Seorang pemimpin politik yang baik mestilah mempunyai ketegasan. Tegas bukanlah bermaksud bebal atau "keras kepala". Tegas dalam konteks politik bermaksud bersedia memberikan peluang kepada semua pihak untuk memberikan pendapat, namun akhir sekali apabila seorang pemimpin membuat keputusan, semua pihak mestilah akur dengan keputusan itu.
Itulah mesej yang ingin disampaikan oleh Dato' Seri S Samy Vellu kepada Ketua MIC Bahagian Kuala Selangor yang dikatakan tidak berpuas hati dengan pilihan calon pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok.
P. Thirumoorthy, 55, dikatakan mengugut akan meletakkan jawatan sekiranya tidak dipilih sebagai calon pilihanraya dengan memberikan alasan beliau telah berkorban untuk parti. Ugutan itu dijawab oleh Samy Vellu dengan memberitahu Thirumoorthy dia "boleh pergi" kerana itu akan "membersihkan" MIC. Menurut Samy Vellu, 98% penduduk Ijok berbangsa India menyokong Barisan Nasional.
Hal yang sama berlaku di pihak pembangkang. PAS dikatakan mendesak Parti Keadilan Nasional (PKR) untuk meletakkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai syarat untuk parti itu menyokong PKR. Manakala, DAP dan pemimpin PKR yang lain inginkan calon berbangsa India bagi kerusi itu. Antara nama calon India yang disebut-sebut ialah Dato' S. Nallakaruppan.
Desakan PAS boleh difahami kerana parti itu tidak mahu dilihat menyokong calon bukan Islam, manakala DAP pula tidak mahu dilihat bersetongkol dengan PAS bagi menyokong calon Melayu. Pemilihan sama ada Khalid atau Nallakaruppan tidak akan mampu membuatkan kedua-dua parti atau penyokong PKR berpuas hati.
Ketegangan itu menyebabkan PKR gagal menamakan calonnya selepas mengadakan mesyuarat semalam. Naib Presiden PKR Azmin Ali menyifatkan kegagalan itu sebagai "tactical move" walaupun Naib Ketua Pemuda S. Manikavasagam menyatakan bahawa calon India disingkirkan dan mereka akan mengadakan satu mesyuarat mengenai perkara itu Selasa ini.
Inilah dilema yang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin parti setiap kali ada pilihanraya. Mungkin sudah sampai masanya untuk negara kita mengadakan "primary election" seperti Amerika Syarikat supaya calon yang merasakan merekalah yang terbaik dapat menyakinkan parti tentang kebaikan mereka itu.
Sekiranya Samy Vellu berani secara tegas mengatakan "boleh pergi" kepada Thirumoorthy, beranikah penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengatakan "boleh jalan" kepada Nallakaruppan sekiranya dia memilih Khalid sebagai calon pilihanraya Ijok?
No comments:
Post a Comment