Slogan makan diri, BN Terengganu makin tertekan
| Mat Zain Mat Isa Thu | Mar 06, 08 | 2:23:20 pm MYT | |
| Segala-galanya bagaikan tidak menjadi buat Barisan Nasional Terengganu dalam pilihan raya kali ini. Setelah isu pembangunan dan projek mega yang menjadi modal utamanya tidak berjaya menambat hati rakyat negeri itu untuk terus memberikan sokongan kepadanya, kini slogan-slogan bagi memperkuatkan propaganda pilihan raya BN satu demi satu kembali menikamnya. ![]() BN Terengganu memulakan kempen pilihan raya kali ini dalam keadaan tempang. Persengketaan dalaman dan sikap berpuak-puak di antara pemimpin Umno Terengganu tidak pernah padam. Ia bagaikan api dalam sekam yang sentiasa membara. Khalayak awam lebih tahu tentang pergolakan Umno Bahagian Marang. Ia dikesan berlaku sejak percaturan calon-calon untuk pilihan raya 2004 lagi. Perselisihan faham itu bertambah kusut dan membarah apabila BN menjadi parti memerintah Terengganu. Keseriusan krisis di situ memaksa Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Razak berkunjung ke bahagian itu tidak kurang tiga kali dalam majlis besar bagi memperdamaikan puak-puak bersengketa. Itu di Marang. Di Hulu Terengganu juga tidak kurang hebatnya. Seorang bekas Timbalan Menteri dikatakan tidak pernah sebulu dengan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Dato' Seri Idris Jusoh. Walau pun masih berpengaruh di kalangan masyarakat setempat, bekas Exco negeri dan bekas Ahli Parlimen ini akhirnya terpaksa disingkirkan. Idris lebih rela keadaan tidak tenteram bagi BN di situ dalam pilihan raya ini, asalkan pembantu setianya, seorang Exco penggal lalu berada dalam keadaan lebih selamat. Apa yang berlaku di Dungun bagaimanapun paling mengejutkan. Walau pun rakyat awam sudah tahu tentang perselisihan faham antara Ketua Umno Bahagian itu dengan Idris, orang tidak menyangka beliau sanggp menggugurkan tokoh berpengaruh itu. Idris dianggap berani tetapi tidak bijak apabila mengambil tindakan itu di saat berdepan pilihan raya kini. Itu suasana batang tubuh BN negeri ketika memulakan kempennya kali ini. Ia ibarat orang berbisul, demam panas dan sakit gigi yang sangat terganggu kecergasannya. Barangkali itu tidak begitu mencemaskan BN. Kekurangan jentera petugas tidak pernah menjadi masalah besar buatnya. Parti itu boleh menggamit ratusan petugas sekelip mata menggunakan 'ubat' paling mujarab. Ia juga sudah biasa menggunakan uslub paksaan, memaksa penjawat awam negeri hadir meramaikan majlis kempennya. Ia boleh mengerah para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyambut kedatangan pembesar. Ia boleh memaksa imam/bilal dan penerima Wang Ehsan bertugas menjaga pos-pos dan markas BN. Amat jarang golongan terbabit berani mengingkari arahan itu kerana akibatnya sangat menakutkan. BN turut bergantung kepada apa program-program pemerintahannya selama sepenggal lalu. Ia merasakan telah melakukan yang terbaik untuk manfaat rakyat. Sebab itu soal membangun dan memajukan Terengganu dengan perubahan fizikal sangat diulangsebut para pemimpin BN. Puluhan slogan direkacipta bagi memasyhurkan kejayaan dan pencapaian BN. Ia sangat berharap slogan-slogan itu mampu membantu rakyat Terengganu makin terpaut untuk terus bersama BN sekali lagi kali ini. Keadaan berlaku kini bagaimanapun adalah sebaliknya. Satu demi satu slogan-slogan diulangsebut BN itu diulas dan diolah semula oleh PAS bagi memalingkan serangan kembali ke arah BN. BN berbangga dengan program "Menjana Generasi Ulul Albab". Malang sekali di waktu sama pemerintahannya mengabaikan aspek pembentukan keperibadian rakyat, terutama kelompok pelajar. Sektor ini dianggap banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat, terutama tunas generasi muda (kanak-kanak) Di mana gahnya program penjanaan generasi hebat itu sekiranya saban hari rakyat dihidangkan dengan laporan media mengenai kebobrokan moral dan keruntuhan akhlak pelajar di Terengganu? Pelajar bergaduh ala-Samurai (menggunakan pedang) di padang sekolah, pelajar perempuan berkungfu kerana berebut jantan, pelajar terlibat seks bebas, pelajar berjudi tikam ekor, terlibat pil kuda dan ratusan lagi kes seumpamanya tidak menggambarkan kejayaan program Ulul-Albab tajaan BN itu. Itu hanyalah sebahagian contoh. "BN Menang, Rakyat Senang", satu lagi slogan BN. Bahkan slogan ini antara yang paling dipopularkan BN Terengganu sejak 2004 dulu lagi. Kononnya di bawah pemerintahan BN rakyat negeri itu semakin senang kehidupan mereka. Betulkah begitu? Rakyat Terengganu sebagai kumpulan paling terkesan dengan program dan corak pemerintahan BN tidak perlu diajar tentang jawabannya. Senangkah rakyat yang di zaman PAS dulu diberikan tanah tapak rumah, tetapi dirampas semula BN? Rumah-rumah yang sedang mereka dirikan diroboh semahunya oleh BN. Ada yang disekat peluang mendapatkan pekerjaan disebabkan perbezaan politik. Ada juga yang digugurkan dari senarai penerima pelbagai bantuan kerajaan di atas perkiraan sama. Senangkah mereka? Bagaimana pula dengan statistik mengenai peningkatan kadar kemiskinan di Terengganu? Cuba bandingkan, di zaman pemerintahan PAS, Terengganu di tempat keempat paling tinggi kadar kemiskinan rakyatnya. Dalam tempoh dua tahun sejak BN mengambilalih, kadar itu melonjak kembali menjadikan Terengganu negeri kedua di seluruh negara paling tinggi jumlah isi rumah miskin tegarnya. Apakah itu petanda rakyat Terengganu semakin senang? Menyedari slogan itu tidak menguntungkan, BN tampil dengan slogan baru. "BN รข" Beri Nikmat". Kata para pemimpin BN, pemerintahan parti itu telah membawa pelbagai nikmat kepada rakyat. "Barang Naik pun Beri Nikmat?", tanya kembali satu pemidang dikeluarkan PAS. "Hanya Allah berhak beri nikmat, bukan BN yang beri nikmat", jawab satu lagi pemidang PAS, agak sinikal. Di masa sama, Idris mencipta slogan "Masihkah Kau Ingat?" bagi menyerang PAS atas beberapa peristiwa semasa pemerintahnya selama empat tahun (1999-2004) lalu. BN Terengganu sangat berharap dengan menyenaraikan belasan insiden yang dianggapnya tidak menyenangkan akan membuatkan rakyat serik untuk kembali memilih PAS. Di dalam senarai "Masihkah Kau Ingat?" itu, BN antara lain mendakwa PAS membakar Tadika, satu fitnah yang tidak pernah dibuktikan. PAS dituduh menghalau kanak-kanak Tadika dari balai raya, juga satu tuduhan yang diputarbelitkan faktanya. PAS didakwa memberikan tanah kepada kroni dan orang kaya. Apakah BN tidak mengulangi perbuatan itu? Bahkan lebih teruk, kerana di masa sama BN menafikan hak rakyat mendapatkan tanah. Ada belasan lagi dakwaan terdapat PAS disenaraikan. Bagaimanapun, kalimah keramat "Masihkah Kau Ingat?" dicipta BN itu berjaya ditukar PAS sebagai senjata sangat tajam untuk kembali menikam BN. Rata-rata di seluruh negeri terentang pemidang yang kembali mengingatkan rakyat kepada kezaliman BN. "Aku Masih Ingat, BN Rampas Tanah & Roboh Rumah Rakyat", "Rakyat Terengganu Masih Ingat, BN Roboh Masjid Bujal", "Ku Masih Ingat BN Pecat Imam/Bilal", "Rakyat Terengganu Tidak Akan Lupa, BN Bazirkan Wang Rakyat". "Kami Masih Ingat BN Tutup Sekolah Agama (Kusza, SRAB, Kostaq)". Itulah antara paku buah keras yang dipulangkan kepada BN. Di beberapa kampung yang terlibat dengan kezaliman BN, penduduk setempat tampil menjawab dengan sepanduk tersendiri. "Ya, kami penduduk kampung ini masih ingat BN telah rampas tanah kami dan roboh rumah kami", tulis satu pemidang di Merang, Setiu. Serangan balas PAS bahkan melangkaui isu-isu tempatan. "Masihkah Kau Ingat Ketua Menteri BN Kalah Judi RM16 juta?", tulis satu pemidang. "Ku Masih Ingat Menteri BN Terlibat Video Seks", sindir satu lagi pemidang. Kebijaksanaan PAS memanfaatkan slogan BN bagi menyerangnya kembali kini menjadi satu pukulan tidak tertanggung buat BN Terengganu. Meski pun menguasai segala macam kemudahan kerajaan, BN kini bagaikan mati hujah berhadapan PAS. Mengambil kira kelam-kabut dan tekanan berat dihadapi BN kini, PAS sudah boleh dianggap menang. Sebagai parti pembangkang yang serba kekurangan dan ditohmah siang-malam menerusi segala saluran media serta kesempatan oleh BN, kemampuan PAS memberikan tentangan sengit sehingga mencemaskan BN adalah suatu yang di luar jangkaan BN. Melihatkan keadaan BN ketika ini, penulis teringat kepada Almarhum Ustaz Bunyamin Yaakob, bekas Ahli Parlimen Bachok dan penceramah PAS paling oratik itu. Beliau sering membuat satu perumpamaan bagi seseorang yang dalam keadaan tertekan dan dihujani malang bertimpa-timpa. Katanya, ibarat seorang yang tersembam ke tanah. Acu nak bangun, kilas kain terloroh. Nak betulkan kain, tangan pula terkena tahi ayam. Tak boleh nak buat apa, berjerit (menangis) lah jawabnya. Segala-galanya serba tidak menjadi buat BN Terengganu mutakhir ini. Doakanlah keadaan ini kekal sehingga 8 Mac nanti. BN tidak syak lagi bakal tersembam sekali lagi. Allahu Akbar! |
Sampaikan berita Harakahdaily kepada orangramai.
Tenaga dan masa sedikit anda mungkin besar impaknya
dalam perjuangan menyampaikan kebenaran kepada rakyat Malaysia.
Hanya Allah s.w.t. sahaja yang dapat membalas.
Tenaga dan masa sedikit anda mungkin besar impaknya
dalam perjuangan menyampaikan kebenaran kepada rakyat Malaysia.
Hanya Allah s.w.t. sahaja yang dapat membalas.
Never miss a thing. Make Yahoo your homepage.
Subscribe: harakahdaily-subscribe@yahoogroups.com
Unsubscribe: harakahdaily-unsubscribe@yahoogroups.com
Digest message: harakahdaily-digest@yahoogroups.com
HarakahDaily: http://www.harakahdaily.com
PAS Homepage: http://www.parti-pas.org
HarakahDaily.com disclaims any liability whatsoever or however arising from the posting of e-mails herein. Authors of the emails are advised to ensure that the contents of their e-mails do not attract any liability, civil or criminal.
Unsubscribe: harakahdaily-unsubscribe@yahoogroups.com
Digest message: harakahdaily-digest@yahoogroups.com
HarakahDaily: http://www.harakahdaily.com
PAS Homepage: http://www.parti-pas.org
HarakahDaily.com disclaims any liability whatsoever or however arising from the posting of e-mails herein. Authors of the emails are advised to ensure that the contents of their e-mails do not attract any liability, civil or criminal.
Change settings via the Web (Yahoo! ID required)
Change settings via email: Switch delivery to Daily Digest | Switch format to Traditional
Visit Your Group | Yahoo! Groups Terms of Use | Unsubscribe
.
__,_._,___



No comments:
Post a Comment