Date:

[harakahdaily] Erti liberalisme yang saya fahami

Erti liberalisme yang saya fahami
Wan Saiful Wan Jan
Tue | Aug 19, 08 | 12:07:57 pm MYT

Saya sering ditanya oleh rakan-rakan dua soalan: "Orang Islam boleh
jadi liberal kah?" dan "Bagaimana mungkin seorang ahli PAS menyokong
fahaman liberal? Bukankah Islam itu lengkap?". Kedua-dua soalah ini
menunjukkan betapa ramainya yang terkeliru dengan maksud perkataan
'liberal'.

Tidak mudah untuk menghurai kekeliruan mengenai liberalisme. Dalam
artikel pendek ini saya akan cuba menjelaskan erti liberalisme yang
saya fahami dan kenapa saya tidak nampak percanggahan antara aqidah
Islam dan juga fahaman liberal. Insha-Allah saya akan cuba menulis
artikel-artikel lain untuk menghuraikan maksud ideologi ini dengan
lebih mendalam.

Sebelum itu, saya perlu membuat satu klarifikasi yang penting.
Perkataan 'liberal' kerap kali disalahguna hinggakan penggunaannya
kadang kala lari daripada maksud sebenarnya. Di Amerika Syarikat,
perkataan liberal telah dicuri oleh mereka yang menyokong campur
tangan kerajaan dalam hal ehwal peribadi rakyat (contohnya Parti
Demokratik). Di Malaysia pula, jika disebut sahaja perkataan
'liberal', maka biasanya yang datang dalam fikiran ialah 'Islam
liberal'. Saya tidak termasuk dalam kedua-dua kelompok ini. Saya
seorang yang berpegang dengan falsafah liberalisme klasik, atau, di
Amerika, biasanya ia dipanggil falsafah libertarianisme. Untuk
mengelakkan lebih banyak salah faham, maka saya akan menggunakan
perkataan libertarian dalam artikel ini.

Kedaulatan undang-undang

Liberalisme klasik atau libertarianisme bukan satu falsafah baru.
Prinsip asas libertarianisme ialah keyakinan terhadap adanya satu
"peraturan tertinggi", dan prinsip ini boleh dikesan dalam falsafah
lama Yahudi dan Greek purba. Prinsip ini bermaksud semua manusia,
daripada pemerintah kepada yang diperintah, adalah tertakluk kepada
sebuah peraturan yang sama. Kedatangan Islam pula telah memperkukuh
keyakinan terhadap prinsip "peraturan tertinggi" yang diteroka sejak
sebelum zaman Nabi Musa lagi. Malahan Islam dengan jelas mengajar
bahawa mereka yang berkuasa tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan
kuasa mereka untuk memaksa rakyat mengikut telunjuk mereka. Pemerintah
juga tertakluk kepada undang-undang.

Libertarianisme tidak menyeru kepada pemansuhan atau pengabaian
terhadap peraturan dan undang-undang. Sebaliknya, libertarianisme
adalah satu panggilan agar semua manusia mematuhi undang-undang yang
sama tanpa pengecualian kerana wujudnya kedaulatan undang-undang.
Konsep ini adalah perlindungan terbaik daripada kediktatoran dan
totalitarianisme. Jika tidak wujud kedaulatan undang-undang, maka yang
berdaulat adalah manusia. Perampasan kedaulatan undang-undang oleh
segelintir manusia yand memerintah akan membolehkan mereka memaksa
rakyat hidup mengikut telunjuk mereka. Sekiranya prinsip asas
libertarianisme ini tidak dihiraukan, maka akan wujudlah
totalitarianisme seperti di negara-negara komunis dan fasis yang
pastinya tidak Islamik.

Kerajaan terhad

Pemerintah mempunyai kuasa untuk memaksa orang bawahan tunduk kepada
mereka dengan menggunakan akta-akta parlimen, peraturan,
undang-undang, tentera, polis, dan sebagainya. Pendek kata, wujud
ketidaksamarataan kuasa antara rakyat dan pemerintah. Untuk memastikan
pemerintah tidak menyalahgunakan kuasa mereka, maka kuasa kerajaan
perlu dihadkan. Tanpa had yang jelas, kerajaan berkuasa penuh untuk
meluluskan undang-undang dan akta-akta yang mengongkong kehidupan
manusia, seterusnya melahirkan satu sistem yang tidak ubah seperti
kediktatoran. Prinsip kerajaan terhad ini juga satu prinsip yang
penting dalam libertarianisme.

Kuasa kerajaan terhasil daripada amanah yang diberikan oleh rakyat.
Tetapi kerajaan boleh menjadi terlalu berkuasa sehingga ia mencengkam
dan membahayakan rakyat itu sendiri terutamanya apabila kerajaan
meluluskan peraturan-peraturan yang memaksa rakyat taat dan patuh
kepada mereka. Untuk mengehadkan kuasa kerajaan dan menghalang mereka
daripada menjadi diktator, maka negara-negara biasanya mempunyai
perlembagaan yang memperinci dan memperjelaskan sempadan antara hak
kerajaan dan hak rakyat.

Sebagai seorang Muslim, saya menentang sepenuhnya konsep kediktatoran
dan pemusatan kuasa. Islam tidak mempunyai kuasa pentadbiran berpusat
dan dengan itu Islam mempertanggungjawabkan penganutnya untuk memilih
cara hidup yang terbaik, dan menganjurkan agar penganutnya menuntut
ilmu agar mereka boleh membuat keputusan yang tepat. Inilah sebabnya
kenapa saya juga yakin bahawa pemerintah mestilah memperkuasa rakyat
untuk membuat keputusan yang terbaik dan tidak memaksa rakyat patuh
kepada keputusan-keputusan yang dibuat oleh pemerintah sahaja.

Individu merdeka

Apabila kuasa sesebuah kerajaan dihadkan, maka setiap individu rakyat
menjadi merdeka untuk memilih apa yang terbaik untuk kehidupan mereka
selagi mana mereka tidak melakukan keburukan terhadap orang lain.
Libertarianisme melihat individu sebagai elemen paling asas dalam
masyarakat kerana perkumpulan individu-individu inilah yang akhirnya
membentuk sesebuah masyarakat. Setiap individu merdeka boleh memilih
apa yang terbaik untuk mereka, berdasarkan pengetahun mereka sendiri.
Prinsip individu merdeka ini selaras dengan keyakinan kita bahawa
Islam datang untuk memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama
manusia agar seseorang Muslim itu boleh memperhambaan diri kepada
Allah semata-mata. Menafikan kemerdekaan individu adalah seolah-oleh
menafikan satu anugerah yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia.
Sebagai seorang Muslim, saya melihat mereka yang memperhambakan
manusia lain seolah-olah cuba merampas tempat Allah dalam kehidupan
manusia.

Setiap individu mestilah menghormati maruah individu lain tanpa
mengira agama, bangsa atau jantina mereka. Ini bermaksud kita perlu
menghormati perbezaan antara satu individu dengan individu lain.
Konsep individu merdeka juga bermaksud setiap individu mempunyai hak
dan tanggungjawab, seperti hak untuk dihormati oleh orang lain, dan
tanggungjawab untuk menghormati orang lain. Paling penting sekali,
konsep individu merdeka bermaksud kerajaan tidak boleh masuk campur
dalam hal-hal peribadi seseorang rakyat. Selagi mana individu tersebut
tidak melakukan keburukan terhadap orang lain, selagi itulah kerajaan
tidak boleh masuk campur.

Pasaran bebas

Memang diketahui umum bahawa seorang libertarian biasanya menyokong
pasaran bebas. Tetapi terdapat banyak salah faham mengenai sebab kami
menyokong pasaran bebas. Terdapat dakwaan bahawa kami menyokong
pasaran bebas kerana kami tidak mempedulikan nasib golongan miskin dan
kami mahu membiarkan wujudnya jurang antara kaya dan miskin. Tuduhan
liar ini salah sama sekali.

Sebenarnya libertarian menyokong pasaran bebas kerana hanya sistem ini
sahajalah yang boleh menjamin maruah individu dihormati. Pasaran bebas
membolehkan setiap individu memilih sendiri barangan dan perkhidmatan
menggunakan akal yang diberikan oleh Tuhan. Penafian kebolehan setiap
individu untuk berfikir sendiri adalah seolah-olah menyatakan bahawa
mereka itu semuanya bodoh kerana tidak boleh berfikir sendiri.
Menyekat pilihan di pasaran seolah-olah menafikan anugerah akal
pemberian Tuhan kepada manusia. Tidak ada penghinaan yang lebih besar
terhadap maruah seseorang manusia selain itu.

Sesetengah pihak, terutamanya golongan sosialis, suka berhujah bahawa
kerajaan perlu memastikan kesamarataan dalam masyarakat. Mereka ini
salah dari dua sudut. Pertama, sebagai seorang Muslim, saya percaya
bahawa Tuhan telah menciptakan kita semuanya sama rata. Ini lebih
penting daripada apa-apa usaha kerajaan untuk mewujudkan kesamarataan
ekonomi, terutamanya jika usaha kerajaan tersebut membayangkan
seolah-olah Allah tidak memberikan saya akal untuk membuat keputusan
sendiri. Kedua, kita boleh melihat sendiri betapa setiap kali kerajaan
cuba mewujudkan kesamarataan ekonomi, hasilnya adalah lebih banyak
ketidaksamarataan. Contohnya, lihat sahaja Dasar Ekonomi Baru di
Malaysia. Setelah berpuluh tahun kerajaan cuba memaksa rakyat menjadi
sama rata, adakah usaha tersebut berjaya? Sebab itulah saya bingung
apabila saya mendengar ahli-ahli politik berkata bahawa mereka mahu
memperbetulkan kegagalan kerajaan melalui lebih banyak campur tangan
kerajaan dalam kehidupan rakyat, kali ini dengan cara mewujudkan
negara kebajikan. Adakah kita mahu jatuh dalam lubang yang sama buat
kali kedua?

Bolehkah menjadi seorang libertarian?

Sebagai seorang Muslim, saya sering mengimbau sejarah umat Islam
terdahulu dan bagaimana mereka membina tamadun yang masyhur tanpa
banyak bergantung kepada sogokan kerajaan. Pada masa itu setiap
manusia, baik pemerintah mahupun yang diperintah, tertakluk kepada
undang-undang yang sama. Setiap Muslim bertanggungjawab terhadap
tindakan masing-masing. Kerajaan pada masa itu lebih banyak berperanan
dalam bidang pertahanan dan keamanan. Umat Islam pada waktu itu
merupakan pedagang yang berjaya dan mereka beroperasi dalam sistem
pasaran global yang bebas. Rasulullah (s.a.w.) dan isteri Baginda
merupakan peniaga-peniaga yang berjaya. Ramai sahabat (r.a.) yang
turut menjadi kaya raya hasil titik peluh mereka sendiri. Mereka
semuanya beroperasi dalam sistem pasaran dunia yang terbuka. Malahan,
kerajaan pada zaman awal kegemilangan Islam tidak campur tangan dalam
urusan pendidikan, kesihatan mahupun pengurusan masjid. Semuanya
diuruskan sendiri oleh rakyat, biasanya melalui sistem wakaf.
Hasilnya, masjid-masjid, pusat pusat pengajian, dan juga banyak lagi
perkhidmatan-perkhidmatan awam, dapat berfungsi dengan cemerlang demi
kebaikan rakyat, tanpa sebarang gangguan politik.

Saya berkeyakinan bahawa itulah model terbaik untuk Malaysia. Falsafah
libertarianisme mendokong kedaulatan undang-undang dan sistem pasaran
bebas, menyeru agar kuasa pemerintah dihadkan, dan menutut agar
manusia dimerdekakan daripada penghambaan sesama manusia supaya tidak
ada manusia lain yang boleh merompak kedudukan Tuhan dalam kehidupan
kita. Sebagai seorang Muslim, bolehkah saya menentang semua ini?

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank _

__._,_.___
Subscribe: harakahdaily-subscribe@yahoogroups.com
Unsubscribe: harakahdaily-unsubscribe@yahoogroups.com
Digest message: harakahdaily-digest@yahoogroups.com
HarakahDaily: http://www.harakahdaily.com
PAS Homepage: http://www.parti-pas.org

HarakahDaily.com disclaims any liability whatsoever or however arising from the posting of e-mails herein. Authors of the emails are advised to ensure that the contents of their e-mails do not attract any liability, civil or criminal.
Recent Activity
Visit Your Group
Ads on Yahoo!

Learn more now.

Reach customers

searching for you.

Yahoo! Search

Find it now

Everything you

need in one place.

Y! Messenger

Files to share?

Send up to 1GB of

files in an IM.

.

__,_._,___

1 comment:

Unknown said...

salam, walaupun ini artikel lama..tapi saya masih mahu bertanyakan mengenai:

1) kenapa adanya sistem pasaran bebas walaupun dalam islam itu sendiri sudah mempunya sistem ekonomi islam itu sendiri? adakah sistem islam tidak menggalakkan kepada kebebasan dalam kegiatan ekonomi?
2) dan bagaimana kita boleh terapkan liberalisme dalam diri setiap individu yang merdeka itu tanpa dimasuki oleh pemikiran bebas yang berlebihan(maksudnya adakah setiap orang yang ingin mengamalkan liberalisme itu mampu untuk mengamalkannya tanpa melakukan sesuatu di luar prinsip syariat)
3) adakah pengamalannya mempunyai risiko hilangnya 'prinsip wala' pada pemimpin'?

harap segala kemusykilan saya terjawab. terima kasih.