Oleh Mykmu.net
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato' Seri Aziz Shamsudin menegaskan kekalahan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pemilihan perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu merupakan sesuatu yang menunjukkan sikap tidak berterima kasih orang Melayu (baca Umno).
Justeru apa harga maruah Melayu? Dua ratus ringgit? Janji untuk dilepaskan daripada sesuatu tindakan disiplin?
Jawapannya ialah kedua-duanya sepanjang kempen pemilihan perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu Sabtu lalu. Bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kalah kerana elemen kedua-duanya.
Perwakilan diberi RM200 bersama 'chai' atau slip kertas mengandungi nombor perwakilan yang patut di undi. Itu sudah memadai.
Saad Man tikam belakang
Tetapi bagi bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri (Dr Mahathir) Saad Man, janji pelepasan daripada penggantungan dari memegang jawatan dalam Umno sudah cukup untuk membelot dan menikam bekas bosnya dari belakang.
Saad Man atau 'Abang' antara tiga bekas 'orang kuat' Dr Mahathir, selain Johari Baharom dan Osman Arof, yang berusaha berhempas-pulas memastikan kekalahan Dr Mahathir di Kubang Pasu.
Sebenarnya Saad Man mempunyai sejarah lama yang berulang kali menikam Dr Mahathir. Pilihan raya 1995 dan 1999 beliau dikatakan mensabotaj borang pencalonan Dr Mahathir. Masa itu faktor Anwar dikatakan mempengaruhi beliau.
Tahun 1999 juga menyaksikan Saad Man berhenti menjadi Setiausaha Politik Perdana Menteri. Semua orang tahu Saad Man dipecat tetapi Dr Mahathir kata beliau berhenti atas kehendak sendiri.
Sokong pembangkang
Pada 2004, Saad Man digantung daripada memegang jawatan dalam Umno. Dia dituduh terbabit menyokong calon pembangkang dalam kempen pilihan raya kerana tidak berpuas hati dengan Johari yang dipilih bertanding Ahli Parlimen Kubang Pasu.
Sebelum itu Saad Man pernah bertanding menentang Osman Arof pada 2001 untuk jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Dia tewas dengan majoriti 21 undi.
Saad Man duduk diam seketika selepas 2004. Tetapi apabila Dr Mahathir sendiri membuat keputusan bertanding calon perwakilan Bahagian mungkin beliau nampak peluang menaikkan imej dirinya.
Menerusi beberapa orang kuat Mukhriz Mahathir, beliau telah membuat 'contact', meminta Mukhriz menghubungi beliau secepat mungkin sekitar akhir Ogos, awal September.
Stail politik kampungan
Kemungkinan Saad Man kembali membantu Dr Mahathir disambut baik penyokong Mukhriz. Semua orang tahu "style" politik kampung Saad Man yang disegani orang kampung, biarpun perjuangannya yang tidak ada etika.
"Dia boleh masuk dapur, tengok apa ada dalam kuali, makan sekali dengan tuan rumah, kemudian bagi duit untuk beli lauk," begitu mengikut seorang yang mengenali Saad Man. "Cara macam ni senang tambat hati orang kampung," tambahnya.
Pada 2hb September satu pertemuan diantara Saad Man dan Mukhriz diaturkan. Bertempat di coffee lounge Hotel Sentosa Alor Setar, perjumpaan dua jam itu turut diahdiri beberapa orang lain.
Pastikan tempat Mahathir
Saad Man dikatakan begitu bersungguh mahu menolong Dr Mahathir. Saad Man beritahu Mukhriz yang dia sendiri mahu mengetuai kempen untuk pastikan yang Dr Mahathir mendapat tempat G7.
Malahan Saad Man telah 'mengagihkan' kerja kepada jentera Mukhriz yang membantu bapanya kerana Dr Mahathir sendiri tidak mempunyai jentera, mahupun turun berkempen secara personal.
Saad Man telah tetapkan apa yang dia akan lakukan dan tugasan lain pada jentera Mukhriz. Saad Man begitu bersungguh-sungguh sehinggakan semua ini dibuat tanpa pengetahuan Dr Mahathir terdahulu kerana Mukhriz sendiri tak sempat beritahu bapanya.
Sama-sama Mahathir dalam kereta
Difahamkan, satu syarat Saad Man kenakan, dia mahu bersama-sama Dr Mahathir di dalam kereta semasa sampai di Dewan Wawasan pada 9 September, hari mesyuarat Bahagian diadakan untuk memilih wakil Bahagian.
Begitulah bersungguhnya Saad Man hinggalah beliau dikatakan dipanggil untuk "minum kopi" dengan YAB Menteri Besar Kedah, Dato' Mahadzir Khalid.
Dijanjikan peluang diampunkan lebih awal Saad Man terus buat U-turn. Beliau bukan sahaja tidak lagi berkempen untuk Dr Mahathir malah, pada malam terakhir di Darul Aman Golf and Country Club telah berganding bahu dengan musuh politiknya sendiri Johari Baharom dan Osman Arof, meminta perwakilan supaya jangan memilih Dr. Mahathir.
Termakan rasuah
Begitulah politik Melayu. Sekarang perwakilan Kubang Pasu yang termakan rasuah dan hasutan bahawa Dr Mahathir tidak harus dilantik perwakilan tentulah puas hati. Satu negara mengharapkan Dr Mahathir diberi pentas bercakap di dalam Umno terpaksa akur yang terdapat perwakilan Kubang Pasu yang begitu murah maruahnya.
Kita sama-sama tengok macam mana tingginya penghormatan Umno akan berikan pada Dr Mahathir dan kita sama-sama tengok sama ada janji kepada Saad Man akan ditepati.


No comments:
Post a Comment