| KUALA TERENGGANU, 15Jan (Hrkh) - Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu kini 'kehilangan' sokongan rakyat terutama di kalangan pengundinya dalam pilihan raya kecil P.036 Kuala Terengganu. Iklan | | | | | | | Sumber Harakah memaklumkan, sepanjang tempoh enam hari berkempen sejak hari penamaan calon 6 Januari lalu sokongan rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat amat 'luar biasa' serta mencemaskan Umno-BN. Semua agensi kerajaan yang dipergunakan oleh Umno-BN dalam kempen pilihan raya kecil ini melaporkan kajian sikap para pengundinya lebih memihak kepada PAS berbanding BN yang disifatkan �difensif� sekarang. Berikutan itu, PAS menjangkakan akan berlaku provokasi, tekanan dan diskriminasi oleh pihak berkuasa yang 'mempergunakan' kerahan anggota keselamatan polis yang paling ramai dalam sejarah pilihan raya di negara ini. Timbalan Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil PAS, Dato' Mustafa Ali telah mendedahkan beberapa laporan serta tindakan yang menyalahi undang-undang pilihan raya. Katanya, pihak Umno-BN dikesan cuba mencetuskan isu perkauman dalam pilihan raya kecil ini yang tidak wajar dilakukan. "Saya menerima aduan dan laporan dari orang ramai bahawa sedang beredar risalah yang berbentuk hasutan dan boleh mencetuskan isu perkauman dalam masyarakat. "Risalah ini menggambarkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menjual maruah dan bangsa Melayu," ujarnya pada Sidang Media PAS di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Ibai, dekat sini baru-baru ini. Ini kerana, katanya perkataan dalam risalah tersebut seolah-olah menggambarkan Tan Sri Abdul Khalid terpaksa memenuhi permintaan orang Cina dalam aspek Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mengabaikan orang Melayu. Menurut Dato' Mustafa, perkataan yang dianggap ekstrem berbunyi:"sampai bila orang Melayu akan terus lena sehingga tuan (Melayu) menjadi hamba dan hamba (Cina) menjadi tuan dan hanya kerana nak tebus kuasa, Tan Sri Khalid sanggup jual maruah Melayu". Katanya, Umno-BN cuba melaga-lagakan rakyat di negara ini dengan mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu terhadap orang Cina. Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menggesa agar rakyat terutama di kalangan orang Melayu dan Cina di negara ini tidak terpengaruh dengan tindakan tersebut. "Saya harap pengundi tidak termakan dengan tindakan ekstrem yang cuba dilakukan oleh pemimpin Umno-BN untuk melaga-lagakan rakyat. Kita (PAS) mahukan perpaduan dan harmoni tetapi yang memecah-belahkan masyarakat bukan PAS-Pakatan Rakyat tetapi Umno-BN sendiri," jelasnya. Katanya, taktik tidak baik itu sengaja dicetuskan dalam pilihan raya kecil kali ini kerana Umno-BN berada dalam keadaan tidak menentu dan terdesak. Sebelum ini, PAS pernah mendedahkan beberapa tindakan 'perang saraf' Umno-BN terhadap PAS dan Pakatan Rakyat dengan penyebaran VCD dan MMS ucapan calon PAS yang 'diputar-belitkan', usaha penyamaran pihak tertentu sebagai ahli PAS, modus operandi cubaan membeli undi RM500 seorang dan lain-lain lagi. Hadir sama pada Sidang Media itu, Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil PAS, Dato� Wan Abdul Muttalib Embong dan Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Encik Ng Chai Hing. - azm _ |
No comments:
Post a Comment