan negara-negara lain. Bukan sahaja rantau ini tetapi juga dengan negara-negara lain yang jauh daripada kita.
7. Kerjasama di peringkat ASEAN sudah begitu lama diwarwarkan. Namun semakin hari semakin memperlihatkan pertandingan di kalangan kita bukan untuk melengkapi, tetapi boleh membunuh antara satu sama lain. Apa sudah terjadi kepada impian menjadi Proton sebagai projek kereta ASEAN? Atau apakah kita sendiri terpaksa menentang semangat AFTA yang kita tandatangani dalam menangkis kemasukan kereta-kereta Barat, atau Asia Timur yang dipasang di negara jiran dan diktiraf sebagai kereta nasional mereka? Proton dilahirkan dalam penuh kontraversi. Hari ini ia masih diselubungi oleh pelbagai kontraversi baru. Berapa lama kontraversi ini akan berlarutan?
8. Tidak dinafikan jumlah wang yang besar telah dinyatakan dalam belanjawan ini dan juga Rancangan Malaysia ke 9 untuk pembangunan bio-teknologi kita. Saya percaya ia terbit daripada kesedaran kita bahawa masa depan industri kita tidak boleh bergantung kepada industri pemasangan yang berintensifkan buruh. Lebih-lebih lagi kita Negara yang tanahnya subur, penuh hutan leantara yang menjadi sumber pembangunan industri bio-teknologi. Namun kita masih dilihat berlumba dengan negara-negara jiran. Ada di antara mereka sudah jauh kedepan walaupun mereka sendiri tidak ada tanah dan tidah ada hutan. Merdeka dilihat bukan sekadar mencari dan merekacipta produk-produk baru, tetapi mempunyai road-map tersendiri kea rah mencapai tahap tertinggi dalam industri ini.
9. Dua contoh di atas - industri automobile, dan bio-teknologi hanyalah sekadar imbasan kepad kedudukan kita yang masih bertarung dengan negara-negara jiran dalam menghasilkan produk kita dan bertanding antara satu sama lain. Kelihatannya seperti tiada rancangan besar dalam merangkakan kerjasama atau membahagikan tugasan sesame kita. Di kalangan kita tidak ada produk istimewa (niche product) atau pun produk-produk yang saling melengkapi antara satu sama lain.
10. Sebab itulah saya suka mencadangkan supaya kerajaan dapat mempertimbangkan agar industri minyak dan gas (oil and gas) kita dimajukan dengan lebih besar. Kita adalah pengeluar dan pemilik rezab bahan ini yang terbesar di rantau ini. Petronas yang ditubuhkan di awal tahun 70an kini telah mencatatkan namanya sebagai salah syarikat multinasional yang berjaya di dunia. Ia mengatasi nama-nama syarikat lain di rantau ini seperti Pertamina, atau, syarikat-syarikat dari kalangan pengeluar minyak dunia lain termasuk negara-negara Arab.
11. Tidak dinafikan pelaburan besar sama ada di peringkat upstream atau pun hiliran telah kita curahkan. Kita memiliki keupayaaan dalam mengeluarkan pelbagai produk minyak dan gas kita di Terengganu. Namun Malaysia belum disebut Sebagai hub of oil and gas industry di rantau ini.
12. Saya percaya melalui suatu Perancangan Strategik Nasional dalam menjadikan kita hub dan pemimpin industri ini kita dapat memanfaatkan bukan sahaja kedudukan kita sebagai pengeluar minyak dan gas terbesar di rantau ini, tetapi juga kedudukan yang strategik kita di tengah-tengah laluan Selat Melaka dan Laut China Selatan. Hubungan baik kita dengan negara-negara Arab dan Islam lain sepatutnya dimanfaatkan bagi mendapat bekalan bahan mentah yang berterusan dari negara-negara pengeluar minyak dan gas dunia. Manakala dalam konteks pertumbuhan ekonomi yang begitu pesat di China dan India, kitalah yang sepatutunya dilihat sebagai rakan paling strategik bagi mendapatkan bekalan yang berterusan bahan-bahan ini. Saya percaya ramai pelabur dari negara itu akan datang ke mari bagi mempastikan bekalan yang mencukupi untuk keperluan mereka sendiri.
13. Perancangan Strategik ini bukan sahaja dalam kontaks pembinaan industri yang berkaitan seperti dalam bidang penapisan, penyetoran (storage), peralatan, penyelidikan, pembinaan rangkaian penyaluran ASEAN atau ASEAN-interconnectivity, eksplorasi dan lain-lain aktiviti hiliran, tetapi yang lebih penting ialah menggembelengkan pasaran modal dunia dalam bidang ini.
Bermakna dengan izin
As the OIL & GAS HUB IN ASIA, Malaysia must be the leader in all areas relating to the industry including :
- oil and gas refining hub
- oil and gas storage hub
- oil and gas equipment hub
- network and distribution infrastructure
- exploration and production of both oil and gas
- downstream petroleum products and by-products
- the capital market where industry players seek financing
- trading in futures for oil and gas
- research and technical centre both for oil and gas and alternative energy sources.
14. Saya kira tidak salah sekiranya kita bersifat lebih akomodatif dalam bidang pasaran modal bagi industri ini. Bukan sahaja di bursa saham tetapi juga bagi pasaran bond dan pasaran derivatif. Ia termasuk mengadakan dasar yang lebih liberal, memberi insentif yang lebih menarik dan meringankan syarat-syarat penyenaraian bagi syarikat-syarikat ini di bursa saham kita.
Tuan Yang Di Pertua,
15. Globalisasi dan cabaran pertumbuhan kuasa baru ekonomi, iaitu China dan India menuntut kita lebih pantas bertindak. Ini termasuk mencetuskan idea-idea baru agar kita tidak ketinggalan apabila melihat satu demi satu pelabur meninggalkan kita kerana mengejar keuntungan yang lebih besar di negara-negara tadi.
16. Negara jiran mungkin dilihat terdesak apabila terpaksa membuka dua kasino terbesar dan lain-lain aktiviti menarik wang luar ke negara mereka. Kita tidak perlu berbuat yang sama kerana Tuhan memberikan pelbagai sumber lain yang perlu dimanfaatkan. Saya percaya apa yang desebutkan tadi sudah ada dalam fikiran pucuk pimpinan kita, naum rakyat dan orang ramai, terutama kepten-kepten industri kita tertanya-tanya tentang perlaksanaan perancangan kita.
17. Ini termasuk kenapa ekonomi kita masih terasa lembabnya. Rancangan Malaysia ke 9 bukan sahaja dikatakan tidak begitu menarik, tetapi setelah setahun berlalu ramai yang bertanya mana dia projek besar yang sudah bermula? Kata mereka, tahun depan kita akan bercakap tentang Rancangan Separuh Penggal, namun hingga sekarang kereta impian masih belum meninggalkan garajnya. Apakah kereta kita tidak baik, atau untuk keluar dari garaj pun kita masih melalui pelbagai rintangan birokratik?
18. Bahkan mereka turut meluarkan rasa kebimbangan bukan sahaja kita kehilangan daya saing kita kepada negara-negara kos rendah seperti China, Vietnam dan India, tetapi juga kepada negara yang lebih maju seperti Singapura dan Taiwan. Kata mereka, kita masih belum memiliki kelebihan daya saing (competitive advantage) untuk bertanding di peringkat jangka panjang dan sederhana.
19. Bahkan ramai yang masih merasakan, di saat kita bercakap tentang corak baru pemerintahan yang berlandasan kecekapan dan keterbukaan, kontrak dan projek masih berlegar kepada prinsip hubungan dengan mereka dengan yang berkuasa bukannya atas prinsip merit dan keupayaan yang sebenar. Cemuhan terhadap rent seekers yang kerap kita luahkan seketika dahulu semakin tidak kedengaran kerana kita sendiri dilihat melahirkan rent seekers baru dalam bentuk baru.
20. Saya percaya persepsi ini dapat dihapuskan sekiranya pemimpin kerajaan dilihat lebih tegas, berani dan memiliki kehendak politik atau political will yang lebih tinggi. Ganjaran hanya kepada mereka berupaya membuktikan kebolehannya. Sebaliknya bagi yang tidak, harus dihentikan. Tindakan bukan hanya kepada mereka di peringkat bahawan, tetapi yang lebih penting, terhadap mereka di peringkat tertinggi. Konsep seorang pemandu dan yang lainnya hanya penumpang tidak lagi sesuai di era kepimpinan kolektif seperti yang cuba ditunjukkan sekarang.
21. Saya percaya, walaupun ia sukar dilakukan, ia mesti dilakukan juga. Kita tidak boleh mengandaikan Malaysia akan sentiasa selamat kerana Tuhan akan sentiasa menyebelahi kita. Saya berkeyakinan, Tuhan hanya akan menyebelahi kita sekiranya kita sentiasa berusaha mengubah nasih kita sendiri.
Terima kasih.


No comments:
Post a Comment