Date:

Patuh garis panduan rasuah, Abdullah perlu buktikan dulu!

'Kepimpinan melalui teladan', kalimah yang sudah lama tidak kedengaran dan motto itu sewajarnya 'dihadam' dan dihayati sepenuhnya oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi memerangi gejala rasuah yang semakin mewabak sebelum meminta pihak lain patuh garis panduan membanteras rasuah.

Advertisement

Semakin hari, Abdullah cuba meyakin rakyat dengan usaha kerajaan secara berterusan dan tindakan proaktif dalam membanteras rasuah namun secara realiti ramai yang sudah tidak percaya dengan kredibiliti Abdullah dalam menangani isu rasuah yang melibatkan pemimpin tertinggi dan kanan kerajaan.

Mengulas perkembangan ini Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata Perdana Menteri masih mengekalkan imej retoriknya sedangkan perkara yang wajar diutamakan ialah pelaksanaan dan pendakwaan secara berkesan dan telus sehingga tidak menimbulkan keraguan bagi mana-mana pihak.

"Rasuah bukan sahaja berlegar di sekitar golongan kakitangan bawahan semata malah diketahui umum melibatkan kes-kes melibatkan pemimpin tertinggi kerajaan dan negeri yang masih tiada menampakkan hasil," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Sekiranya kes-kes tersebut tidak diselesaikan, ditutup atau begitu sahaja, maka bagaiamana secara serius kakitangan bawahan akan mematuhi panduan tersebut," katanya.

Tindakan Abdullah contoh yang tidak baik

Kegagalan Abdullah menangani rasuah melibatkan pemimpin tertinggi dan kes berprofil tinggi katanya tidak menjadi contoh yang baik kepada semua pihak termasuk kakitangan kerajaan mahupun rakyat Malysia amnya.

"Jika diselesaikan secara bebas dan adil malah dikenakan tindakan yang berat, pastinya semua pihak akan gerun dan gentar apabila berdepan dengan gejala rasuah ini dan dapat membanteras sepenuhnya hingga ke akar umbi," katanya lagi.

Abdullah dilaporkan mengarahkan semua kakitangan kerajaan supaya mematuhi Garis Panduan Pelaksanaan Sistem Audit Nilai Dalam Perkhidmatan Awam bagi memastikan rasuah dapat dibanteras sepenuhnya.

Dengan rasa bangga beliau menyatakan baru-baru ini bahawa kes rasuah yang berjaya diselesaikan berikutan kes yang disiasat meningkat hampir dua kali ganda daripada 663 kes pada 2001 kepada 1,317 kes pada 2006.

"Lebih membanggakan kadar mereka yang disabitkan bersalah telah meningkat daripada kurang 50 peratus beberapa tahun lalu kepada 74 peratus pada tahun lepas," kata beliau.

Dalam satu kenyataan terdahulu Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Noor turut bimbang dengan suasana negara yang semakin runcing akibat permasalahan rasuah yang berleluasa.

"Kita bimbang, siasatan hanya dijalankan oleh BPR dan polis yang dalam masa yang sama juga diragui kredibilitinya termasuk kerana kes-kes yang dikaitkan dengan dua badan ini.Dalam polis, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato'Johari Baharom dikaitkan dengan rasuah, sementara BPR pula sendiri dicemari dengan kes Zulkipli ini,"kata Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Noor dalam satu kenyataannya terdahulu.

Senarai pemimpin yang diragui dan dikaitkan dengan isu rasuah

Justeru beliau menggesa kerajaan untuk segera menubuhkan satu suruhanjaya bagi menjalankan siasatan segera ke atas kes-kes rasuah termasuk kes yang membabitkan pemimpin negara seperti kes Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah RM5.5 juta bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat (OD).

Ezam juga bimbang kes yang sama seperti kes siasatan ke atas bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaakob berhubung rasuahnya; kes Dato' Osu Sukam; kes Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang didiamkan setelah mereka diarah meletak jawatan.

Sebelum ini bekas Pengarah BPR Sabah, Mohammad Ramli Abdul Manan melaporkan kes salah laku seks dan penyelewengan membabitkan Zulkipli yang diserah kepada PM dan Ketua Polis Negara.

Terkini isu yang dilaporkan oleh Harakah (keluaran terbaru) berhubung 25 laporan polis terhadap pertuduhan rasuah dan salah laku Ketua Menteri Sabah Musa Aman yang masih dalam siasatan.

Ini juga termasuk skandal pembalakan RM32 juta yang dikaitkan dengan keluarga Ketua Menteri Sarawak, Muhammad Taib Mahmud.

Begitu juga dengan kes yang dianggap 'lepas dan bebas', politik wang yang membabitkan Tan Sri Isa Samad yang kini tidak dikenakan sebarang tindakan.

Berikut adalah senarai pemimpin yang masih diragui dan dikaitkan berhubung kes rasuah manakala hasilnya menimbulkan persoalan pelbagai pihak khususnya rakyat Malaysia.

1.Ketua Pengarah BPR, Zulkifli Mohd Noor
2.Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom
3.Ketua Menteri Sabah Musa Aman
4.Ketua Menteri Sarawak, Muhammad Taib Mahmud.
5.bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaakob
6.Dato' Osu Sukam
7.Tan Sri Muhammad Muhd Taib
8.Naib Presiden UmnoTan Sri Isa Samad
9.Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam
10. Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo

No comments: