| Umno Bahagian Larut sebenarnya tidak mempunyai apa-apa keistimewaan jika dibandingkan dengan bahagian-bahagian lain di Negeri Perak. Ia hanya terkenal kebelakangan ini kerana masalah yang timbul, tidak boleh mengadakan persidangan tahunan, hingga hari ini, setelah ditangguhkan berkali-kali. Iklan | | | | | | | Isunya hanya satu, ada usaha menghalang Ahli Parlimen kawasan itu, Dato' Hamzah Zainuddin daripada bertanding merebut jawatan ketua bahagian yang kini disandang Dato' Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar. Beberapa pihak di Larut menyalahkan Ibu Pejabat Umno kerana membenarkan Hamzah yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat berpindah keahlian Umno ke Larut dalam tempoh singkat yang melayakkannya bertanding di Larut. Kalau sesiapa mengikuti kisah Hamzah di Perak ini, tentu ramai yang menggeleng kepala. Hubungan rapatnya dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan dia menikmati macam-macam kelebihan, hingga menyebabkan dia bermasalah dengan ramai orang lain. Dalam tahun 2004, khabarnya ada arahan datang dari Kuala Lumpur meminta Hamzah diletakkan bertanding di mana-mana kerusi selamat di Perak. Khabarnya, Menteri Besar waktu itu, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali mencadangkan kerusi Lenggong untuk Hamzah tetapi Hamzah dikatakan lebih berminat untuk bertanding di Parit. Disebabkan Parit adalah kawasan �kelabu� dan tidak bersedia menerima orang luar Parit untuk diletakkan bertanding, maka Tajol Rosli dikatakan berkeras tidak membenarkan Hamzah diletakkan bertanding di situ. Ini kerana pengalaman tahun 1999, Parit melihatkan kekalahan calon luar, apabila Tan Sri Megat Junid Megat Ayub (Allahyarham) tewas. Megat Junid adalah Ahli Parlimen Pasir Salak sebelum dipindahkan ke Parit. Tidak pula diketahui, mengapakah Hamzah tidak berminat untuk bertanding di Lenggong, menyebabkan Dato' Khamsiyah Yeop dipindahkan dari Parlimen Grik ke Lenggong. Jika tidak, Tajol Rosli dikatakan mahu mengekalkan Khamsiyah di Grik dengan Hamzah diletakkan di Lenggong. Disebabkan Hamzah tiada tempat bertanding, maka Abdullah melantiknya menjadi Ahli Dewan Negara (Senator) dan turut diberikan jawatan Pengerusi Felcra. Khabarnya Hamzah juga ditawarkan jawatan Pengerusi Bank Pertanian tetapi beberapa masalah teknikal menyebabkan kedudukan Hamzah di bank tersebut tidak dapat diteruskan. Tahun 2008 (pilihan raya umum ke-12), Hamzah berjaya mendapat tempat. Parlimen Larut menjadikan dia kini Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tetapi hasratnya mengetuai Umno Bahagian Larut masih tersekat-sekat kerana 'dihalang' beberapa penyandang jawatan dalam bahagian itu. Sudah puas mereka turun naik pejabat Timbalan Perdana Menteri dan khabarnya macam-macam kenyataan sudah dibuat supaya ada satu arahan dikeluarkan supaya 'menghalang' Hamzah daripada bertanding merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Larut. Namun, sehingga saat ini, Hamzah yang juga merupakan Ahli MT Umno (dilantik) masih dibenarkan untuk meneruskan hasratnya, bertanding di situ. Satu sumber memberitahu, jika Raja Ahmad Zainuddin berkeras menghalang Hamzah, akhirnya dia sendiri akan dihukum oleh MT, menggantung keahliannya atau, mungkin dihalang untuk mempertahankan jawatannya yang membolehkan Hamzah mengetuai Umno Bahagian Larut yang dijangka akan diadakan pada 25 Januari ini. Inilah kelebihan yang ada pada Hamzah. Pertama, dia rapat dengan Perdana Menteri. Kedua, dia juga intim dengan Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Berbeza dengan Raja Ahmad Zainuddin, dia rapat dengan bekas MB Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib menyebabkan 'sengatnya' hanya berbisa ketika era Ramli sebagai Menteri Besar Perak sahaja. Orang-orang Umno Larut tentunya masih ingat bagaimana cara Raja Ahmad Zainuddin mendapat jawatan ketua Umno bahagian itu dari tangan penyandang ketika itu, Dato' Ali Md Isa. Kalau mereka ingat, tidak hairanlah apabila apa yang berlaku sekarang, sebagai balasan atau 'hukum karma' terhadap apa yang Raja Ahmad Zainuddin lakukan terhadap Ali dahulu. Peristiwa 2004, yang menyebabkan Hamzah tidak mendapat kawasan untuk bertanding menjadikan hubungannya (Hamzah) dengan Tajol Rosli renggang. Tidak hairanlah, dengan perkembangan terbaru ini, Tajol Rosli tidak 'berani' untuk campurtangan kerana khuatir hubungannya yang sudah renggang dengan Hamzah akan menjadi parah, jika tidak kena caranya. Mengetahui sikap Tajol Rosli yang lembut, tentulah beliau tidak bersedia untuk bermasalah lagi dengan Hamzah setelah Barisan Nasional (BN) Perak tumbang dalam PRU 12 yang lalu. Raja Ahmad Zainuddin mungkin merasakan cengkamannya sudah semakin longgar di Larut. Gurauannya dengan rokok daun sudah tidak memberi apa-apa kesan kepada penyokongnya yang sudah mempunyai tauke baru. Cara terakhir untuk mengekalkan kedudukannya hanya dengan menyekat dan menghalang Hamzah dari meneruskan niatnya untuk bertanding di situ. Walaupun ia seperti mustahil, kerana Hamzah sudah pun melepaskan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat kerana mahu memberi tumpuan kepada Umno Bahagian Larut yang dia idam-idamkannya sekarang. Tidaklah diketahui nasib Hamzah selepas ini, jika dia menang atau tewas di Larut kerana PM yang yang mempunyai hubungan rapat bersara, menjelang April depan. Raja Ahmad Zainuddin pula tentulah ada menyimpan rasa tidak puashati dengan Hamzah yang sudah diberi laluan untuk menang kerusi Parlimen Larut (sebelum ini Raja Ahmad Zainuddin adalah Ahli Parlimen kawasan ini) sebelum berpindah ke DUN. Ketika semua bahagian sudah mengetahui siapa ketua dan AJK mereka, Larut masih diselimuti dengan masalah. Masalah yang berlarutan ini seperti kena dengan nama kawasan ini Larut yang menyebabkan masalah terus berlarutan. Sama ada Hamzah akan berjaya menyelesaikannya atau Raja Ahmad Zainuddin akan dikekalkan di situ, banyak bergantung kepada 'telunjuk' dari Kuala Lumpur. Namun, ada yang meramalkan, sesiapa sahaja yang menang di sini, tidak akan bertahan lama kerana pengaruh penyandang jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian, Dato' Mohd Daud Mohd Yusof juga tidak boleh dipandang remeh. Malahan, jika diambil kira jumlah pencalonan untuk jawatan Ketua Bahagian, pencalonan Mohd Daud jauh meninggalkan pencalonan Hamzah dan Raja Ahmad Zainuddin. _ |
No comments:
Post a Comment