Date:

Pilihanraya awal: Pembangkang tidak tergoda

Oleh FATHI ARIS OMAR
mStar

Parti pembangkang tidak sepenuhnya tergoda dengan andaian bahawa
pilihan raya umum akan dipercepatkan berikutan pengumuman Umno
menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadualkan tahun depan.

PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melihat keputusan Umno minggu
lepas untuk menunda pemilihan parti itu yang dijadualkan tahun depan
sebagai langkah pemimpinnya berdepan dengan krisis dalaman parti
Melayu itu sendiri.

"Kita tidak lihat akan ada pilihan raya lebih awal," kata Ketua Pemuda
PAS Salahudin Ayub, dengan menambah siri kritikan bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pewarisnya Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi adalah liabiliti yang merugikan Umno yang perlu
ditangani parti pemerintah itu sebelum pilihanraya umum diadakan.

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng pula mempertikaikan kewajaran
pilihan raya umum dilangsungkan demi menyelesaikan masalah
kepemimpinan Abdullah.

"Seharusnya kepentingan rakyat yang diutamakan, bukan kepentingan
peribadi," katanya kepada mStar Online hari ini.

Pun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan pimpinan Umno
mengadakan pilihan raya lebih awal bagi mengelak pembabitan langsung
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya umum ke-12 akan datang.

Selepas dibebaskan dari penjara dua tahun lalu, Anwar secara rasmi
hanya boleh bertanding dan aktif berpolitik pada April 2008.

Ketua Penerangan PKR Tian Chua pula menyifatkan keputusan majlis
tertinggi (MT) Umno itu sebagai lambang kelemahan kepemimpinan
Abdullah walaupun mesyuarat bahagian Kubang Pasu telah berjaya
menyingkirkan Dr Mahathir daripada menjadi perwakilan ke perhimpunan
agung parti itu bulan depan.

Tian berkata penangguhan pemilihan itu memberikan "isyarat krisis"
kepada orang ramai.

"Saya fikir ia keputusan yang ganjil," katanya, sambil menambah
pemecatan seorang anggota biasa parti, juga penulis blog, Zaharin
Yassin menghantar isyarat kepemimpinan Abdullah tidak toleran terhadap
kritikan dan juga gagal membayangkan sikap "I am in control."

MT mengambil keputusan menghukum dengan lebih berat penulis blog 'Sang
Kelembai' ini walau jawatankuasa disiplin mencadangkan beliau hanya
digantung keanggotaannya sehingga pemilihan parti akan datang.

Tian juga menyifatkan keputusan itu sebagai satu bentuk komunikasi
politik yang lemah dan menunjukkan kepada umum bahawa presiden Umno
sedang dalam keadaan tertekan susulan krisisnya dengan Dr Mahathir.

"Berbeza dengan Dr Mahathir, kritikan Shahrir (Samad) hanya diabaikan.
Dr Mahathir tidak mengambil keputusan memecat Shahrir, yang juga waktu
itu menulis di laman webnya sendiri," kata Tian mangulas stail Dr
Mahathir menghadapi kritikan dari dalam parti ketika masih berkuasa.

Ketiga-tiga pemimpin parti pembangkang itu bagaimanapun berkata mereka
tidak mengambil mudah keputusan Umno tersebut.

Ditanya sama ada PAS boleh meraih undi daripada krisis
Abdullah-Mahathir, Salahudin berkata prestasi partinya bergantung pada
kepaduan pakatan pembangkang, khususnya peranan dan imej Anwar, dan
juga hubungan dengan DAP.

"Saya berharap ada kenaikan antara 15 hingga 20 peratus," katanya,
dengan membandingkan prestasi PAS dalam pilihan raya umum 2004.

"Rakyat Malaysia masih berfikir macam Dunia Ketiga. Parti dan ahli
politik pembangkang tidak disegani dan tidak diberikan perhatian
berat. Walau ada krisis besar dalam Umno, pengundi masih menyokong
mereka," kata Salahudin lagi.

"Orang lebih yakin apabila bekas pemimpin negara sendiri seperti Tun
(Mahathir) atau Anwar bercakap mengenai sesuatu isu walau PAS dan
pembangkang telah menyuarakannya setiap hari."

Beliau juga sedar kritikan Dr Mahathir terhadap kepemimpinan negara
bagaimanapun tidaklah sebesar serangan yang diasak oleh Tengku
Razaleigh Hamzah ketika bersama Parti Melayu Semangat 46 pada 1990
atau Anwar melalui Keadilan pada 1999.

Seperti Salahudin, Lim juga percaya Barisan Nasional masih berpeluang
cerah menguasai arus politik walau sekarang wujud ketegangan dalaman
Umno.

"Tergantung pada rakyat ... kalau rakyat mahukan demokrasi," katanya
mengenai peluang DAP meluaskan jurang kerusi.

Beliau juga menaruh harap masyarakat Cina yang tidak puas hati dengan
kemurungan prestasi ekonomi berbanding era Dr Mahathir akan lebih
terbuka menerima DAP.

Dengan peningkatan pengaruh DAP dalam pilihan raya negeri Sarawak pada
Mei lalu, Lim berharap imej parti itu dapat ditingkatkan di kalangan
pengundi di Semenanjung, khususnya masyarakat Cina.

"Tidak cukup dengan tambah kerusi sahaja, yang lebih penting menafikan
majoriti dua per tiga," kata Lim.

Tian juga sealiran dengan Lim. "Undi protes sahaja (seperti 1990 dan
1999) tidak cukup," katanya. "Pembangkang perlukan gabungan yang
mantap dan menangani isu dengan matang."

Selain itu, katanya, pembangkang harus menampilkan agenda dan arah,
bukan bergantung pada kerancakan isu-isu semasa sahaja.

Ditanya sama ada isu-isu perkauman dan keagamaan yang muncul sekarang
boleh menguntungkan PKR, Tian berkata "saya berharap semua parti
pembangkang mengawal diri agar tidak tergoda untuk meraih sokongan
sementara."

Menyedari masalah sokongan pengundi bukan Melayu kepada PAS, Salahudin
pula berharap Majlis Syura partinya mempercepatkan keputusan mengambil
calon bukan Islam untuk mewakili parti Islam.

Penganalisis melihat PAS, yang membuat rekod cemerlang pada 1999,
sebuah parti yang hanya berjaya di kawasan majoriti Melayu dan gagal
bertapak di kawasan yang bercampur-campur, apatah lagi kawasan bandar
yang majoritinya bukan Melayu.

Dengan kegagalan Barisan Alternatif selepas penarikan diri DAP pada
2001, PAS sangat berharap pada PKR, khususnya imej dan pengalaman
politik Anwar.

--

No comments: