Saya menjadi bengang apabila saya terbaca berita-berita tentang bagaimana bahasa Melayu, bahasa ayah bonda saya tercemar. Kemarahan saya meluap-luap. Mula-mula saya ingin menjerit–jerit untuk melaungkan jihad bahasa. Tetapi sayang sekali suara saya gagal keluar kerana kerongkong saya sedang dipenuhi oleh jerebu.
Kemarahan saya tidak pernah mengendur. Kemelayuan saya tercabar. Lalu saya terfikir apakah cara yang terbaik untuk saya membuktikan cinta suci saya terhadap bahasa Melayu. Fikir punya fikir, maka, saya berpendapat adalah lebih baik saya melakukan sesuatu yang positif terhadap bahasa saya.
Saya ingin memperkayakan perbendaharaan kata-kata bahasa ayahanda saya, bukan bahasa ibuanda saya kerana ibu saya telah menjadi arwah. Saya ingin mengikuti jejak langkah Tuan Raffles dan Tuan R.O Winstead yang telah bertungkus lumus mengumpul dan memperkayakan bahasa ayahanda saya.
Saya tidak mahu menjadi Melayu Tunggul. Melayu Tunggul adalah satu konsep di mana si Melayu ini memiliki jati diri Melayu yang cukup tegal. Tetapi dia hanya menunggul tanpa cuba menaikan 'me' yang telah lama layu. Saya juga tidak ingin menjadi Melayu Glokal. Insan Melayu Glokal ini ialah manusia pandai bercakap berdegar-degar tetapi tangan di bawah meja suka mengambil komisen dari askar.
Cara yang ingin saya lakukan untuk memperkayakan perbendaharaan bahasa ayahanda saya ialah dengan mengumpulkan perkataan-perkataan baru yang sering dipergunakan oleh media massa kita. Perkataan ini ada yang berasal dari nama atau gantinama yang telah dipakai berulang-ulang kali sehinggakan ada yang boleh menjadi kata sifat, ada yang menjadi konsep dan ada yang menjadi kata perbuatan.
Selain dari cita-cita untuk berbakti kepada warisan, saya juga berharap dengan usaha saya ini tidak akan ada lagi anak-anak "gadis sayur campur" yang telah menjanda tetapi merasa malu untuk bertutur dalam bahasa ayahanda saya.
Contoh perkataan nama yang telah menjadi konsep kerana selalu dipakai ialah Ali dan Baba. Kini perkataan alibaba bukan lagi nama, tetapi telah menjadi satu konsep. Ini menunjukkan bahawa bahasa ini hidup dan bernyawa. Ini bermakna bahasa boleh bersengama, beranak dan melahirkan cucu cicit.
Kata-kata bahasa baru
Jadi apa yang sedang saya kumpulkan di sini ialah cucu cicit perkataan baru yang telah membolos masuk ke dalam peristilahan bahasa Melayu. Di bawah ini adalah contoh yang telah berjaya saya kutip dan kumpulkan:
Mengkubangpasu: Perkataan ini memberi makna memperhinakan seseorang sehinggakan orang yang dihina ini jatuh ke taraf pariah. Akar perkataan ini datang dari Kubang Pasu.
Penambahan 'meng' menjadikan kubangpasu sebagai perkataan bangun kena buat.
Contoh ayat: Faridah telah mengkubangpasukan bekas suaminya di Mahkamah Syariah dengan memberitahu Tuan Kadi bahawa suaminya tidak memiliki tenaga batin.
Faridah meneruskan kubangpasunya dengan menunjukkan bahawa suaminya tidak berduit dan hanya sanggup membeli kereta Tiara yang telah terpakai.
(Sila ambil perhatian mengkubangpasu tidak ada sangkut paut dengan kubang kerbau – sila rujuk Kamus Dewan).
Pasirsalak: Perkataan ini adalah konsep yang memberi makna seseorang yang telah berjaya menerima duit dari kerajaan untuk membuat projek tetapi projek ini tidak pernah siap-siap.
Contoh ayat: Syarikat Shamsudin Highway Sdn Bhd, sebuah syarikat kabel fibreoptik yang beralamat di Lebuh Ampang , telah berjaya melakukan banyak pasirsalak dalam rancangan RMK8.
Pasirsalak yang paling banyak dijalankan oleh Syarikat Shamsudin ini ialah ke atas kerajaan negeri Perak.
(Sila ambil perhatian, pasirsalak juga telah menjadi satu perumpamaan – Seperti menunggu pasirsalak. Perumpamaan ini sama maknanya dengan seperti menunggu kucing bertanduk.)
Rahimnor: Perkataan adalah kata sifat untuk menunjukkan sifat ayah, abang atau lelaki yang kurang waras dan mudah naik berang, ganas dan suka memukul.
Jangan tersilap eja dengan Romainoor kerana bunyinya agak sama. (Romainoor ialah seorang seniman dan ayah kepada Anita Sarawak.)
Contoh ayat: Hashim dan adiknya Hassan terpaksa meninggalkan rumah mereka setelah ibu kandung mereka berkahwin lain. Ayah tiri mereka terlalu rahimnor.
Anwaribrahim: Ini perkataan perbuatan yang memberi makna suka beralih-alih dan bertukar-tukar atau berubah-ubah atau tidak tetap dalam satu tempat.
Contoh ayat: Bas yang dinaiki oleh Halimah itu agak kosong. Halimah telah beranwaribrahim dari kerusi ke kerusi beberapa kali sehinggakan menyusahkan
beberapa penumpang yang cuba duduk membaca.
Satu lagi contoh ayat: Pada hari raya tahun ini, kakak saya telah menganwaribrahimkan pasu-pasu bunga lamanya dengan pasu-pasu bunga baru. Pasu bunga yang dianwaribrahimkan ini diharapkan akan menambahkan lagi seri rumah kami.
Mirdua: Perkataan ini bermakna satu pekerjaan yang besar dengan belanja yang besar tetapi hasilnya tidak seperti yang dirancang kerana duit belanja telah disonglap.
Contoh ayat: Rancangan perkahwinan anak Datuk Penghulu Kampung Seberang Takir telah diwar-warkan di seluruh kampung. Tetapi pada hari perkahwinan ramai tetamu tidak mendapat makan. Tuan rumah menuduh orang-orang penaggah telah melakukan mirdua untuk memalukan Datuk Penghulu di hadapn para tetamu. (Sila ambil perhatian mirdua ini tidak ada sangkut paut dengan lebuh raya atau jembatan MRR2 yang masih retak.)
Sammi: Perkataan ini adalah ganti nama bermakna orang yang selalu menyalahkan orang lain di atas kesalahan dirinya. Sila ambil perhatian – sammi di sini dieja dengan dua 'm'. Sami satu 'm' bermakna insan suci dari agama Hindu atau Buddha.
Contoh ayat: Nandi ialah seorang penjual tiket wayang dari Sentul yang selalu pulang mabuk. Pada suatu malam, dalam kemabukan, dia telah memukul isteri dan anaknya. Esoknya apabila Nandi sedar dia terus mensammi tuhan kerana isteri dan anaknya telah mati. Apabila jiran datang untuk menangkap Nandi, dia bersammi lagi dengan menjerit-'act of god, act of god'. Dalam keadaan yang tegang ini Nandi telah dirahimnoor oleh jiran tetangga.
Ulfilda: Perkataan ini adalah kata sifat yang memberi makna seorang perempuan yang mengakui dirinya anak dara kerana 60 lelaki yang menidurinya tidak akan diambil kira.
Contoh ayat: Kulup Maidin telah membawa seorang ulfilda kepada seorang pelancong Arab dari Arab Saudi. Pelancong Arab ini telah diyakinkan oleh Kulup Maidin bahawa gadis ini masih ulfilda.
Kayjay: Perkataan ini adalah kata sifat yang memberi makna anak muda lelaki atau perempuan yang suka memilih-milih bakal isteri atau suami untuk memastikan bahawa keluarga bakal suami atau isteri itu memiliki kedudukan yang akan menjamin masa depan. Sila jangan tersilap eja dengan KJ walaupun bunyi perkatan ini sama. KJ ialah satu mazhab neocon.
Contoh ayat: Siti Faridah telah dimarahi oleh ibunya kerana terlalu kayjay. Si ibu takut jika terlalu kayjay besar kemungkinan Siti Faridah akan menjadi ulfilda.
Chitti: Perkataan ini adalah kata sifat yang bermakna perempuan muda yang suka makan telur rebus dan telur-telur yang telah lama masak.
Contoh ayat: Konsert Madonna di Royal Albert Hall di London telah gagal kerana tidak banyak tiket yang terjual. Yang datang membeli tiket hanya datuk-datuk tua yang ditaja oleh sebuah badan amal dari Utara London. Untuk memuaskan peminat tua, Madonna telah berchitti beberapa kali sambil membuang- buangkan kulit-kulit telur itu hingga bertaburan ke dalam bilik air.
Satu lagi contoh ayat: Dia menyelinap ke dalam kain selimutnya untuk berchitti.
Nota: Jangan tersalah guna dengan perkataan chetti. Chetti ialah pemimjam wang yang berasal dari India.
Berjohan: Perkataan ini adalah perbuatan yang bermakna seseorang yang menganggap dirinya sebagai seorang pemikir yang gilakan 'mainstream', walau pun sebenarnya dia bukan.
Contoh ayat: Dia melihat reban ayamnya yang telah terbengkalai. Pinjaman modal dari Mara telah ditolak. Dia berjohan panjang; Alangkah baiknya jika aku dapat menjadi pengacara TV mungkin satu ketika nanti, Mama Juwie akan dapat membuat laporan tentang diriku.
Contoh ayat: Sheikh Al-Farudi telah berjohankan hidupnya bagitu lama tetapi dia tidak pernah mendapat 'pink form' walau pun dia telah berjumpa dengan Raja Firaun.
Mengkadir: Perkataan adalah kata sifat yang menerangkan sifat wartawan yang menulis dengan setia ketika berkhidmat kerana diberi upah.
Contoh ayat: Shamsul dari Jasin Melaka telah mengkadirkan dirinya sehingga dia berjaya memiliki sebuah syarikat percetakan.
Contoh ayat: Al-Syeed Hasbshi telah berkadir begitu lama di dalam kerajaan Mesir, sehingga dia dilantik untuk menjadi penasihat Raja Firaun.
Toyo: Perkataan ini adalah perbuatan yang bermakna memberi harta kekayaan kepada orang-orang bawahan tanpa pengetahuan orang yang menerima harta tersebut. Sila ambil perhatian perkataan ini tidak ada bersangkut paut dengan Mentoya. Mentoya ialah sebuah video koboi keluaran kerajaan negeri Kedah yang menjadi 'box office' pada satu ketika dahulu.
Juga , jangan tersilap dengan perkataan Pak Man Telo. Pak Man Telo ialah usahawan Bumiputera yang memulakan konsep labu peram dan telah berjaya secara mendadak menjadi jutawan. Memang ada persamaan dalam hal jutawan di antara Pak Man Telo dengan toyo tetapi makna dua perkataan ini amat berbeza.
Contoh ayat: Wak Parjo yang datang dari Jawa Tengah telah mentoyokan beberapa keping tanah kepada tambi pejabatnya. Si tambi walaupun telah ditoyokan tetapi masih belum dapat menikmati kesenangan kerana dia masih lagi di bawah umur. (Sila ambil perhatian tambi di sini walaupun bermakna muda tetapi tidak ada bersangkut paut dengan Tamby Chik yang berminat kepada orang muda).
Ibrahimali: Perkataan ini ialah perbuatan mencium. Perkataan ini tidak ada pertalian dengan konsep alibaba.
Contoh ayat: Sebelum menaiki kapal terbang untuk pulang ke Tokyo, Shamiko telah mengibrahimali Latif, anak muda yang menjadi penterjemah ketika lawatannya di Kuala Lumpur.
Contoh ayat: Anak kecil itu mahu diibrahimalikan oleh ibunya sebelum masuk ke bilik tidur.
Sekian adanya. Tamat
No comments:
Post a Comment