Date:

[harakahdaily] Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh uji wibawa BN dan Pakatan Rakyat

Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh uji wibawa BN dan Pakatan Rakyat
Ruhanie Ahmad
Tue | Aug 19, 08 | 7:09:12 pm MYT

Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh amat menarik, sungguh
penting dan cukup signifikan untuk diikuti oleh majoriti rakyat
Malaysia dan segolongan komuniti dunia. Keputusannya akan menjadi
indikator, pengukur dan petanda kepada pelbagai perkembangan siasah
Malaysia di era pasca PRU-12. Ia juga akan memuktamadkan seluruh
persoalan membabitkan kepimpinan tanah air di hari-hari mendatang.

Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh adalah pilihan raya yang pertama
sesudah Barisan Nasional (BN) dilanda tsunami politik; kehilangan
kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor; dan
memperolehi majoriti yang tipis di peringkat Parlimen menerusi PRU-12
kira-kira lima bulan yang lalu.

Pilihan raya kecil ini juga diadakan sewaktu kepimpinan Dato' Seri
Abdullah Ahmad Badawi dikatakan berada dalam keadaan yang cukup lemah;
populariti Abdullah dikatakan berada pada tahap yang amat rendah; BN
masih lagi berusaha keras memulihkan kegagahannya; Umno sedang dilanda
krisis kepimpinan; rakyat jelata sedang dibelenggu kenaikan kos sara
hidup akibat kenaikan harga minyak di pasaran global; dan segelintir
pihak tertentu sedang mempertikaikan beberapa perkara strategik dan
sensitif yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seorang daripada tiga calon pilihan raya kecil ini pula adalah Dato'
Seri Anwar Ibrahim. Beliau pernah mewakili Parlimen Permatang Pauh
berpuluh tahun lamanya atas tiket BN. Sewaktu Anwar dalam penjara,
Datin Seri Wan Azizah Ismail, isteri Anwar, memenangi kerusi parlimen
ini atas tiket KeADILan menerusi PRU-10 dan PRU-11. Dalam PRU-12,
Azizah terus mengekalkan kerusi ini dengan majoriti yang besar.

Insan Malang

Baru-baru ini, Azizah mengosongkan kerusi Permatang Pauh dengan
harapan Anwar dapat memenanginya semula dalam pilihan rakaya kecil
kali ini atas tiket KeADILan, mungkin untuk merealisasikan pelbagai
agenda KeADILan dan Pakatan Rakyat, termasuklah ura-ura Pakatan Rakyat
mahu menubuhkan kerajaan pusat menjelang September 2008.

Bagaimanapun, Anwar hari ini adalah insan yang amat malang. Beliau
diselubungi pelbagai kontroversi yang kelihatan muncul secara fokus
dan bertubi-tubi. Perkembangan ini menyebabkan Anwar sendiri mendakwa
yang dirinya sedang menjadi mangsa suatu konspirasi politik yang amat
terancang.

Terbaru sekali, Anwar pula dijebak dengan satu tuduhan yang amat
sensasi. Akibatnya, Anwar pun diheret ke mahkamah atas tuduhan
tersebut. Tetapi, beliau mengaku tidak bersalah dan diizinkan diikat
jamin.

Seluruh realiti dan perkembangan di atas melatarbelakangi pilihan raya
kecil Permatang Pauh. Oleh itu, pastinya realiti dan perkembangan
berkenaan akan dinilai dan dirincikan oleh para pengundi yang partisan
atau pengundi atas pagar di Permatang Pauh. Hasil penilaian dan
perincian inilah yang akan menentukan siapa yang akan menang dan siapa
pula yang akan kecundang. Ia juga menyukarkan semua pihak membuat
bacaan awal terhadap keputusan pilihan raya kecil berkenaan.

Ledakan Tsunami

Walaupun demikian, keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh pasti
akan jadi indikator, pengukur, penentu dan jawapan kepada pelbagai
andaian, ramalan dan persoalan, termasuklah seperti berikut:

. Adakah tsunami politik yang melanda BN dalam PRU ke-12 akan terus
meledak?

. Sejauh manakah perkongsian kuasa Pakatan Rakyat di Kedah, Pulau
Pinang, Perak dan Selangor diterima oleh rakyat Malaysia di era pasca
PRU ke-12?

. Mampukah Anwar merintis jalan pulang ke Putrajaya menerusi platfom
Pakatan Rakyat?

. Sekukuh manakah permuafakatan dan sekarab manakah kesetiakawanan
yang wujud di kalangan seluruh parti komponen BN dan komponen Pakatan
Rakyat di era pasca PRU ke-12?

. Sejauh manakah tahap penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Abdullah
dan Anwar dalam era pasca PRU ke-12?

' Sejauh manakah warga Umno yang mengundi di Permatang Pauh menerima
formula peralihan kuasa ciptaan Abdullah?

. Sebijaksana manakah para pengundi akan menilai integriti pihak-pihak
yang didakwa sebagai mendalangi konspirasi terhadap Anwar?

. Adakah survival politik Abdullah akan tergugat atau terjamin dan
terbela menerusi pilihan raya kecil Permatang Pauh?

. Sejauh manakah para pengundi akan terpengaruh dengan seluruh mega
mendung dan kegelitaan gerhana total yang dikatakan sedang
menyelubungi politik mutakhir Anwar?

. Sebijaksana manakah para pengundi akan menilai kredibiliti seluruh
kontroversi, tuduhan dan tohmahan terhadap Anwar?

. Adakah survival politik Anwar akan terancam, luntur dan pudar akibat
pilihan raya kecil Permatang Pauh?

. Adakah sistem dua parti diterima oleh rakyat Malaysia dan akan
menjadi satu struktur kekuasaan dan pemerintahan di hari muka?

Motif Politik

Pada kebiasaannya, memang agak sukar untuk BN tewas dalam sesuatu
pilihan raya kecil. Tetapi, oleh kerana pilihan raya kecil Permatang
Pauh adalah pilihan raya kecil yang diadakan atas motif politik, bukan
akibat kekosongan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan,
mudahkah BN memenangi pertarungan seperti ini?

Pada waktu yang sama, walaupun Permatang Pauh sudah dikuasi oleh Anwar
sejak berpuluh tahun lamanya, dan sesudah itu dikuasai oleh KeADILan
sejak kira-kira 8 tahun lamanya, adakah mudah untuk KeADILan dan
Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya ini bila jentera dan kekuatan BN
daripada seluruh negara difokuskan ke pilihan raya kecil ini?

Pengkhianatan

Pendek kata, oleh kerana pilihan raya kecil Permatang Pauh diadakan
hanya kira-kira lima bulan sesudah BN dilanda tsunami politik dalam
PRU ke-12; oleh kerana tuntutan segolongan rakyat jelata supaya
kepimpinan tertinggi kerajaan ditukar sesudah PRU ke-12 belum jadi
realiti; oleh kerana formula peralihan kuasa ciptaan Abdullah tidak
diterima sepenuhnya oleh seluruh warga Umno; oleh kerana Anwar kini
bertanding sewaktu beliau juga sedang menghadapi satu kes mahkamah
yang kontroversial; oleh kerana kesejahteraan rakyat jelata kini
terjejas oleh kenaikan kos sara hidup; parti manakah yang akan jadi
pilihan utama para pengundi di pilihan raya kecil ini?

Berasaskan seluruh hujah di atas, BN atau Pakatan Rakyat tidak boleh
riak dan tidak boleh takbur. Kedua-dua pihak wajar berkempen dengan
penuh etika dan penuh hemah. Kedua-dua pihak perlu hindari apa juga
kesilapan walau sekecil mana sekalipun. Paling penting lagi,
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan seluruh jentera pengaman suasana
mestilah bertindak secara bijaksana, adil dan saksama pada setiap masa.

Akhir kata, jika perjalan pilihan raya kecil ini bebas daripada
sebarang pengkhianatan, penipuan, penyelewengan dan manipulasi,
pastinya keputusan para pengundi pada 26 Ogos 2008 kelak adalah satu
keputusan yang benar-benar demokratik, tidak boleh dipertikaikan dan
tidak wajar didakwa-dakwi oleh sesiapa. Mudah-mudahan demikianlah
hakikat dan realitinya. _

__._,_.___
Subscribe: harakahdaily-subscribe@yahoogroups.com
Unsubscribe: harakahdaily-unsubscribe@yahoogroups.com
Digest message: harakahdaily-digest@yahoogroups.com
HarakahDaily: http://www.harakahdaily.com
PAS Homepage: http://www.parti-pas.org

HarakahDaily.com disclaims any liability whatsoever or however arising from the posting of e-mails herein. Authors of the emails are advised to ensure that the contents of their e-mails do not attract any liability, civil or criminal.
Recent Activity
Visit Your Group
Ads on Yahoo!

Learn more now.

Reach customers

searching for you.

Yahoo! Groups

Balance your life

by learning how to

make smart choices.

Y! Messenger

Group get-together

Host a free online

conference on IM.

.

__,_._,___

No comments: