Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengawal dan menghukum pengguna/pemakai bahasa Melayu yang lekeh. DBP juga akan mengenakan 'tol' jika kesalahan ini terbukti. Saya menyokong 103 peratus langkah ini. Kerana buku-buku DBP dan majalah-majalah keluarannya telah terbukti gagal untuk dijadikan sumber pendapatan. Duit-duit saman 'salah bahasa' ini pasti boleh menampung sedikit dana negara untuk menjayakan RMK-9.
Hanya satu yang saya agak merisaukan saya - apakah 'Level Four' telah mengetahui hal ini. Ini kerana saya telah difahamkan segala projek yang 'mashuuuuk' wajib mendapat kelulusan 'Level Four'. Juga apakah projek 'saman dan denda DBP' akan dapat diswastakan kepada seorang Bumi agar satu lagi - pengusaha Bumi dapat dibantu untuk dijadikan 'Melayu Unggul'.
Sebenarnya 'pelucahan' penggunaan Bahasa Melayu ini telah lama berlaku. Biar saya bersurah kepada mereka yang muda dan 'cun' yang tidak tahu makna perkataan 'mambang dan bergetah'. Juga agar ibu bapa dan datuk-datuk yang tidak pernah mendengar istilah 'poyo' dan 'comolot'.
Kisahnya begini: Pada ketika apa yang dipanggil Hari Merdeka 31 Ogos 1957 dahulu ekonomi Tanah Melayu ini masih dimiliki oleh 'Mat Salleh'. Apa yang berlaku pada bulan Ogos itu hanyalah Tuan-Tuan Mat Salleh telah balik kampung tetapi harta kekayaan masih lagi di tangan mereka. Projek 'merdeka' ini adalah projek Mat Salleh untuk menaikkan juak-juak mereka untuk menjadi pegawai-pegawai dan penjaga harta kekayaan mereka.
Pengalihan Mat Salleh kepada juak-juak Melayu ini adalah untuk menyelamatkan harta kekayaan dan pelaburan mereka di Tanah Melayu. Tuan-Tuan dan 'Mem-Mem' yang datang dari negara atas angin ini sedang digodam oleh perang gerila yang dilancarkan oleh Tentera Pembebasan Rakyat Malaya. Tuan-tuan pembaca yang budiman mungkin tidak pernah mendengar nama ini kerana buku sejarah negara kita belum lagi ditulis.
Harta kekayaan yang saya maksudkan bermakna ekonomi. Ekonomi adalah asas tamadun sesuatu negara bangsa. Dalam parabola tamadun ini wujud bersamanya budaya persuratan, budaya sastera dan budaya ilmu. Justeru pada tahun-tahun sesudah 1957, ekonomi negara masih lagi dimiliki oleh Mat Salleh. Ini bermakna budaya persuratan dan budaya sastera orang Melayu masih di bawah hegemoni kekuatan Mat Salleh.
Kekuatan ekonomi
Kekuatan ini pula disokong oleh persekongkolan dengan cukong-cukong Cina dan juak-juak Melayu yang baru naik takhta. Sesuatu bangsa, tidak kira bangsa apa pun, jika tidak memiliki kekuatan ekonomi sebenarnya tidak memiliki apa-apa. Justeru, pada tahun 1957 itu, orang Melayu dengan bahasa pengucapan Melayunya, sebenarnya tidak memiliki apa-apa yang merdeka. British mengundur kerana gerakan gerila berterusan.
Ini samalah seperti yang berlaku di Iraq pada ketika ini. Untuk bertahan lebih lama, angka maut bertambah, maka lebih baik digantikan dengan 'barua-barua' yang setia.
Pergerakan ekonomilah yang menjadikan kita berbahasa dan berhubung antara satu dengan lain. Sila baca dan lihat buku Hikayat Abdullah, amati bagaimana Raffles, seorang wakil penjajah telah begitu tekun mempelajari Bahasa Melayu ketika mula sampai ke Melaka. Ini kerana dia sedar tentang pentingnya dia menggunakan Bahasa Melayu kerana dia dalam kumpulan yang kecil dalam dunia Melayu yang luas.
Tetapi lihat apabila British telah mula mendirikan sekolah-sekolah Inggeris. Ini bertujuan untuk melahirkan 'orang-orang tengah' yang berpotensi untuk menjadi 'barua dan tambi' kepada mereka. Bahasa Melayu diketepikan sebagai bahasa ekonomi. Akhirnya bahasa yang dibawa oleh penjajah ini telah menjadi bahasa hegemoni kerana penjajah memiliki dan mengawal punca-punca sumber ekonomi.
Begitu juga dengan kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Saya amat yakin, ketika mereka sampai dengan jong mereka di Melaka pada kurun ke-4 dan 15 dahulu, DBP tidak wujud dengan akta bahasanya. Tetapi orang-orang Cina ini dengan rela hati telah mempelajari bahasa Melayu. Ini kerana punca ekonomi pada ketika itu masih di bawah hegemoni orang Melayu. Tetapi apabila mereka 'meloroh' masuk ke Tanah Melayu dan mendirikan jaringan-jaringan ekonomi sesama mereka, maka mereka tidak lagi memerlukan penggunaan Bahasa Melayu.
Dalam masa yang sama, elit Melayu sendiri tidak meyakini akan bahasa Melayu itu sendiri. Kurang yakin ini lahir dari pandangan dunia mereka yang tidak berkait rapat dengan khazanah budaya bangsa. Mereka terpisah, malah sengaja dipisahkan oleh projek kolonial British. Bukti fakta ini jelas. Ketika projek Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dirancang pada 1971 dahulu, halangan demi halangan, tembok demi tembok telah didirikan oleh elit politik Melayu agar projek ini gagal.
'Hutan balak Bangi'
Malah projek UKM pada ketika itu menjadi begitu lucah di kalangan elit politik Melayu. Apa yang elit politik Melayu perjuangkan pada ketika itu ialah 'merebut hutan balak di Bangi'. Siapa yang menjadi protagonis utamanya tidak lain dan tidak bukan ialah pemimpin-pemimpin Umno pada ketika itu. Ini bukan satu fitnah dari saya. Sila pergi ke arkib negara dan baca akhbar-akhbar mengenai 'hutan balak Bangi' pada tahun-tahun 1973/74.
Awas jangan terlupa! Ada bukti yang masih panas. Tindakan akhir yang telah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ialah memaksa anak-anak negara bangsa mempelajari mata pelajaran Sains dan ilmu hisab dalam bahasa Inggeris. Hingga ke hari ini tidak seekor pun elit politik Melayu yang berani berkokok dan bertelur untuk melupuskan arahan Mahathir ini.
Apa yang berani mereka lakukan setelah Wira Dunia Ketiga itu berundur, hanya mengubah perkataan 'avenue' di Putrajaya. Dan bayangkan betapa mereka terpaksa menangguhkan peralihan perkataan 'precinct' kerana tidak ditemui gantinya. Inilah bukti betapa tenatnya kesakitan jiwa dan fikrah elit politik Melayu.
Daripada segi pensejarahan perjuangan untuk mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berhegemoni terhadap pembudayaan negara bangsa, telah dimulakan oleh susuk kiri. Individu, kumpulan dan parti-parti kiri berkempen sebagai pemula. Malah, intelektual dan para pemikir kiri yang bukan-Melayu adalah orang terawal mengajukan agar bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa untuk Tanah Melayu.
Malah mereka secara berpandangan jauh telah mencadangkan agar sesiapa sahaja yang ingin menjadi warga negara ini akan diterima sebagai Melayu. Projek Melayu dalam Perlembagaan Rakyat PUTERA-AMCAJA (1947) ini telah menakutkan British dan tambi-tambinya. Jika projek konstruk sosial ini berjaya dijalankan, maka bermakna hegemoni ekonomi penjajah akan terlupus.
Masalah pelecehan dan pelekehan Bahasa Melayu tidak timbul. Buktinya Kemboja, Vietnam dan Indonesia, adalah negara-negara yang muncul hasil dari perjuangan bersenjata melawan penjajah. Mereka berjaya merealisasikan program nasionalisme bahasa mereka. Mereka berdiri tegak dengan bahasa mereka sendiri.
Mandur British
Ini berbeza dengan yang terjadi di Tanah Melayu di mana yang dinobatkan adalah 'tambi-tambi' dan mandur-mandur British yang fasih berbahasa Inggeris. Jangan salah anggap, apa yang saya tulis ini bukan propaganda kiri tetapi saya ingin memperlihatkan satu jalur pemahaman tentang susur galur dan uri teromba bagaimana 'pelucahan dan pelekehan' bahasa Melayu itu muncul.
Ketika di sekolah menengah, saya juga mendengar dan membaca Keranda 152. Saya telah dibesarkan di zaman kempen Bulan Bahasa Kebangsaan. Saya juga teringat zaman di mana surat-surat akan dipulangkan jika ianya tidak ditulis dalam bahasa Melayu. Saya juga melihat perjuangan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) yang mendobrak isu dan agenda bahasa Melayu di Universiti Malaya. Semuanya menemui kegagalan.
Gagal yang maha hebat datang kerana pejuang-pejuang bahasa ini tidak memahami bahawa bahasa bukan wujud dengan sendiri. Bahasa hidup dan bernyawa. Nafas dan oksigen bahasa ialah ekonomi. Selagi punca ekonomi dan hegemoni ekonomi itu dimiliki oleh sesiapa sahaja yang penggunaan bahasanya, bukan bahasa Melayu, selagi itulah bahasa Melayu akan lekeh.
Bagi saya, selagi kekuatan punca-punca ekonomi itu tidak dimiliki oleh manusia-manusia yang bahasa pengucapannya Melayu, maka selagi itulah bahasa Melayu ini akan menjadi lekeh. Usaha-usaha yang dilakukan oleh DBP ini sebenarnya adalah projek 'mengabihkan boreh'. Ini hanya program kulitan kerana umbi dan akar bahasa lahir daripada pembuatan yang berhubung dengan produksi ekonomi.
Tetapi jika projek kempen bahasa 'saman dan denda' DBP ini ada tujuan tersirat untuk melalut dan mendodoikan Mak Cik Felda Taib Andak dan Pak Cik Tuan Warung dari Pantai Dalam, maka saya yakin projek ini akan berjaya.
Ianya akan lebih berjaya lagi jika diadakan pelancaran yang dirasmikan oleh Pak Menteri. Malah bertambah gemilang jika dicetak ribuan banting dan kain rentang untuk dipasang di seluruh negara. Dan di bawah banting-banting ini ditulis - www.heritage.com.my. Tamat
No comments:
Post a Comment