Date:

Syor tembak pengedar dadah ceroboh negara

Seorang penyokong kerajaan hari ini mencadangkan supaya pihak berkuasa menembak pengedar dadah yang menceroboh masuk ke negara ini.

Datuk Che Min Che Ahmad (BN-Pasir Puteh) berkata, sudah tiba masanya kerajaan menggubal satu undang-undang khas untuk membolehkan pasukan keselamatan yang mengawal sempadan melepaskan tembakan.

Menurut beliau, beberapa negara termasuk Iran sudah melaksanakan kaedah itu bagi membendung kemasukan dadah ke negara mereka dan ia terbukti berjaya.

''Kita hanya tembak seorang pengedar dadah dan dapat menyelamatkan beribu-ribu nyawa.

''Kalau kita melepaskan mereka, disebabkan seorang, beratus-ratus rakyat mati akibat menagih dadah,'' katanya ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab cadangan Che Min, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, negara ketika ini sudah mempunyai undang-undang yang secukupnya untuk menghukum pengedar dadah.

''Jika didapati bersalah, pengedar dadah ini akan digantung. Saya fikir mereka ini digantung pun tak takut.... sebaliknya keuntungan yang menjadi keutamaan mereka,'' katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bahawa pengawalan sempadan semakin lemah, Mohd. Johari berkata, dadah tidak lagi diseludup sebaliknya mula diproses di negara ini.

Menumpaskan

''Sebagai contoh, baru-baru ini pasukan polis berjaya menumpaskan sindiket proses syabu di Klang dan Johor.

''Kita akan memastikan mereka yang ditangkap di bawa ke muka pengadilan,'' katanya.

Menjawab soalan asal Bung Moktar, beliau berkata, kerajaan telah menetapkan wawasan negara bebas dadah menjelang tahun 2015.

Tambahnya, rekod Unit Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI) menunjukkan seramai 22,811 penagih dadah telah dikesan pada tahun lalu.

Kata beliau, bagi Januari tahun ini, NADI telah mengesan sebanyak 1,513 penagih dadah dan terdapat penurunan sebanyak 31 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu seramai 2,196 penagih.
- Utusan Malaysia

No comments: