Date:

Mahathir: Ada usaha sepakat cemar nama saya

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa terdapat usaha bersepadu untuk mencemarkan nama baik beliau dengan mengaitkan namanya dengan pertukaran bekas seorang pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan beliau kononnnya telah memaksa seorang usahawan membeli saham dalam Penerbangan Malaysia.

"Tunjukkan buktinya kepada saya. Wujud usaha bersepadu untuk mencemarkan nama baik saya."Malah, Tan Sri Tajudin Ramli (bekas pengerusi eksekutif Penerbangan Malaysia) mendakwa kononnya saya memaksa beliau membeli syarikat penerbangan negara itu," katanya.

Dr Mahathir berkata kepada pemberita demikian selepas menyampaikan sijil anggota kehormat Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur kepada 12 penerimanya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai pelantikan Datuk Seri Zulkipli Mat Noor sebagai Ketua Pengarah BPR pada 2001 ketika beliau masih lagi memegang jawatan Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata latar belakang Zulkipli pada masa itu menunjukkan bahawa beliau seorang yang bersih daripada rasuah.

Dr Mahathir berkata beliau juga tidak mengenali Zulkipli secara peribadi, dan menambah bahawa "apa yang saya tahu beliau adalah ketua polis Sabah atau Sarawak."

Beliau juga menafikan dakwaan kononnya beliau terlibat dengan pertukaran seorang pegawai kanan BPR semasa pentadbirannya. - BERNAMA

No comments: