Intan Abdullah
Harakahdaily
Apakah Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharum dalam keadaan tertekan kini? Apakah beliau mula berasa tidak selesa dengan kes rasuah yang sedang disiasat sekarang?
Agaknya, itulah yang mungkin membayanginya sehinggakan meluahkan kekecewaan dengan membuat kenyataan betapa ketika ini pihak berkuasa polis begitu lemah hingga menyebabkan kadar jenayah di Kuala Lumpur meningkat sebanyak 90 peratus.
Demikian antara rumusan yang boleh disimpulkan, apabila Harakahdaily bertanya kepada Koordinator Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Chan Li Kang berhubung dengan kenyataan Johari baru-baru ini.
Menurut Li Kang, keengganan kerajaan menerima usul Suruhanjaya Penambahbaikan Pengurusan dan Perjalanan PDRM supaya menubuhkan IPCMC selain masalah yang membelenggu Johari dengan kes rasuahnya sehinggakan pihak berkuasa polis dijadikan alasan yang menyebabkan kadar jenayah di Kuala Lumpur meningkat 90 peratus.
"Sejak dahulu lagi kita mempertikaikan sistem pentadbiran polis dan apa yang berlaku sekarang ini adalah salah satu daripada kesan yang menyusahkan banyak pihak," ujarnya ketika dihubungi oleh Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata pengurusan polis yang tidak efektif serta tindakan Johari tersebut merupakan bukti yang jelas bahawa kementerian beliau yang menjaga institusi polis gagal untuk menyelesaikan masalah yang kecil, apatah lagi dalam urusan untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara.
Chan turut menyatakan kehairanan akan tindakan Johari yang menghebohkan perkara ini seolah-olah ingin mengalihkan perhatian umum berhubung isu dakwaan kes rasuah yang disiasat oleh pihak polis terhadap beliau.
Beliau menyifatkan keadaan ini yang tidak ubah seperti ketua yang bermasalah akan menjadikan sistem pentadbiran dan kakitangan di bawahnya turut sama terpalit dengan masalah tersebut.
Usul IPCMC tersebut juga sepatutnya dilaksanakan secara menyeluruh, bukan hanya sekadar membuat perubahan yang memberi keuntungan dan kepentingan peribadi semata-mata seperti baiki pengurusan gaji sahaja, tambahnya dengan panjang lebar.
Sementara itu, dalam kenyataan yang berbeza Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata IPCMC telah mengeluarkan usul dan cadangan untuk memperkasakan PDRM tetapi sehingga kini kerajaan masih tidak melaksanakan apa-apa.
Tian mengulas kenyataan Johari yang dilihat seolah-olah menyalahkan pihak Polis yang menyebabkan peningkatan jenayah sebanyak 90 peratus di ibu kota.
Katanya tindakan Johari itu tidak menyelesaikan masalah peningkatan kadar jenayah sebaliknya beliau perlu mengemukakan formula terbaik bagi mengatasi keadaan ini.
Sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak profesional, beliau berkata kelemahan polis adalah merujuk kepada kelemahan pentadbiran pihak kementerian yang menaunginya iaitu Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.
Tian mendakwa Johari tidak sewajarnya berbuat demikian kerana kedudukan beliau lebih tinggi daripada polis, dan dalam keadaan yang sama beliau sepatutnya meletakkan jawatan selepas disyaki terbabit dengan kes rasuah.
Tambah beliau, keadaan yang berlaku antara Johari dan Christopher menunjukkan bahawa tiada koordinasi di antara pihak polis dengan kementerian yang menaungi institusi tersebut yang akhirnya memberi gambaran kepada kita bahawa kabinet pentadbiran negara gagal menyelaraskan dasar pentadbiran yang diatur oleh kerajaan.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri itu mendedahkan bahawa perangkaan kes jenayah di daerah Sentul dan Kuala Lumpur yang didedahkannya mengalami peningkatan 90 peratus.
Beliau dikatakan kecewa dengan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Dato' Christopher Wan Soo Kee yang mempertikaikan peningkatan 90 peratus jenayah di kawasan itu dan mengemukakan angka yang berbeza.
Mengulas lanjut, Johari berharap polis menerima kenyataan itu serta berusaha memperbaiki kelemahan dan bukan membuat kenyataan akhbar yang boleh mengelirukan.
"Polis kena kaji betul-betul, jangan kita nak bercanggah dalam hal ini kerana nanti rakyat keliru. Kita takut kalau Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri tidak diberi perangkaan yang betul.
Ditanya kenyataan pihak tertentu bahawa beliau banyak membuat kenyataan 'menghentam' polis selepas disiasat berhubung dakwaan rasuah, Johari berkata beliau tidak mempunyai konflik atau berdendam dengan polis.
No comments:
Post a Comment