Date:

Mencari Beberapa Orang Jantan

(Looking For Some Jantans)
Oleh: M.Bakri Musa - MalaysiaToday
 
Saddam Hussein tidak memusnahkan Iraq berseorangan diri, begitu juga dengan Robert Mugabe di Zimbabwe. Pemimpin begini tidak menjadi pemimpin yang zalim dengan sekelip mata. Mereka menjadi raksasa dahsyat hanya disebabkan ketiadaan tindakan dan kebisuan para pengikut mereka. Tidak ada sesiapa yang berani menyekat mereka. Dengan kata jelas tidak ada orang jantan yang berani  melakukannya.

Pemimpin begini memulakan kerjaya mereka dengan niat yang terbaik dan motif yang murni. Bibit kemusnahan yang mereka semai ketika di peringkat awal tidak pernah diperbetulkan. Gara-gara ketiadaan jantan yang berani di kalangan para pemimpin, membolehkan pemimpin ganas itu menzahirkan keiblisan mereka. Apabila semua itu bertukar menjadi raksasa, mereka sudah tidak lagi dapat dikekang, kerana mereka hanya membaham apa sahaja yang melintas di laluan mereka.

Dalam menunjukkan telunjuk dan menyalahkan segala kebobrokan oleh para raksasa ini, kita harus mengambil kira peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh tukang sanggup di keliling mereka. Mereka ini mesti dipertanggungjawabkan walaupun ada yang sudah membayar harga yang mahal dengan jiwa raga.

Raksasa Belum Tercipta lagi

Perdana Menteri Abdullah Badawi belum lagi menjadi seorang penzalim ataupun pemimpin yang bengis, memang belum lagi. Disebabkan ketiadaan jantan dalam kabinet beliau dan dalam Majlis Tertinggi UMNO untuk mengekangnya, tidak lama lagi dia akan berubah rupa. Dalam satu tempoh yang singkat, sejak memegang tampuk kuasa, beliau telah menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang memualkan. Beliau menjadi semakin tidak sabar terhadap kritikan, mudah sangat menempelak para pengkritik beliau sebagai penyebar fitnah, sedangkan ini adalah satu cemuhan yang sungguh dalam kesannya dan membawa padah yang besar daripada sudut agama.

Kesungguhan beliau semasa berkempen untuk menegakkan maruah adalah satu kepalsuan yang disengaja untuk menipu para pengundi. Beliau merelakan para individu yang sudah tercemar wibawanya. Pada tahap awal dahulu terdapat Kasitah Gaddam dan Isa Samad, hari ini Timbalan Menteri Johari dan Pengarah BPR Zulkipli. Malaysia di bawah pimpinan Abdullah sudah menjadi semakin korup.

Abdullah seolah-olah tidak peka dan rabun terhadap gelagat anggota keluarganya yang menimbunkan harta. Kita sudah tentu berasa bangga kalau pencapaian kemewahan mereka itu adalah hasil kepintaran mereka berniaga ataupun  kecemerlangan dalam bidang keushawanan. Sebaliknya, mereka menjadi kaya raya hanya setelah Abdullah menjadi Perdana Menteri dan ini adalah satu hakikat yang amat nyata kepada semua pihak kecuali mereka.

Ketika ratusan ribu rakyat negara ini hidup terkapai-kapai disebabkan banjir yang melanda Johor, Abdullah merasa selesa berada di Perth untuk memulakan upacara pembukaan restoran adiknya di sana. Alangkah pelik bagaimana dia boleh memberikan keutamaan kepada peristiwa itu berbanding perkara yang lebih penting lagi.

Kepincangan yang muncul saling berganti ini seolah-olah direlakan oleh golongan cerdik pandai, guru politik dan pengarang akhbar. Mereka menjadi diam membatu, seolah-olah merelakan kerja haprak begitu. Puas kita mencari beberapa orang jantan di kalangan mereka yang berani menyanggah pucuk kepimpinan negara. Malangnya tidak ada jantan semacam itu! Sebaliknya mereka merupakan kaki upahan semata-mata. Yang menghairankan, mereka boleh memainkan peranan demikian dengan upahan yang amat murah sekali.

Soalan kenapa Abdullah Badawi tidak mampu menampilkan ketokohannya bukan menjadi isunya. Dia menampakkan unsur Prinsip Peter (Peter's Principle) di mana seseorang itu akan terus dinaikkan pangkat hingga dia mencapai tahap tidak berguna lagi) sebelum dia menjadi Perdana Menteri.

Negara ini seharusnya tidak terbelenggu dengan kesilapan bekas Perdana Menteri Mahathir kerana memilih Abdullah sebagai penggantinya. Kemenangan besar Abdullah dalam Pilihan Raya Umum 2004 dahulu tidak seharusnya menjadi satu asas kukuh untuk merelakan kelangsungan pimpinan yang haprak dan kecenderungan beliau melakukan perkara yang buruk-buruk. Satu ketika dahulu Presiden Nixon telah menang besar dalam pilihan raya dan kerana itu perangainya yang buruk telah terus tersorok. Hanya kerana wujudnya kejantanan dalam ketokohan pendakwa istimewa makanya Nixon terhukum juga akhirnya.

Kita tidak seharusnya merelakan Abdullah menganggap kemenangan besar dalam pilihan raya dahulu sebagai satu lesen untuk beliau (dan anggota keluarganya) menimbunkan harta karun. Insan yang disenangi konon kerana waraknya, dulu ternyata hidup sederhana tetapi kini, secara tiba-tiba bertukar menjadi seorang pelahap mahukan kemewahan, gilakan kapal layar yang mahal-mahal, jet eksekutif dan mahligai yang mewah. Kalau diimbau zaman silam ketika beliau dinyah keluar daripada kabinet - dan sekali gus diusir daripada rumah kediaman milik kerajaan, sedangkan si imam ini belum pun lagi memiliki sebuah rumah peribadinya sendiri! Citarasanya yang terkini sudah tentu merupakan gambaran nafsu serakah yang terkini dan amat meloyakan.

Mujur juga!

Mujur juga masih ada orang jantan di kalangan rakyat Malaysia. Bilangan kita mungkin kecil sahaja untuk berdaya menghumban keluar kumpulan penyangak dalam pilihan raya, tetapi suara kita semakin menarik perhatian mereka.

Ketika para pengarang media arus perdana bersenang-lenang mengulang-ulang kenyataan akhbar kerajaan dan membuat laporan perkara yang remeh-temeh seperti Perdana Menteri menerima gelaran DiRaja lagi, wartawan yang sebenar dan para professional sejati sudah lama meninggalkan bidang media arus perdana. Ahirudin Atan kini menjadi semakin terkenal dengan blog web 'Rocky's Bru' berbanding ketika dia berkhidmat dengan Malay Mail. MalaysiaKini pimpinan Steven Gan sudah menjadi santapan maklumat harian kepada para pemerhati yang serius terhadap Malaysia. Malaysia-Today.net milik Raja Petra Kamarudin mencatatkan hampir dua juta 'hits' setiap hari. Sedangkan tidak ada satu pun media arus perdana yang dapat berbangga dengan secebis angka pautan semacam itu.

Kejayaan media alternatif begini menggambarkan betapa rakyat Malaysia memang dahagakan berita dan komentar yang bebas. Ia juga menggambarkan kebencian mereka terhadap media arus perdana. Walaupun dilakukan perubahan dan pertukaran yang tidak ada hentinya dalam format, pengarang dan pengurus, akhbar The New Straits Times masih terus merudum, baik daripada sudut kualiti mahupun edarannya.

Beberapa orang jantan sudah mula muncul dalam bidang akedamia. Komentar Professor Undang-undang Azmi Sharom adalah satu perubahan besar daripada tulisan yang pernah kita baca selalu. Peguam Malik Imtiaz telah menunjukkan keberanian mencabar pihak berkuasa  dalam bidang agama dengan nukilan beraninya mempertahankan kebebasan beragama.

Rakyat marhaen semakin berani menonjolkan diri. Bekas pegawai Badan Pencegah Rasuah, Ramli Manan sudahpun mencetuskan satu tindakan yang menamatkan kontrak bekas ketuanya (Zulkifli). Ramli telah melakukan sesuatu yang tidak mampu dibuat oleh Abdullah Badawi - yakni memecat Zulkifli..

Di Parlimen, tokoh jantan seperti Lim Kt Siang, mungkin tidak puas dengan jawapan yang  diberikan terhadap pertanyaannya yang serius, tetapi dia sudah berjaya mendedahkan kebodohan menteri kerajaan dan anggota kerusi belakang Parlimen setara orang upahan mereka.

Satu lagi sinar harapan sedang menjelma daripada sumber yang tidak disangka-sangka. Raja Muda Perak telah bertitah dengan kesungguhan betapa pentingnnya peranan undang-undang dan keluhuran perlembagaan kita. Baginda telah mengisytiharkan betapa pentingnya mewujudkan kepimpinan yang betul dan jujur dan segala masalah negara mestilah tidak terus diketepikan sesuka hati. Dalam pembangunan negara, titah Raja Nazrin, penyelesaian secara paksa mesti dihindari, dan insentif politik, sosial dan ekonomi mesti menjadi ganjaran kepada kelakuan baik dan hukuman dikenakan kepada yang melanggar undang-undang itu.

Raja Nazrin telah menunjukkan pesanan yang bernas kepada rakyat marhaen Malaysia. Nampaknya pemimpin kita yang tua-tua harus mendengar pesanan itu dengan jelasnya kerana kebelakangan ini mereka sudah menjadi semakin tuli, baik daripada sudut literal mahupun sudut metaforanya.

Adalah satu ironis sekarang ini kalau difikirkan satu generasi dahulu para pemimpin politik yang galak bersuara cuba mengekang nafsu serakah masyarakat istana, tetapi hari ini seorang Raja Muda sudah dengan selambanya mula memberikan teguran kepada para pemimpin politik kita.

Keberanian Raja Nazrin dan juga orang lain seperti Ramli Manan memberikan Cahaba harapan kepada kita. Keprihatinan mereka merupakan satu kawalan terbaik terhadap kemunculan pemimpin negara ini yang akan meniru gelagat Saddam Hussein dan Robert Mugabe.
 

- M. Bakri Musa

  - 08.04.2007 - Terjemahan marhantua (MT-SPAR)
(suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)

No comments: